KATA orang, ketajaman penglihatan seorang jurufoto umpama seekor helang. Benarkah begitu? Bukan niat mahu menghuraikan kebenaran kata-kata itu, tetapi sebagai jurufoto sememangnya diakui bahawa ketajaman penglihatan amat penting untuk memfokuskan perincian setiap objek atau insiden yang dilihat.
Seperkara yang menarik dalam bidang fotografi adalah fotografi jalanan atau dalam istilah umum di kalangan jurufoto dikenali sebagai street photography.
Dari segi definisinya ia bermaksud menggunakan teknik terus yang akan menghasilkan pandangan literal, semulajadi dan asli terhadap sesuatu subjek atau situasi.
Teknik itu bermula sejak abad ke-18 hingga awal ke-19 di Eropah seiringan dengan ciptaan kamera berukuran 35mm yang boleh dibawa ke mana-mana.
Kebanyakan karya fotografi jalanan dihasilkan tahun 1890 dan 1975. Jurufoto Perancis, Henri Cartier-Bresson antara pelopor awal. Era 20-an, memberi ruang yang luas dalam memperkenalkan karya-karya fotografi jalanan.
Berbeza dengan kewartawanan foto (photojournalism) yang lebih eksklusif dan selalu dihasilkan oleh satu fokus dalam fikiran. Aspek ini terarah dalam bentuk dokumentari yang boleh dijual kepada akhbar dan majalah sebagai bahan utama. Secara semulajadinya, kewartawanan foto mampu menghasilkan berita-berita berat dengan hanya mendapatkan apa yang berlaku di tempat kejadian.
Fotografi jalanan dapat diterjemah dalam pelbagai bentuk penggambaran selagi mempunyai asas yang tidak bercanggah dengan elemen-elemen fotografi. Teknik bersahaja (candid) atau secara terus boleh dikategorikan sebagai salah satu aspek fotografi jalanan. Ia juga dihasilkan ketika sedang berjalan-jalan dan mengambil gambar tanpa sebarang tujuan.
Kebanyakannya merangkumi aspek kehidupan, ragam masyarakat, tata sosio budaya, tingkah laku dan persekitaran alam. Dalam memperincikan subjek fotografi jalanan, ia tentulah berhubung kait dengan sifat-sifat kemanusiaan. Tertumpu pada lokasi-lokasi terbuka dan tertentu contohnya: sekitar jalanan, tempat-tempat awam, bandar metropolitan, pelosok kampung, pasar harian, kompleks membeli belah, bangunan bersejarah dan sebagainya yang boleh diterjemahkan karya ini dalam bentuk fotografi jalanan.
Bukanlah hasrat penulis untuk merungkai setiap perincian lokasi tetapi ia sudah cukup untuk menjadikan asas lokasi tersebut untuk 'berperang' dengan karya dan identiti imej itu sendiri. Skop yang luas dan bebas juga sebagai medan asas fotografi jalanan.
Adakalanya imej yang dirakamkan menjurus kepada nilai berita bahkan ia cukup menterjemahkan apa yang berlaku di dalam persekitaran masyarakat amnya.
Kreatif
Tidak semua imej yang dirakamkan mempunyai nilai dan asas berita tetapi dalam konteks fotografi jalanan ia lebih kepada fotografi secara terus serta mempunyai sudut pandangan yang kreatif. Dalam menghasilkan sebuah karya kreatif, seorang jurufoto perlu peka dengan keadaan sekitarnya. Ia juga bergantung kepada pengetahuan asas dan kemahiran teknik-teknik fotografi.
Peranan utama yang harus dititikberatkan adalah kemahiran berkomunikasi. Perantaraan komunikasi antara aspek utama asas fotografi jalanan. Sekiranya ini tidak dititik beratkan, maka ia akan 'membunuh' secara keseluruhan penciptaan karya yang lebih terarah dalam konteks unsur-unsur kemanusiaan (human interest).
