KUALA LUMPUR – Seramai 37,000 pekerja ladang dan kilang kelapa sawit Sime Darby Plantation bakal menikmati kenaikan gaji sebanyak RM200 sebulan bermula 1 Julai ini.
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sime Darby Bhd., Datuk Mohd. Bakke Salleh berkata, ganjaran tersebut meliputi tambahan pendapatan sebanyak RM2,400 setahun bertujuan meningkatkan taraf hidup pekerja.
“Kebajikan pekerja-pekerja ladang sememangnya menjadi perhatian dan keutamaan dan ganjaran ini adalah tanda penghargaan kepada mereka yang selama ini menjadi tulang belakang operasi perladangan Sime Darby.
“Kami percaya dengan meningkatkan kualiti hidup mereka melalui gaji dan keistimewaan yang terbaik akan meningkatkan komitmen serta prestasi mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mengumumkan pemberian ganjaran tersebut di Pusat Konvensyen Sime Darby di sini semalam.
Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Sumber Manusia, Datuk S. Subramaniam dan Ketua Pegawai Operasi Sime Darby, Datuk Abd. Wahab Maskon.
Mohd. Bakke memberitahu, ketika ini 43 peratus atau kira-kira 16,000 daripada 37,000 pekerja ladang syarikat itu adalah rakyat tempatan yang menerima gaji minimum RM850 hingga RM900 sebulan tidak termasuk pelbagai elaun lain.
Sementara itu, Subramaniam menyarankan semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan juga majikan agar mengikut jejak langkah Sime Darby dalam meningkatkan gaji para pekerja supaya mereka menikmati kehidupan yang lebih baik.
Cuti Hari Jumaat atau Sabtu?
4 weeks ago
0 comments:
Post a Comment