Thursday, September 16, 2010

Kesihatan: Gara-gara mahu Besar

| Thursday, September 16, 2010 | 0 comments


Soalan:

DOKTOR, tolong tulis mengenai masalah saya ini untuk menjadi panduan supaya orang lain tidak menderita seperti saya. Saya menghidap penyakit yang dikenali sebagai parafinoma. Lelaki Derita

Jawapan:

APAKAH parafinoma? Ia adalah kecacatan fizikal yang berlaku pada batang zakar akibat suntikan benda asing bertujuan untuk membesarkan batang zakar. Ada pelbagai benda asing yang digunakan untuk tujuan ini.

Bahan yang sering digunakan ialah minyak paraffin, minyak castor, vaseline dan silikon. Apa yang memeranjatkan, suntikan ini diberi oleh individu bukan pengamal perubatan tetapi mereka yang tidak mempunyai kelayakan melakukan prosedur suntikan ini.

Suntikan diberikan di rumah kedai dan taman perumahan. Malah, ada yang memberitahu saya, ia dilakukan di belakang bangunan saja. Ramai juga yang mendapatkan suntikan ini di negara jiran.
Suntikan ini diberi di bawah kulit dan diberi di beberapa tempat di keliling batang zakar. Memang pada mulanya, batang zakar akan kelihatan besar dari segi diameter walaupun semasa ketiadaan ereksi. Ini adalah disebabkan pengumpulan dan serapan cecair di bawah kulit dan akibat dari reaksi inflamasi yang berlaku.

Masalah akan mula terjadi selepas dua atau tiga bulan selepas suntikan. Apa yang tejadi ialah akan berlaku pembentukan tisu parut dan tisu inflamasi kronik yang dikenali sebagai granuloma akibat dari reaksi badan terhadap benda asing itu.

Tisu granuloma ini keras dan berketul-ketul. Akibat dari pengaruh graviti, kebanyakkan dari tisu ini mula berkumpul di bahagian permukaan bawah batang zakar. Batang zakar akan mula kelihatan bengkok, kulit mula mengeras dan menebal. Bonjolan-bonjolan akan mula timbul di bawah kulit.

Suntikan yang diberi pada kawasan berdekatan dengan kepala zakar akan mengakibatkan timbulnya bonjolan kulit yang boleh menutup hampir keseluruhan kepala zakar. Kepala zakar seolah-olah tenggelam dalam bonjolan ini.

Secara kosmetiknya, batang zakar kelihatan hodoh dan jika saya boleh memberi deskripsi tepat dalam sesetengah pesakit, ia kelihatan seperti belalai gajah. Ada juga suntikan yang diberikan agak dalam hingga menjejaskan saluran kencing bawah iaitu saluran urethra.

Masalah penyempitan urethra atau urethral sticture akan berlaku. Pesakit akan merasakan aliran kencing menjadi perlahan dan halus serta proses membuang air kecil akan menjadi sukar dan menyakitkan. Masalah ini hanya boleh dipulihkan dengan pembedahan saja. Ada juga pesakit di mana penyempitan saluran urethra yang panjang berlaku dan pembedahan rumit yang memerlukan penggantian saluran urethra perlu dilakukan.

Untuk tujuan penggantian ini, tisu dari bahagian dalam mulut perlu diambil. Suntikan yang diberi pada bahagian pangkal zakar menyebabkan cecair yang digunakan mengalir turun ke bahagian kerandut zakar.

Ini akan menyebabkan terjadinya bengkak dalam kerandut zakar. Ini akan menyebabkan seseorang tidak merasa selesa memakai seluar dalam. Pernah terjadi kes di mana berlaku infeksi yang serius pada batang zakar dan batang zakar perlu dipotong.

Sejak kebelakangan ini, saya menerima ramai lelaki yang mengalami masalah parafinoma. Kebanyakannya datang akibat masalah sakit semasa ereksi. Ada juga yang tidak mempunyai ereksi langsung kerana kulit batang zakar sudah menjadi keras dan tidak boleh menegang lagi.

Ini juga disebabkan keadaan batang zakar yang sudah tidak lagi mempunyai rupa batang zakar. Ada juga antara pasangan mereka ini yang tidak mahu lagi melakukan hubungan seks disebabkan bentuk batang zakar ini. Rawatan untuk masalah ini adalah secara pembedahan.

Kulit dan tisu granuloma perlu dibuang. Ada juga pesakit yang keseluruhan kulit dan tisu batang zakar perlu dibuang. Kulit gantian akan diambil selalunya di bahagian paha dan juga kadang kala dari kulit yang menutupi kerandut zakar.

Pembedahan ini adalah rumit dan memerlukan bantuan dari pakar pembedahan plastik dan rekonstruktif. Secara keseluruhannya, hasil pembedahan adalah baik dan memuaskan pada pesakit.

Kesan sampingan yang sering terjadi selepas pembedahan adalah disfungsi erektil (ED)yang boleh dirawat dengan mengunakan ubatan PDE5 inhibitor. Ada juga pesakit yang mengadu kulit baru yang membaluti batang zakar kurang sensitif dan mempengaruhi kenikmatan semasa melakukan hubungan seks.

Secara ringkasnya, parafinoma adalah penyakit yang mula meningkat bilangannya akibat dari keghairahan kaum lelaki yang ingin mendapatkan batang zakar bersaiz besar dan dengan cara mudah.

Namun, ini akan memberi pelbagai masalah jangka masa panjang di mana ramai lelaki menderita dari segi fizikal dan emosi manakala rawatannya adalah sukar.
Nasihat saya pada lelaki yang ingin membesarkan zakar dengan cara ini ialah, anda harus ingat hubungan seksual yang berkesan tidak semestinya memerlukan saiz batang yang besar.

Janganlah terpengaruh dengan desakan untuk membesarkan batang zakar dengan cara ini kerana ia boleh membawa padah. Kepada mereka yang menghadapi masalah parafinoma, usah berputus harap, datanglah berjumpa dengan pakar urologi atau pakar pembedahan plastik untuk bantuan dan rawatan.

0 comments:

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

THERE ARE MORE HERE

 

Malay Mail Online

The Star Online: Most Viewed: Nation

NST Online: Topnews

The New York Times

The Washington Post

Gossip Cop

Harakahdaily

Malaysiakini

Harian Metro: BeritaUtama

Berita Harian: Mutakhir

Kosmo Online

CNN.com

Followers

Please leave your blog link

© Copyright 2010. insanidaily.com . All rights reserved | insanidaily.com is proudly powered by Blogger.com | Template by insanidaily.com - insanidaily.com