Loji Rawatan Air Langat 2 masih belum dibina
KUALA LUMPUR: Krisis air di negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya membabitkan lebih 7.1 juta pengguna dijangka berlaku lebih awal daripada 2014.
Ini berdasarkan faktor Loji Rawatan Air Langat 2 yang masih belum dibina dan cadangan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan air akibat permintaan meningkat tidak dijalankan.
Ketua Eksekutif SYABAS, Datuk Ruslan Hassan, berkata berdasarkan unjuran pengeluaran dan permintaan air yang meningkat empat peratus setahun, negeri terbabit dijangka mengalami kekurangan bekalan air, mencecah 700 juta liter sehari jika loji rawatan terbabit gagal disiapkan sebelum 2015.
“Setakat ini kerja di Langat 2 belum dimulakan kerana isu berbangkit antara Kerajaan Pusat dan negeri belum selesai. Kita menjangkakan krisis air diramal itu akan berlaku lebih awal,” katanya kepada Berita Harian semalam.
Terdahulu pada majlis sambutan Hari Air Sedunia di ibu pejabat SYABAS di sini, Ruslan berkata permintaan air semakin meningkat setiap tahun dengan pengeluaran air bersih mencecah 4,074 juta liter sehari (JLH) pada bulan ini berbanding 3,952 JLH pada Januari 2010 iaitu 6.61 peratus kenaikan.
SYABAS mencadangkan 10 projek bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan air di negeri terbabit, namun hanya projek saluran paip alternatif menyambungkan sistem agihan air dari Loji Rawatan Air Sungai Semenyih, ke Loji Rawatan Air Sungai Langat dijalankan selepas kerajaan membekukan pelaksanaan program perbelanjaan modal CAPEX SYABAS pada 2008.
Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk N Marimuthu berkata pembekuan projek pemasangan paip baru itu perlu ditarik balik bagi memastikan pengguna mendapat bekalan air bersih dan selamat kerana kebanyakan paip lama sudah berkarat selain kerap bocor.
Perkhemahan Sunnah dan Konvokesyen sunnah?
5 days ago
0 comments:
Post a Comment