SHAH ALAM: Anak Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya berkemungkinan besar akan meneruskan kes tuntutan harta bernilai RM1.38 juta yang difailkan ibu mereka terhadap bekas suami, Nash atau Jamaludin Elias, 52.
Bagaimanapun, peguam ahli perniagaan itu, Datuk Zaidi Zain ketika ditemui di luar mahkamah, berkata pihaknya masih menunggu kata putus daripada anak sulung Sosilawati, Erni Dekritawati Yulian atau Rita, 26.
Beliau berkata, melalui satu pertemuan pada 9 Januari lalu, Rita memberitahunya akan mengadakan perbincangan rasmi dengan adik-beradik lain berhubung hal itu.
“Berkemungkinan besar kita akan teruskan. Tapi, belum dimuktamadkan,” katanya selepas prosiding kes tuntutan harta Sosilawati terhadap Nash di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam.
Pada 26 Ogos tahun lalu atau lima hari sebelum Sosilawati dilaporkan hilang, mahkamah menetapkan semalam, bagi menyambung perbicaraan kes tuntutan itu.
Zaidi yang pernah mengendalikan kes perceraian Sosilawati dan Nash berkata, Rita kini dalam dilema untuk meneruskan kes itu disebabkan hubungan baik ahli keluarganya dengan Nash.
Namun, katanya, pada masa sama ketika hayatnya bersungguh-sungguh untuk membawa perkara itu ke muka pengadilan.
“Ini menyebabkan Rita tidak boleh sewenang-wenangnya untuk melepaskan perkara ini begitu saja. Ini bukan soal wang,” katanya.
Terdahulu, pada prosiding semalam, Zaidi memberitahu mahkamah, permohonan untuk meneruskan kes itu menerusi waris jutawan berkenaan dibuat mengikut Seksyen 22, Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) No 4, 2003.
Namun, katanya, pihaknya memohon supaya kes itu ditangguhkan dua bulan sementara menunggu pihak berkuasa mengumumkan laporan DNA mangsa pembunuhan itu.
Peguam Amli Embong yang mewakili Nash pula berkata, ada beberapa pindaan termasuk memasukkan dokumen penting salinan surat mati perlu dibuat jika permohonan itu mahu diteruskan.
Perkhemahan Sunnah dan Konvokesyen sunnah?
3 days ago
0 comments:
Post a Comment