SHANGHAI: Beribu-ribu produk diperbuat daripada kulit kucing dan anjing kini ditawarkan melalui laman sesawang urus niaga dalam talian utama China, Taobao, sehingga mencetuskan kemarahan pencinta haiwan, lapor media semalam.
Tinjauan mendapati, kadar carian dan jualan Taobao menunjukkan, barangan paling popular di kalangan pelanggan adalah seluar dan topi daripada bulu anjing kerana mampu mengatasi kedinginan.
Seorang penjual - hanya dikenali sebagai ‘sjz2ys’ - mendakwa semua produk daripada kulit kucing dijualnya adalah asli.
Jurucakap Taobao bagaimanapun mempertikaikan laporan media itu dan mendakwa, fungsi perisian carian di laman sesawang itu kurang sempurna.
Katanya, kulit kucing mungkin membawa maksud sesuatu produk yang tidak berkaitan.
“Memang ada produk sebegitu di Taobao tetapi tidak lebih daripada 100 barang,” katanya. Ekoran bantahan orang ramai itu, Taobao dilaporkan meminta penjual terbabit menarik balik produk berkenaan dari laman sesawang berkenaan.
Cubaan media membuat carian menggunakan kata kunci ‘bulu anjing’ di Taobao menunjukkan, ada beribu-ribu barang ditawarkan di situ.
Sementara itu, aktivis haiwan berkata, peniaga biasanya mensasarkan anjing dan kucing liar untuk ditangkap.
Kulit haiwan itu kemudian dijual kepada peniaga lain di timur China, manakala dagingnya ditawarkan kepada pemilik restoran di selatan.
Pegawai Persatuan Perlindungan Haiwan Kecil China berkata, walaupun mempunyai sukarelawan bagi melindungi haiwan seumpama itu, ia masih tidak mencukupi.
“Penguatkuasaan daripada kerajaan sangat longgar,” katanya. - AFP
Perkhemahan Sunnah dan Konvokesyen sunnah?
3 days ago
0 comments:
Post a Comment