Fotografi jalanan sebagai perantaraan (medium) bebas untuk berkarya telah dipelopori golongan amatur khususnya. Maka tidak hairanlah jika kelas-kelas atau skop perbincangan semakin meluas di kalangan mereka. Apatah lagi dengan kemunculan kamera DSLR (Digital Single Lens Reflex) yang murah dan mudah didapati.
Sewaktu bersiar di kota raya Kuala Lumpur, saya pernah disapa bekas jurufoto yang pernah mempelopori fotografi jalanan. Beliau membayangkan apa yang tersurat melalui pengamatan mata sekiranya bermain dengan persekitaran.
''Jangan hanya sekadar melihat, lihatlah dengan konteks yang lebih jauh,'' kata Omar Rizal tentang keadaan persekitaran sekiranya ingin 'berperang' dengan karya fotografi jalanan. Umurnya menjelang senja tetapi pengalaman serta perspektif tentang fotografi cukup bernilai.
''Dahulu zaman hitam putih. Keperluan perkakasan memproses cukup mahal. Tidak pada zaman era teknologi terkini, anda pun sedia maklum. Cucu saya sendiri baru berumur 15 tahun sudah mempunyai kamera sendiri,'' katanya.
Walaupun era teknologi tanpa sempadan serta kebangkitan golongan pra-fotografi tetapi kemunculan awal era fotografi harus diambil kira. Seorang jurufoto profesional pernah memberitahu saya: ''Dalam dunia fotografi semua telah dilakukan, kita hanya mengulangi sahaja.
"Janganlah cuba hendak mengaku sebagai pencetus utama seperti mana yang berlaku kini. Tiada apa yang harus dibanggakan selain menghasilkan karya yang boleh dinilai di mata umum," kata Darmansyah Abu Haniffah.
Pelbagai bentuk dapat diterjemahkan dalam bentuk karya fotografi jalan. Ia bebas selagi kita berhadapan dengan aktiviti harian dan apa yang berlaku di sekeliling persekitaran. Kadangkala boleh menjadikan amalan ini sebagai hobi. Pandangan tersebut disuarakan Kamal Sellehuddin jurufoto profesional yang kini berkhidmat dengan sebuah agensi di Kanada.
''Dulu masa di Malaysia selama enam tahun saya berkhidmat dengan akhbar berbahasa Inggeris, fotografi telah menjadi sebahagian hobi saya. Di sini (Kanada), saya masih lagi mempraktikkan asas fotografi jalanan yang sama. Berbeza dengan di Quebec yang menetapkan undang-undang di mana jurugambar harus meminta kebenaran untuk mengambil gambar subjek terlebih dahulu.
"Walaupun keadaan sedemikian, tetapi masih dibolehkan sekiranya dengan izin dari individu untuk kita merakamkan. Untuk mengelak sebarang masalah, kebenaran diminta cukup sekadar memberi isyarat dengan cara menundukkan kepala sebelum proses rakaman bermula.
"Semua ini dititikberatkan apabila penyalahgunaan gambar yang diambil bertujuan memalukan individu di dalam gambar ataupun gambar itu digunakan untuk eksploitasi (pengiklanan komersial) tanpa persetujuan individu itu sendiri. Ini amalan aktiviti yang tidak sihat,'' katanya kepada penulis.
Pengalaman penulis berkhidmat secara profesional dalam kewartawanan foto akhbar arus perdana menunjukkan jurufoto harus bersikap 'sabar' dalam menghasilkan karya yang boleh dimartabatkan sesuatu seni penghasilannya. Seorang jurufoto profesional pernah menitipkan pesanan ini: "Selagi ada kehidupan atau kelahiran baru, selagi itu fotografi ini tidak akan pupus''.
Perkhemahan Sunnah dan Konvokesyen sunnah?
3 days ago
0 comments:
Post a Comment