Thursday, November 4, 2010

Dakwah melalui fesyen

| Thursday, November 4, 2010 | 0 comments

KRITIKAN yang banyak disiarkan di dalam blog peribadi berikutan penganjuran Festival Fesyen Islam (IFF) di Monte Carlo Ogos lalu, langsung tidak mematahkan semangat penganjur untuk meneruskan misi IFF.

Pengasas IFF, Datuk Raja Rezza, berkata sepanjang lima tahun penganjuran banyak pencapaian IFF terutama dalam mengangkat martabat pereka Muslim yang sering terpinggir.

Malah lebih penting, ia dapat menarik pereka bukan Islam untuk bersama-sama berkongsi idea melakarkan daya kreatif mereka seterusnya ditonjolkan sehingga ke peringkat antarabangsa.

Dalam hal ini sekiranya ada pereka bukan Islam yang tersasar menerusi fesyen yang ditampilkan ada pihak yang akan menegur seterusnya diperbaiki bagi menghasilkan ciptaan yang dapat diterima ramai.

Tambahnya, walaupun ada pihak yang tidak berpuas hati dengan usaha dilakukannya untuk memperkembangkan fesyen Islam, dia tidak akan berputus asa dan akan tetap meneruskannya.

“Mungkin ada beranggapan saya menghalalkan apa yang salah, sebenarnya tidak. Sebelum memulakan IFF saya sudah mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak termasuk mereka yang arif dalam agama.

“Memang saya akui ada kekurangannya dan ia akan diperbaiki dari semasa ke semasa. Saya juga akui bukan sesuatu yang mudah untuk memperkenalkan fesyen Islam kepada negara bukan Islam kerana banyak pantang larangnya.

“Namun saya menganggap ini sebagai dakwah secara perlahan-lahan untuk memperkenalkan Islam kepada dunia. Jika saya yang tidak melakukannya siapa lagi,” katanya.

November dipilih sebagai kemuncak IFF ke-11 selepas beberapa siri jelajah berjaya dilaksanakan bermula Januari ke Abu Dhabi, Dubai, Jakarta, New York dan diakhiri dengan Monaco.

Bermula pada 2006, memasuki tahun kelima dan dalam masa 48 bulan saja IFF berjaya mengadakan 13 pertunjukan fesyen bukan saja ke negara Asia, Timur Tengah malah melangkaui sempadan sehingga Eropah.

Menurutnya, misi IFF adalah untuk menjadikan fesyen sebagai batu loncatan mempertemukan pereka dan penggemar fesyen daripada pelbagai latar belakang budaya, agama dan bangsa.

Justeru, ia menjadi medan pemahaman dalam keagamaan dan kesediaan menerima pemakaian Muslim dengan pelbagai pilihan. Ia juga sebagai acara yang memberi pilihan kepada masyarakat bukan Islam untuk lebih memahami betapa busana Muslim boleh menjadi pilihan terkini dan bergaya.

“Fokus IFF pada mulanya adalah untuk masyarakat global iaitu dunia. Menerusi kerjasama dengan Indonesia bermula KL, Festival Fesyen Islam dianggap sebagai permulaan IFF yang memilih Indonesia kerana bilangan masyarakat Muslim di sana terlalu ramai,” katanya.

Pada tahun ini IFF ke-11 bertemakan Moghul Splendour yang mengambil konsep Dinasti Moghul akan berlangsung enam hari bermula 7 hingga 12 November 2010.
Acara fesyen terbesar ini akan menampilkan 45 pereka fesyen daripada pelbagai latar belakang budaya, bangsa, warna kulit dan agama.

Selain Malaysia, turut serta pereka dari India, Pakistan, Indonesia, Singapura dan Itali dengan barisan model dari India iaitu bintang Bollywood yang akan dihiasi perhiasan JH Jewellers dari New Delhi.

Antara pereka tempatan yang akan mempersembahkan rekaan mereka ialah Datuk Tom Abang Saufi, Radzuan Radziwill, Melinda Looi, Amir Luqman, Khoon Hooi, Calvin Thoo, Hajaba, Variantes, Albert King, Michaeal Ong, Shaiful Baharim dan Jovian Mandagie.

Pereka Indonesia termasuk Ghea Panggabean, Itang Yunasz, Deden Siswanto dan Malik Mustaram manakala pereka India termasuk Archana Kochlar, Nickie & Nina, Rajesh & Anirban selain Atiya Khan dari Pakistan.

“Pada tahun lalu penganjuran IFF bertemakan Ahlan Wasahlan yang memperkenalkan himpunan rekaan pereka dengan pengaruh Timur Tengah.

“Pada tahun ini Moghul Splendour akan menjadi satu acara yang penuh warna-warni dengan rekaan yang akan membawa kita ke era kegemilangan Moghul,” katanya.

Pertunjukan fesyen Islam yang sangat dinantikan ini akan mempersembahkan 18 pertunjukan fesyen yang dihoskan pelbagai yayasan dan badan kebajikan iaitu Pertubuhan Persekutuan Usahawan Wanita Malaysia, Pertubuhan Melindungi dan Menyelamat Kanak-kanak Selangor, Yayasan Sultan Kelantan, Badan Amal Kasih Sayang Malaysia, Pertubuhan Kebajikan Kanser Payudara dan Persatuan Karyawan Malaysia.

Selain itu, hos lain termasuk Pandu Puteri Selangor, Persatuan Bencana Alam Kedah, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Yayasan Tuanku Najihah, American Field Service, Penawar dan Yayasan Kebajikan Budimas manakala isteri Perdana Menteri Malaysia, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor adalah penaung IFF.

Majlis ini turut diserikan dengan persembahan artis popular era 1980-an termasuk Aman Shah, Siti Fairuz, Halil Chik, Shidee, Nasser Wahab, Man Bai dan Razif Ismail.

0 comments:

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

THERE ARE MORE HERE

 

Malay Mail Online

The Star Online: Most Viewed: Nation

NST Online: Topnews

The New York Times

The Washington Post

Gossip Cop

Harakahdaily

Malaysiakini

Harian Metro: BeritaUtama

Berita Harian: Mutakhir

Kosmo Online

CNN.com

Followers

Please leave your blog link

© Copyright 2010. insanidaily.com . All rights reserved | insanidaily.com is proudly powered by Blogger.com | Template by insanidaily.com - insanidaily.com