APABILA disebut tentang Mesir, salah satu tamadun paling lama di dunia, umum mungkin akan mengenang monumen-monumen popular seperti piramid Giza dan Sphinx, universiti Islam paling lama dan terkenal, Universiti Al-Azhar, bandar bersejarah Memphis dan banyak lagi.
Mesir juga selama ini mempunyai nama baik sebagai sebuah negara yang aman dan stabil daripada semua aspek, termasuk politik. Tetapi siapa sangka, negara contoh seperti Mesir itu sebenarnya menyembunyikan imej sebenar apabila isi huninya tidak berpuas hati dengan kepimpinan negara itu.
Ia kini mempunyai wajah yang berbeza. Imej Mesir sekarang bukan sahaja dicela dengan demonstrasi jalanan dan darurat, malah telah mengakibatkan pelbagai jenis perhubungan telekomunikasi tersekat serta pelbagai sumber mendedahkan bahawa ibu negara Mesir, Kaherah berada dalam keadaan membahayakan.
Kesemua hiruk-pikuk yang wujud ini bukanlah terhadap sesuatu organisasi, parti politik atau tanda protes terhadap sesuatu negara. Ia sebenanrnya merupakan serangan secara langsung oleh penduduk-penduduk Mesir yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan presiden mereka, Hosni Mubarak.
Memegang tonggak kepimpinan nombor satu negara itu sejak 30 tahun yang lalu adalah satu tempoh yang sangat lama. Hosni, 82, terlalu kukuh atau berdegil dengan mengekalkan kuasa yang dipegang sejak tahun 1981 berikutan pembunuhan presiden sebelum itu, Anwar Sadat.
Anwar Sadat yang mati dibunuh dalam satu acara perbarisan tentera memperingati Israel Arab, telah diganti oleh Hosni yang ketika itu berkhidmat dalam Tentera Udara Mesir dan Naib Presiden pada tahun 1975 di bawah Anwar.
LEBIH 300,000 rakyat Mesir keluar dari rumah untuk mengadakan antara demonstrasi terbesar dalam sejarah negara itu.
Produk tentera udara
Hosni dilahirkan pada 4 Mei 1928 di Kafr-El-Meselha selepas tamat sekolah tinggi dan menyertai Akademi Militer Mesir, di mana beliau menerima Darjah Sarjana Muda dalam Sains Ketenteraan pada 1949.
Pada tahun berikutnya, Hosni menyertai Akademi Tentera Udara Mesir dan akhirnya mendapat Sarjana Muda Sains Penerbangan dan di tugaskan dalam skuadron pengebom.
Selepas itu, Hosni diterima masuk ke sekolah latihan juruterbang Kean, Moscow dan sebaik menyempurnakan latihannya itu, Hosni menjadi pegawai Tentera Udara Mesir dan diberi mandat berkhidmat sebagai juruterbang dan naik pangkat menjadi panglima markas. Kerjaya tentera udara beliau sampai kemuncaknya pada 1972 apabila menjadi Komander Tentera Udara.
Beliau kemudian mengahwini wanita kacukan berdarah Barat, Suzanne dan mempunyai dua orang anak lelaki, Alaa dan Gamal Hosni Mubarak. Media melaporkan Alaa dan Gamal dipercayai sejak sekian lama dipersiapkan sebagai pengganti Hosni kelak.
Hosni mempunyai personaliti tersendiri apabila sering diibaratkan sebagai pemimpin Arab yang berkawan rapat dengan kuasa besar Barat, Washington selama berdekad-dekad tahun.
Ekoran keakraban itu, beliau juga pernah beberapa kali menjadi sasaran pembunuhan kumpulan tertentu yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan beliau.
Namun, selepas 30 tahun memegang tampuk kuasa Mesir, 25 Januari lalu menjadi tarikh keramat rakyat Mesir bangun menentang Hosni.
Bermula dengan puluhan ribu, demonstrasi di seluruh negara dengan pusat utamanya terletak di Dataran Tahriri bertukar ngeri apabila limpahan penunjuk perasaan melonjakkan sehingga angka lebih 300,000.
Ia dikatakan bakal bertambah satu juta orang sebagaimana yang diumumkan sejak awal. Yang pasti, demonstrasi itu kini bertukar rusuhan berdarah apabila pertembungan berlaku antara penyokong Hosni dan anti-Hosni.
Pada hari kelapan dilaporkan seramai 300 nyawa terkorban manakala 3,000 lain tercedera.
“Perubahan kuasa akan dilakukan secara aman.” Demikian kenyataan Hosni merujuk kepada hari-hari awal demonstrasi yang sebenarnya tidak membawa apa-apa erti.
HOSNI tetap berdegil untuk meneruskan karier politiknya sehingga pilihan raya pada bulan September 2011, walaupun diminta meninggalkan jawatan itu segera oleh rakyat dan sekutunya sendiri, Amerika Syarikat.
