Pemimpin dakwa usaha terbaru kerajaan terus tonjolkan imej baik di mata rakyat
KUALA LUMPUR: Kalangan pemimpin pembangkang pakatan rakyat menyifatkan belanjawan yang dibentangkan semalam sebagai 'Bajet Pilihan Raya' dan usaha terbaru kerajaan untuk terus menonjolkan imej baik di mata rakyat. Walaupun ada yang menyifatkannya sebagai kelegaan jangka pendek, namun pada masa sama, mereka turut menghargai beberapa insentif yang diberikan kepada rakyat biasa. “Nampaknya dalam memikirkan rakyat hanya menjelang pilihan raya dan hanya menjurus ke arah (itu). Malah, ada beberapa kemudahan tambahan kepada rakyat menjelang pilihan raya,” kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa, pula menganggap bajet itu sebagai bayangan ‘dekatnya’ tempoh pilihan raya itu.
“Bajet ini membayangkan pilihan raya semakin dekat, kalau sebelum ini kita letak bulan enam ke atas, tapi kita merasakan ia semakin awal. Namun, kita menghargai beberapa insentif yang diberikan sebagai hadiah kepada rakyat biasa.
Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw, berkata insentif seperti kadar tol dan pelepasan bagi rakyat memiliki rumah pertama sebagai kesinambungan kerajaan memaparkan imej baik.
“Saya berpendapat beberapa langkah seperti tidak naikkan kadar tol dan peruntukan RM350 juta untuk cegah jenayah dan pelepasan cukai bagi rakyat miliki rumah pertama memang menonjolkan imej yang baik untuk rakyat,” katanya.
Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat, Saifuddin Nasution, pula menyifatkan bajet itu sekadar memberi kelegaan sementara kerana apa yang lebih penting adalah pelaksanaannya.
“Ia memberikan kelegaan jangka pendek kepada segmen masyarakat bawahan. Apa yang mahu dilihat sekarang adalah keupayaan untuk penyampaian. Saya melihat bantuan di Sabah dan Sarawak bagi melengkapkan jalan di luar bandar adalah prasyarat kepada enjin pembangunan di luar bandar yang ditumpukan oleh belanjawan,” katanya.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pasir Mas (Bebas), Datuk Ibrahim Ali, menganggap Bajet 2011 sebagai mengutamakan rakyat.
“Saya menganggapnya sebagai berita gembira kerana ia kena mengena dengan apa yang kita minta sebelum ini. Alhamdulillah belanjawan di jalan yang betul dan (dibuat) berhati-hati bagi memastikan semua rakyat mendapat faedah,” katanya.
Cuti Hari Jumaat atau Sabtu?
4 weeks ago
0 comments:
Post a Comment