DALAM usaha memartabatkan penggiat seni di negara ini, sememangnya terdapat pelbagai majlis anugerah telah dianjurkan untuk memberi pengiktirafan yang sewajarnya kepada mereka.
Biasanya, masyarakat lebih sinonim dengan penganjuran anugerah seperti Festival Filem Malaysia, Anugerah Skrin, Anugerah Industri Muzik atau Anugerah Bintang Popular memandangkan ia dianjurkan setiap tahun.
Bagaimanapun, ramai juga yang tidak sedar bahawa terdapat satu lagi anugerah berprestij yang dikenali sebagai Anugerah Seri Angkasa (ASA). Mungkin anugerah ini sudah mula dilupakan memandangkan kali terakhir ia dianjurkan empat tahun yang lalu.
Kini ASA 2010 kembali dianjurkan dengan matlamat untuk menyuntik semangat para karyawan dan penyiar tempatan untuk terus berjuang di persada industri penyiaran dan seni tanah air.
Mungkin tidak ramai yang tahu mengenai acara yang cukup berprestij itu. ASA pada asalnya adalah satu acara yang dianjurkan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang juga badan penyiaran rasmi kerajaan.
Menyingkap serba sedikit sejarah mengenai ASA, ia mula diperkenalkan pada tahun 1972 iaitu selepas tiga tahun pelaksanaan penggabungan Radio Malaysia dan TV Malaysia kepada RTM.
Antara tarikan utama ketika ia mula-mula dianjurkan adalah dengan memperkenalkan beberapa kategori seperti drama terbaik, pelakon drama lelaki dan wanita, penulisan skrip, pengacaraan, juruhebah radio serta penerbitan dokumentari terbaik.
Tidak ketinggalan ia turut memberi pengiktirafan kepada bahagian sokongan seperti audio, jurukamera, penyunting visual serta penataan cahaya meskipun ketika itu era penyiaran masih lagi dalam format hitam putih.
Bermula dari tahun 1972 sehingga 2000, penyertaan untuk menyertai anugerah itu adalah terbuka kepada kakitangan RTM sahaja memandangkan anjurannya adalah atas inisiatif RTM sendiri.
Namun acara ASA 2004 membuka lembaran baru apabila RTM yang terletak di bawah Kementerian Penerangan telah mengorak langkah dengan mengambil keputusan untuk membuka penyertaan kepada stesen penyiaran swasta di negara ini.
SHOUT AWARD 2009 tercalon dalam kategori Hiburan TV Muzikal Terbaik.
Keputusan tersebut dibuat kerana pihak kementerian mahu memujudkan persaingan yang lebih sihat dalam kalangan karyawan industri penyiaran negara. Malah, usaha tersebut diteruskan lagi pada penganjuran ASA 2006.
Ternyata penglibatan stesen-stesen penyiaran swasta seperti Media Prima Berhad (MPB) Astro telah menyemarakkan lagi anugerah berkenaan diangkat sebagai antara acara anugerah yang cukup berprestij di negara ini.
Semenjak penyertaannya dibuka kepada semua stesen, ASA juga telah dijadikan sebagai majlis anugerah rasmi peringkat nasional dalam bidang penyiaran. Namun begitu, mana-mana stesen masih boleh menganjurkan majlis anugerah sendiri.
Penganjuran bersama
Untuk mengeratkan lagi hubungan serta semangat setiakawan di antara tiga peneraju utama stesen penyiaran negara iaitu RTM, Media Prima dan Astro, maka buat kali pertamanya ASA 2010 dianjurkan oleh ketiga-tiganya dengan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) selaku peneraju induk.
Dengan tema Dunia Penyiaran: Citra Budaya Malaysia, ASA 2010 menyaksikan sebanyak 53 kategori akan dipertandingkan iaitu 34 kategori televisyen, 16 kategori radio, tiga Anugerah Khas Juri Televisyen, Radio dan Anugerah Tokoh Seri Angkasa.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, sebanyak 521 penyertaan telah diterima yang merangkumi 323 pencalonan kategori televisyen dan 198 kategori radio.
“Jumlah penyertaan telah meningkat sebanyak 20 peratus berbanding empat tahun lalu. Ia satu pencapaian yang membanggakan kerana di samping semua stesen penyiaran bergabung untuk menganjurkannya, jumlah penyertaan turut meningkat.
“Saya juga yakin dan percaya dengan kerjasama yang erat ini membuatkan setiap stesen televisyen di negara ini meningkatkan lagi kualiti rancangan pada masa akan datang,” ujarnya.
