Tuesday, April 26, 2011

Wanita Maghribi cari jodoh di internet

| Tuesday, April 26, 2011 | 0 comments


GOLONGAN wanita Maghribi dilihat lebih berani dan serius dalam mencari pasangan di internet berbanding lelaki.

DI negara yang kebanyakan perkahwinannya masih diatur, ribuan individu yang bujang serta kesepian mencari pasangan mereka dengan hanya satu klik di tetikus komputer di laman web Soukzouaj.

"Laman mencari jodoh itu direka pada Jun 2010. Walaupun masih baru, laman ini boleh dikatakan berjaya mungkin kerana ia percuma dan juga mudah," kata Pengasas Soukzouaj, Yasser Nejjar.

Setiap hari, kira-kira 2,600 calon pasangan akan melayari laman itu dan dua per tiga daripadanya ialah wanita.

Laman itu akan menunjukkan peta Maghribi yang dibahagikan kepada 16 bahagian, kemudian pelayar hanya perlu klik pada bahagian yang dipilih untuk mencari pasangan.

"Sebagai contoh, berdasarkan pemerhatian hari ini sebanyak 1,670 catatan masuk daripada wanita berbanding lelaki 870 sahaja.

"Saya berpendapat keadaan ini menandakan wanita lebih berani berbanding lelaki. Kebanyakan catatan menunjukkan mereka benar-benar komited serta berminat untuk mengikat hubungan halal menerusi perkahwinan," kata Nejjar.

Penganalisis Maghribi menganggap laman perkahwinan itu merupakan satu fenomena baru yang mempunyai kaitan dengan teknologi komunikasi, walaupun di negara ini kebanyakan perkahwinan sudah diatur mengikut pilihan ibu bapa.

"Kini, golongan perempuan juga boleh memilih pasangan mereka. Mereka mahukan suami yang cintakan mereka, hormat, lelaki yang tidak mempunyai ibu yang berfikiran kolot yang tidak membenarkan mereka tinggal berasingan selepas berkahwin kelak," kata ahli sosiologi, Soumaya Naamane Guessous.

Katanya lagi, kejayaan laman Soukzouaj menunjukkan bahawa di negara yang kebanyakan anak-anak berkahwin atas pilihan ibu bapa sudah berubah. Golongan remaja perempuan tidak lagi menerima bulat-bulat pilihan ibu bapa mereka.


LAMAN Soukzouaj menjadi fenomena di Maghribi dalam kalangan orang muda.

Angka rasmi terbaru menunjukkan lebih 13 juta orang melayari laman sesawang di negara yang mempunyai populasi 32 juta penduduk itu.

Malah, penggunaan internet juga memainkan peranan dalam demonstrasi yang dilakukan baru-baru ini iaitu reformasi prodemokrasi di Maghribi. Ia mengikuti trend di dunia Arab yang bermula di Tunisia di mana protes yang berterusan menyebabkan kejatuhan Presiden Zine el Abidine Ben Ali, Januari lalu.

Protes pertama di beberapa bandar di Maghribi pada 20 Februari lalu merupakan suara yang mewakili golongan belia melalui laman sosial Facebook.

Berbalik kepada laman Soukzouaj, kebanyakan catatan wanita adalah yang menggunakan dialek Maghribi dan Perancis. Ini menunjukkan mereka mengharapkan permintaan mereka dihormati serta menepati ciri calon suami yang dianjurkan Islam.

"Wanita muda Maghribi, guru, mahukan calon Muslim yang baik hati, lelaki yang baik, menghormati wanita serta ikhlas dari segala sudut," menurut salah satu posting di laman tersebut.

Sementara itu, catatan kaum lelaki pula lebih kepada kedudukan sosial dan kesungguhan mereka.

"Saya Simo, 28 tahun berasal dari Rabat, bekerja sebagai jurutera komputer sektor kerajaan, baik dan serius, mencari pasangan dari bandar untuk hubungan yang serius, semoga dengan izin Tuhan, hubungan yang terjalin akan membawa kepada perkahwinan yang suci," kata seorang jejaka yang sedang mencari pasangan yang diimpikannya.

Menurut seorang pemerhati, kewujudan laman perkahwinan itu menunjukkan perubahan yang terjadi berikutan kemodenan yang dialami masyarakat Maghribi.

"Selain itu, kami juga melihat terdapat ramai lelaki dan wanita yang dalam kesunyian dan kecewa," kata Naamane Guessous. - AFP

0 comments:

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

THERE ARE MORE HERE

 

Malay Mail Online

The Star Online: Most Viewed: Nation

NST Online: Topnews

The New York Times

The Washington Post

Gossip Cop

Harakahdaily

Malaysiakini

Harian Metro: BeritaUtama

Berita Harian: Mutakhir

Kosmo Online

CNN.com

Followers

Please leave your blog link

© Copyright 2010. insanidaily.com . All rights reserved | insanidaily.com is proudly powered by Blogger.com | Template by insanidaily.com - insanidaily.com