Berita-berita melaporkan ketegangan yang berpusat di ibu kota Mesir, Kaherah telah berkembang ke beberapa tempat di luar Kaherah dan ia semakin membahayakan orang awam termasuk lebih 14,000 warga Malaysia yang berada di sana.
Walaupun sebelum ini Hosni yang pernah dirujuk sebagai firaun moden Mesir, berjaya menyelamatkan diri daripada enam percubaan bunuh, namun, kebangkitan rakyat mungkin akan menjatuhkannya.
Kebangkitan rakyat bukan sekadar melampaui sejarah silam terhadap ketidakpuasan yang ditunjukkan terhadap Hosni selama ini malah, menyebabkan dua sekutu kuatnya juga membuat langkah menjauhkan diri daripadanya.
Pada 31 Januari, tenteranya mengumumkan tidak akan mencederakan peserta demonstrasi aman dan pada 1 Februari, Presiden Amerika, Barrack Obama menghantar maklumat melalui dutanya meminta Hosni supaya tidak menunggu pilihan raya.
Bagaimanapun Hosni tetap nekad dengan keputusannya untuk menamatkan penggal pemerintahan sehingga September ini.
“Saya akan berkhidmat ke arah bulan-bulan terakhir ini untuk membolehkan peralihan kuasa secara aman (dapat diadakan).
“Ini tanah air saya... saya tinggal di sini, saya berjuang bagi negara ini dan saya mempertahankan negara ini, kedaulatan dan kepentingan negara ini.
“Di bumi ini, saya akan mati. Sejarah akan menilai saya dan kita semua,” ungkap Hosni.
Rapat dengan Israel
Hosni, presiden paling lama di Mesir sejak sistem beraja digulingkan pada tahun 1950-an.
Dia juga satu-satunya pemimpin Arab yang terus mengekalkan kedamaian dengan Israel dan hubungan rapat dengan Amerika Syarikat dilihat pernah bertindak menahan dan memenjara pengkritik, menghapuskan parti pembangkang serta mengatur pilihan raya.
Di sebalik ketidakhirauan orang awam, kemarahan terhadap pemimpin ini terus berkembang selari dengan keadaan ekonomi yang semakin lumpuh.
Penunjuk perasaan menggunakan kemudahan Internet secara optimum untuk menjalan dan merancang demonstrasi. Mereka juga mendapat motivasi daripada pergerakan yang dilakukan di Tunisia, yang dilakukan sebulan sebelum berjaya mengguling tampuk pemerintahan 23 tahun pemerintah autokratik, Zine El-Abidine Ben Ali.
SALAH guna kuasa, korupsi dan penindasan hak asasi menjadikan orang awam Mesir bangkit secara besar-besaran.
Bangga dengan revolusi Mesir
Dalam pada itu Kosmo! yang sempat menemu bual wartawan akhbar Al-Ahram Weekly, Rasha Sadek melalui laman sesawang sosial diberitahu, keadaan penduduk di sana masih dalam stabil dan mereka baru memperoleh sambungan rangkaian Internet.
“Beberapa hari yang lalu banyak pertubuhan politik dan awam yang memberikan pelbagai berita untuk kami terus aktif melapor keadaan huru-hara, rompakan, gangsterisme dan kecurian yang menjadi isu sebenar bagi orang awam di rumah. Kami membentuk satu jawatankuasa awam untuk melindungi rumah, aset dan harta benda.
“Ia satu pengalaman yang baik. Saya bangga dengannya, Saya berpendapat apa yang berlaku di Mesir sebagai satu revolusi yang paling pantas dan berjaya untuk dinikmati. Ia mengambil masa 29 hari bagi Tunisia tetapi, hanya seminggu untuk kami bersatu dan berdemonstrasi secara besar-besaran.”
“Media memberikan fokus terhadap apa yang berlaku. Bebas dan adil. Tetapi ia tidak akan berakhir. Apabila berlaku pembentukan kuasa, kita akan menghadapi lebih banyak peraturan,” jelas Rasha ketika dihubungi Kosmo! menerusi laman Facebook yang baru dibuka semula pada Rabu, lalu.
Pensyarah Sains Politik di Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Pengajian Strategik, Fakulti Sains dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Rashila Ramli, yang dihubungi Kosmo! berkata, secara umumnya pemerintahan yang mengambil tempoh masa yang lama, semestinya memberikan satu persepsi yang tidak menyenangkan rakyat.
“Ini kerana, pemerintahan yang lama akan ada elemen-elemen kekurangan praktis demokrasi. Mengikut penyelidikan, penggal sesuatu pemerintahan adalah selama enam tahun atau lapan tahun bagi dua penggal. Ada sebab mengapa ia dihadkan sebegitu. Ini kerana lebih lama seseorang memerintah, unsur pemerintahan yang tidak baik boleh wujud dan kepekaan kepada kehendak rakyat mungkin pudar,” ulas beliau.
Cuti Hari Jumaat atau Sabtu?
2 weeks ago
0 comments:
Post a Comment