KAHERAH: Ribuan kakitangan awam Mesir mengadakan protes, semalam, bagi mendesak diberi gaji serta keadaan kerja lebih baik.
Di luar bangunan stesen radio dan televisyen kerajaan, beratus-ratus pekerja pengangkutan awam berdemonstrasi menuntut kenaikan gaji, manakala ratusan ahli Pertubuhan Belia dan Sukan Mesir turut menunjuk perasaan di Dataran Tahrir membuat tuntutan sama.
Di seberang Sungai Nil di daerah Giza, beratus-ratus pemandu ambulans - dengan tuntutan kenaikan gaji dan diberi kerja tetap - turut mengadakan protes.
Di tengah Kaherah, kira-kira 200 anggota polis terus mengadakan protes untuk hari kedua.
Selain mahu membersihkan nama sebagai tali barut rejim Hosni Mubarak, anggota keselamatan itu juga mahu diberi gaji lebih baik.
Sambil membawa gambar rakan mereka yang terbunuh dalam pertempuran dengan penunjuk perasaan sebelum ini, anggota polis terbabit turut menyalahkan rejim Hosni.
Disebabkan mogok kakitangan bank terbesar Mesir - Bank Nasional - Bank Pusat terpaksa mengarahkan semua bank di negara itu ditutup.
Operasi dijangka disambung semula esok selepas cuti Maulidur Rasul hari ini.
Bagaimanapun, pasaran saham akan terus ditutup sehingga minggu depan walaupun sebelum ini pentadbirannya mengumumkan bursa itu akan dibuka esok selepas tergendala selama tiga minggu.
Majlis Tertinggi Angkatan Tentera yang mengambil alih kuasa daripada Hosni pada Jumaat lalu berkata, keselamatan dan pemulihan keadaan dalam negara menjadi keutamaan mereka.
Mereka juga menyeru orang ramai kembali bekerja bagi menyelamatkan ekonomi Mesir yang terjejas akibat protes besar-besaran selama 18 hari.
Tentera turut menggalakkan golongan muda mempertimbangkan idea menubuhkan parti politik dan berjanji mengadakan pertemuan dengan mereka secara kerap. - AP
Cuti Hari Jumaat atau Sabtu?
4 weeks ago
0 comments:
Post a Comment