KUALA LUMPUR: Seramai 48 orang ditahan selepas enggan mematuhi arahan bersurai semasa menyertai perhimpunan haram di Masjid Negara di sini bagi menyokong penyerahan Memorandum Isu Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Selangor kepada Yang di-Pertuan Agong oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah, berkata mereka ditahan mengikut Seksyen 27 (5) Akta Polis 1967 kerana berhimpun tanpa permit dandibebaskan dengan jaminan polis kemudian.
Katanya, selepas hampir sejam berhimpun sejak kira-kira 12 tengah hari, ahli PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan mahasiswa enggan bersurai dan mula melakukan perbuatan yang boleh mendatangkan ketidaktenteraman awam.
Ia menyebabkan polis bertindak termasuk melepaskan air dan gas pemedih mata.
"Antara yang mereka buat ialah membaling batu kepada pihak polis, mereka juga enggan bersurai dan akhirnya kita terpaksalah melepaskan gas pemedih mata dan air dari water canon untuk menyuraikan mereka," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur di sini, petang tadi.
Zulkifli berkata, beliau kesal kerana kumpulan itu tidak mematuhi arahan polis sebelum itu supaya tidak berhimpun dan berarak kerana mereka tidak diberikan permit untuk berbuat demikian.
Mengulas satu lagi perhimpunan di Stadium Merdeka di sini, beliau berkata, ia disertai kira-kira 150 ahli Gagasan Anti-Penyelewengan Selangor (GAPS) dan mereka bersurai selepas diarahkan polis. - BERNAMA
Perkhemahan Sunnah dan Konvokesyen sunnah?
3 days ago
0 comments:
Post a Comment