PETALING JAYA: Kabinet sudah memberi kelulusan kepada Kementerian Sumber Manusia melaksanakan polisi gaji minimum menerusi Majlis Konsultasi Gaji Negara, kata Menterinya, Datuk Dr S Subramaniam.
Sehubungan itu, beliau berkata kementerian akan menggubal akta baru untuk membolehkan majlis tersebut ditubuhkan bagi penetapan kadar dan mekanisma gaji minimum.
"Sebarang keputusan pada masa depan dan pelaksanaan (gaji minimum) akan dilakukan menerusi majlis itu berdasarkan kuasa yang diperuntukkan melalui akta baru, yang bakal dibentang di Parlimen pada sesi akan datang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan dan pameran Pembangunan Sumber Manysia Berhad 2010 di sini hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika pembentangan Bajet 2010 di Parlimen Jumaat lalu, mengumumkan penubuhan majlis itu, yang akan menjadi patform utama penentuan gaji di negara ini.
Beliau berkata Majlis Konsultasi Gaji Negara akan dianggotai wakil majikan, kesatuan sekerja, pekerja tanpa kesatuan, agensi kerajaan, ahli akademik, badan bukan kerajaan dan orang perseorangan.
Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata, sekretariat majlis itu akan ditempatkan di Kementerian Sumber Manusia.
Mengenai peruntukan RM500 juta bagi latihan kemahiran yang diumumkan dalam bajet yang sama, Subramaniam berkata program itu akan dilaksanakan oleh beberapa kementerian seperti Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Sumber Manusia serta Majlis Amanah Rakyat.
Beliau berkata pihaknya akan memperkemas semua latihan dengan kementerian berkenaan melalui Majlis Penyelarasan Pembangunan Kemahiran bagi memastikan sasaran yang ditetapkan tercapai.
Katanya, penyediaan kelas malam dan hujung minggu untuk latihan kemahiran adalah selaras dengan rancangan kerajaan bagi membentuk budaya pembelajaran sepanjang hayat di negara ini, selain membantu golongan berpendapatan rendah mengikutinya untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan.
Subramaniam berkata kenaikan antara RM500 hingga RM700 gaji minimum pengawal keselamatan tidak boleh diambil kira, kerana secara amnya, mereka menerima gaji antara RM900 dan RM1,000 dengan bayaran untuk kerja lebih masa.
Menyifatkan perkara itu sebagai "lonjakan" dalam pendapatan, menteri itu berkata: "Sebelum ini, gaji pokok (pengawal keselamatan) ialah kira-kira RM300, tetapi kini ia telah dinaikkan antara RM500 dan RM700."
"Selanjutnya, pengawal keselamatan turut mendapat sumbangan lebih untuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja mereka," katanya sambil menambah bahawa pendapatan pengawal keselamatan akan meningkat dengan lebih ketara selepas pengumuman Perdana Menteri itu.
Terdahulu, dalam ucapannya, Subramaniam berkata hanya 28 peratus daripada 9.8 juta tenaga kerja di negara ini merupakan pekerja berkemahiran tinggi.
Beliau berkata kerajaan berhasrat mencapai 33 peratus pekerja berkemahiran tinggi menjelang 2015 dan 50 peratus pada 2020.
"Di bawah Program Transformasi Ekonomi, kira-kira 3.3 juta peluang pekerjaan akan diwujudkan dengan 60 peratus daripadanya adalah kategori berkemahiran tinggi," katanya. - BERNAMA
Cuti Hari Jumaat atau Sabtu?
4 weeks ago
0 comments:
Post a Comment