Pecahan pencalonan pada acara kali ini ternyata sama seperti sebelumnya. RTM masih lagi mendominasi dengan jumlah 244 penyertaan yang merangkumi 133 kategori TV dan 111 kategori radio.
Ia diikuti pula dengan Media Prima yang menghantar 100 penyertaan untuk kategori TV dan 17 kategori radio, manakala 101 penyertaan menerusi 76 kategori TV 25 kategori radio telah diterima dari Astro.
Turut tidak ketinggalan menghantar penyertaan pada ASA 2010 adalah Bernama (32), 988 FM (lapan), Cats FM (tujuh), THR (tujuh), Suria FM (dua) dan Filem Negara Malaysia (tiga).
Bakal berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur pada 18 dan 19 Februari, orang ramai boleh menyaksikannya secara langsung menerusi saluran TV1 (RTM), TV9 (Media Prima) dan Astro Prima (Astro) yang bermula pukul 8.30 malam
Promosi saat akhir
Dijadualkan bermula esok dan akan berlangsung selama dua hari, namun seminggu sebelum berlangsung acara ASA 2010 ternyata masih kurang promosi yang dilakukan terutama melalui iklan di radio dan televisyen.
Tidak dinafikan bahawa antara pihak yang dilihat gigih untuk mempromosikan anugerah berkenaan hanyalah stesen RTM. Malah, Media Prima yang dipertanggungjawabkan untuk memikul tugas menerajui jawatankuasa pengiklanan dan promosi seperti sepi daripada sebarang publisiti.
Mengulas mengenai perkara tersebut, Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima, Ahmad Izham Omar menyatakan sebenarnya pihaknya telah mula menguar-uarkan mengenai ASA 2010 sejak 4 Februari lalu.
“Memandangkan acara yang akan diadakan ini disiarkan secara langsung melalui saluran TV9, maka promosi melalui iklan lebih banyak dibuat menerusi saluran tersebut.
“Bermula pada 14 Februari pula saluran Media Prima yang lain seperti TV3, 8TV serta saluran radio Hot FM sudah mula mengiklankan acara ini dengan lebih kerap sehingga ia berlangsung nanti,” ujarnya.
SEHATI BERDANSA
Tambah Izham lagi, selain promosi yang lebih agresif oleh Media Prima dan RTM, stesen Astro turut tidak ketinggalan untuk mempromosikannya. Malah, beberapa hari sebelum bermulanya ASA 2010, pihaknya turut mengiklankannya di media cetak.
Sementara itu, ketika ditanya kenapa promosi yang lebih agresif dibuat pada saat-saat akhir, beliau menjelaskan pihaknya berbuat demikian agar debaran dan kehangatan ASA 2010 akan lebih dirasai oleh semua pihak.
“Apabila kita membuat promosi yang terlalu awal, dibimbangi orang ramai akan lupa mengenai acara anugerah ini. Jadi lebih baik sekiranya ia diadakan pada saat-saat akhir,” ujarnya.
Penjurian
Buat julung-julung kalinya, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) telah dilantik oleh pihak kementerian untuk menerajui jawatankuasa penghakiman dan pengauditan.
Penolong Pengarah Kanan Insentif Finas, Subaidah Md. Top berkata, untuk penjurian bagi 53 kategori yang dipertandingkan, sebanyak 30 orang juri yang telah dilantik.
“Seperti yang sedia maklum ASA 2010 merangkumi dua bahagian iaitu TV dan radio. Manakala kesemua juri yang dilantik ini tidak mengadili semua kategori, sebaliknya mereka akan dipecahkan kepada beberapa kumpulan.
“Dalam setiap kumpulan akan ada enam atau tujuh orang juri dan mereka ini sememangnya memiliki kepakaran dan kelayakan dalam bidang masin-masing. Kemudian tempoh selama seminggu telah diperuntukkan untuk mengadili setiap kategori,” ujarnya.
Jelas Sabariah lagi, untuk memastikan sistem penjurian itu menjadi lebih telus, juruaudit dari Jabatan Juruaudit Negara telah dilantik untuk mengaudit setiap penilaian yang dilakukan.
Menurutnya, memandangkan Finas baru kali pertama diberi tanggungjawab untuk menerajui jawatankuasa tersebut, mereka juga menerima nasihat daripada pihak-pihak yang seperti RTM, Media Prima dan Astro.
“Tidak dinafikan ada juga beberapa penyertaan yang terpaksa ditolak. Misalnya, penerbitan yang dihasilkan itu adalah di luar jangka masa siaran antara tempoh 1 Jun 2009 hingga 31 Julai 2010,” ujarnya.
Perkhemahan Sunnah dan Konvokesyen sunnah?
3 days ago
0 comments:
Post a Comment