Wednesday, June 8, 2011

Gempa bumi 11 Mac kucar-kacirkan industri automotif Jepun

| Wednesday, June 8, 2011 | 0 comments



KUALA LUMPUR: Gempa bumi dahsyat yang melanda wilayah Tohoku, di timur Jepun, yang disusuli tsunami pada 11 Mac serta ancaman radiasi berikutan kerosakan loji nuklear Fukushima No 1, mengucar-kacirkan ekonomi Jepun.

Bencana alam itu menyebabkan jalan raya, pelabuhan, rumah dan infrastruktur penting yang lain mengalami kerosakan teruk.

Bencana itu menghentikan kebanyakan kemudahan pengeluaran syarikat yang terletak di kebanyakan kawasan yang paling teruk dilanda bencana itu.

Kebanyakan syarikat yang terletak di luar kawasan yang mengalami kesan gempa bumi dan tsunami itu juga terpaksa menghentikan pengeluaran berikutan gangguan kuasa serta kesukaran mendapatkan sumber bahan mentah, alat ganti, komponen dan barangan siap.

Wilayah Tohoku adalah antara pusat kawasan pengeluar alat ganti dan bahan komponen automotif yang penting.

Persatuan Pengeluar Automotif Jepun (JAMA), berkata jualan kenderaan baru pada April merudum kepada rekod 47.3 peratus berbanding setahun lepas berikutan gangguan pengeluaran yang disebabkan kekurangan alat-alat ganti berikutan gempa bumi dan tsunami 11 Mac.

Ia adalah bulan kedua berturut-turut penurunan mendadak jualan kenderaan, selepas jualan Mac 2011 yang turun 35.1 peratus, katanya.
"Toyota mencatatkan penurunan paling teruk sebanyak 68.7 peratus manakala pengeluaran Honda mengecut 48 peratus dan Nissan sebanyak 37.2 peratus."

Menurut JAMA, pengeluaran tidak dijangka kembali ke paras pra-gempa bumi sehingga lewat tahun ini dan tidak dapat memenuhi permintaan pelanggan bagi serahan mengikut masa.

Katanya, menjelang pertengahan April, kesemua kilang memulakan semula operasi, bagaimanapun, pengeluaran di talian pemasangan dilakukan pada paras rendah antara 50 dan 70 peratus berbanding paras pragempa bumi.

Penulis berada di Yokohama, Jepun, bagi menghadiri Pameran Industri Automotif Malaysia (MAIE) yang diadakan serentak dengan Pameran Kejuruteraan Automotif (AEE) dari 18 hingga 20 Mei lalu.

Pada akhir Mac, Toyota berkata, mereka berdepan kesukaran mendapatkan kira-kira 500 alat ganti automotif.

Unit kawalan engin, alat ganti berkaitan brek dan kepingan keluli adalah antara komponen yang paling teruk menerima kesan. Kira-kira sebulan kemudian, pada 12 Mei, jumlah itu diturunkan kepada 30 jenis alat ganti.

Wilayah Tohoku adalah pusat peralatan serta acuan alat ganti jitu automotif dan beberapa pengeluar yang menerima kesan gempa bumi dan tsunami itu, mengalami kemusnahan teruk keseluruhan jentera dan mesin, stok dan malah pekerja serta bangunan kilang.

Memburukkan lagi keadaan, pada awal Mei, Perdana menteri Jepun, Naoto Kan meminta Chubu Electric Power Co supaya menghentikan sementara loji nuklear Hamaoka di Prefecture Shizuoka, di kawasan pantai Pasifik, yang telah diberi amaran oleh pakar seismologi akan berlaku gempa bumi yang besar.

Kompleks nuklear itu dibina pada "jaluran gempa" dan dikatakan berisiko menerima kesan gempa bumi yang kuat.

Pengendali loji itu, Chubu Electric Co, menghentikan operasi loji itu pada Ahad, 15 Mei, yang dijangka ditutup selama kira-kira dua tahun.

Pihak industri bimbang ini akan memberi kesan buruk kepada industri pemasangan di wilayah Chubu atau wilayah Tokai, yang juga tumpuan kilang pemasangan utama pengeluaran kenderaan seperti Toyota, Honda dan Suzuki.

Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia di Tokyo, Yuslinawati Mohd Yusof, berkata kesan selepas gempa bumi itu terhadap perdagangan Malaysia dengan Jepun boleh dilihat dalam pelbagai industri, terutama sekali industri utama Jepun, khususnya automotif, besi dan keluli serta industri elektrik dan elektronik (E&E).

Suguru Okubo, Timbalan Pengarah Jabatan Pengiklanan, Daily Automotive News, berkata pembekal alat ganti dan komponen automotif Malaysia perlu bertindak dengan segera untuk menawarkan perkhidmatan masing-masing kepada pengeluar automotif Jepun selepas bencana di wilayah Tohoku.

Ketika membuat seruan itu, beliau berkata, pengeluar autotomiotif Jepun kini sedang mencari sumber komponen automotif dan alat ganti dari seluruh dunia.

"Ia sememangnya turut terbuka kepada para pembekal Malaysia," katanya ketika memberi ceramah kepada wakil 11 pengeluar alat ganti dan komponen automotif Malaysia yang menyertai MAIE dan AEE berkenaan.

Okubo berkata, pengeluar automotif Jepun sedang mencari syarikat yang telah membangunkan ciri-ciri khas yang menarik.

"Mereka mensasarkan pertumbuhan masa depan dan akan bertindak mendapatkan rakan yang kukuh dan mengembangkan jaringan masing-masing di seluruh dunia," kata Okubo, yang pernah melawat pengeluar alat ganti dan komponen Malaysia pada masa yang lalu.

Berdasarkan fakta itu, beliau menasihati pembekal Malaysia agar bertemu para pengeluar automotif Jepun dan menunjukkan kepada mereka produk yang boleh mereka keluarkan.

Tadashi Mizushima, Wakil Pengarah PNB Asset Management (Japan) Co Ltd, berkata banyak syarikat Jepun kini mula memindahkan pangkalan pengeluaran masing-masing ke tempat yang lebih selamat di luar Jepun.

Mizushima, yang berpangkalan di Tokyo, berkata beliau akan mencadangkan Malaysia sebagai salah satu tempat itu kepada mereka, terutama sekali yang agak kecil yang tidak biasa dengan keupayaan pengeluaran Malaysia.

Sehubungan itu, katanya, agensi Malaysia yang diberi kepercayaan dengan tanggungjawab meningkatkan perdagangan dan pelaburan Malaysia dengan negara lain, perlu mengadakan banyak pameran atau seminar perdagangan di Jepun.

Yuslinawati pula menyeru pembekal Malaysia yang berminat berdagang dengan rakan mereka di Jepun supaya menunjukkan kualiti produk masing-masing dan adalah lebih baik daripada produk dari Amerika Syarikat atau Eropah.

"Testimoni produk masing-masing perlu dijelaskan mengikut asas-asas dan sokongan data sebenar," katanya, sambil menyatakan bahawa dari segi harga, pengeluar-pengeluar Malaysia kemungkinan berhadapan dengan kesukaran.

Walaupun harga produk Malaysia lebih kompetitif, ia masih mahal berbanding dengan produk yang dikeluarkan oleh China atau Taiwan, katanya.

Selain itu, pembekal Malaysia juga perlu bersabar dan sentiasa berhubung dengan pelanggan berpotensi masing-masing di Jepun bagi menunjukkan bahawa mereka serius.

"Sebaik mereka (pembeli di Jepun) memutuskan untuk membeli daripada kita, mereka akan menjadi pelanggan yang setia," katanya. - BERNAMA

0 comments:

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

THERE ARE MORE HERE

 

Malay Mail Online

The Star Online: Most Viewed: Nation

NST Online: Topnews

The New York Times

The Washington Post

Gossip Cop

Harakahdaily

Malaysiakini

Harian Metro: BeritaUtama

Berita Harian: Mutakhir

Kosmo Online

CNN.com

Followers

Please leave your blog link

© Copyright 2010. insanidaily.com . All rights reserved | insanidaily.com is proudly powered by Blogger.com | Template by insanidaily.com - insanidaily.com