Wednesday, June 8, 2011

KRU hasilkan Cicak-Man 3D

| Wednesday, June 8, 2011 | 0 comments



PENCAPAIAN trio beradik, Norman Abdul Halim, Yusry dan Edry dalam bidang hiburan tempatan memang tidak dapat disangkal. Bermula karier nyanyian menerusi album pertama, Canggih pada 1992, mereka terus cemerlang membina jenama KRU.

Usaha KRU berterusan apabila mereka bertapak di bawah jenama KRU Studios yang terbabit menghasilkan pelbagai filem antaranya Cicak-Man, Magika dan Hikayat Merong Mahawangsa (HMM).

KRU membuktikan fokus mereka terhadap bidang pembuatan filem membuahkan hasil apabila Magika menang tujuh anugerah termasuk Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-23 tahun lalu.

Begitu juga, HMM mencatat kutipan sebanyak RM6.6 juta diikuti Karak yang masih ditayangkan, terkini meraih kutipan sebanyak RM3.8 juta.

Meraikan segala kejayaan KRU dalam bidang perfileman dan muzik, KRU menyambut ulang tahun ke-19 pada tahun ini. Ikuti temubual wartawan Rap, ELRAFAEI SAPI (ahmadelrafaei@hmetro.com.my) bersama Presiden Eksekutif Kumpulan KRU, Norman Abdul Halim, kelmarin.


RAP: Tahniah atas kejayaan. Apakah yang dapat anda simpulkan?

NORMAN: Apa yang boleh saya cakap, perjalanan kami untuk mencapai kejayaan ini suatu yang luar biasa. Ini merujuk pada aspek pengalaman yang diraih, menang anugerah dan perkembangan perniagaan kami sendiri.

Kejayaan selama ini sebenarnya memberi kekuatan pada kami untuk terus maju ke depan dan mengerat pertalian anggota keluarga kami. Antara pencapaian muzik atau filem, sukar untuk saya katakan yang mana paling berjaya.

Suatu masa dulu, kami bermula sebagai penyanyi dan menjadi produser. Empat tahun pertama kami dalam bidang muzik ketika itu adalah mahu memberi tumpuan kepada karier sendiri.

Sehingga KRU Records ditubuhkan pada 1996 yang kini dikenali KRU Studios, kami mula membabitkan diri dalam bidang perniagaan. Dari syarikat sendiri, kami teruskan aktiviti seperti penerbitan album artis lain dan mengadakan konsert jelajah hingga ke luar negara.

Bagi kami, anugerah yang pernah diterima tidak lagi memberi makna. Bukan maksud kami tidak hargai pencapaian lalu tetapi kami berpegang, anugerah lalu menjadi tapak ke depan. Kami tidak mahu hanya berbangga dengan kejayaan lalu sebalik�nya terus berusaha agar lebih berjaya.

Kami memang tidak sangka sampai ke tahap ini. Bukan niat mendabik dada tetapi pencapaian kami suatu yang jarang untuk diraih.

Kami sedar dengan usaha kami bermula dari bawah hingga mencapai tahap sekarang. Untuk terus berjaya, kami membuat perancangan jangka pendek dan panjang tetapi setiap kejayaan jangka panjang bergantung pada pelan jangka pendek untuk dilaksanakan dengan berjaya.


RAP: Seperti mana diketahui umum, HMM diterbitkan untuk pasaran antarabangsa. Bagaimana KRU melihat pencapaian HMM?

NORMAN: Sejak 23 Mei lalu, HMM mula dipasarkan dalam format DVD dan ‘video on demand’ untuk pasaran United Kingdom (UK). Di sana, judul ditukar pada Clash of the Empire untuk kesesuaian pemasaran.

Begitu juga, HMM akan dipasarkan secara berpering�kat sehingga penghujung tahun ini. Seperti mana dimaklumkan sebelum ini, HMM sudah mendapat lesen pemasaran ke 70 negara di seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, Russia, Jerman, Australia, China dan Timur Tengah.

Setiap pasaran di negara berbeza mempunyai perancangan masing-masing seperti Russia dan Jerman dialih bahasa. Ini bermakna selepas enam bulan HMM ditayangkan di pasaran tempatan, penonton antarabangsa baru mula menonton filem ini.

Berbanding kutipan HMM meraih RM6.6 juta di sini, ia juga mencatat sambutan yang luar biasa. Kami tidak letak harapan tinggi pada penonton kerana kami tahu selera penonton tempatan berbeza dengan penonton antarabangsa.

Kami hasilkan HMM memang untuk matlamat pasaran antarabangsa dan kerana itu, filem ini menampilkan 40 peratus dialog dalam bahasa Inggeris. Wawasan kami mahu pasarkan filem ini secara global dan jika ia menggunakan bahasa Melayu sebanyak seratus peratus, ia agak sukar.


RAP: Apakah kerjasama HMM dengan pengedar antarabangsa menguntungkan?

NORMAN: Sebenarnya, kami sudah dapat pulangan modal sebelum tayangan dari kerjasama yang dilakukan. HMM memberi kejayaan besar pada kami bukan setakat kutipan di pasaran tempatan tapi ia sudah menembusi pasaran antarabangsa.

Pada kami, aspek kreativiti untuk mendapat penajaan dan penjualan hak cipta cukup penting. Ini kerana, ia dapat mengembali kos penerbitan sebanyak RM8 juta. Kami berjaya mendapat tajaan besar dari HMM dan ini sudah memberi kejayaan besar pada kami.


RAP: Fokus KRU pada karier nyanyian sendiri?

NORMAN: Kami memang sudah bersara dari persembahan pentas memandangkan gaya kami sekarang sebagai ahli perniagaan tidak lagi sesuai dengan imej kami lalu.

Menjadi penyanyi, perlu komitmen penuh dan kami tidak mempunyai masa untuk itu. Namun, kami akan tetap merakam single dan klip video pada masa depan.

Mungkin dua atau tiga lagu baru setahun sudah memadai buat kami dan mungkin kami akan tampil dengan album kompilasi sempena ulang tahun ke-20 KRU pada tahun depan.


RAP: Perancangan KRU mencari pelapis baru sama ada penyanyi mahupun pelakon?

NORMAN: Terbaru, kami memperkenalkan enam pe�nyanyi di bawah KRU, iaitu kumpulan VIP dianggotai Adam, Tiga, Forteen, Ika Mentor 5, Daus, Comel dan Ad Azhar.

Kami ada matlamat dengan bakat baru ini dan bukan sekadar buat untung atas mereka. Peranan KRU lebih pada strategi syarikat dalam menguruskan kerjaya nyanyian mereka.

Kami senang beri kontrak selama setahun pada mereka untuk mula bertapak dalam bidang ini dan kemudian bebas mengambil keputusan selepas itu. Kami tidak mahu mengongkong mereka sebaliknya kami mahu KRU menjadi seperti sekolah dan tempat mereka praktikal.

Jika mereka suka, mereka boleh terus bersama KRU. Kami mengamalkan dasar pintu terbuka dan terserah pada artis itu sendiri untuk buat keputusan.

Seperti kehadiran VIP, Tiga dan Forteen, mereka menjadi fenomena baru seperti muzik K-Pop di Korea. Seperti VIP, ramai penonton teruja bila menyaksikan persembahan mereka di pentas.

Sebenarnya, kami ambil semangat artis K-Pop dalam artis kami. Apa yang kami lakukan bukan meniru kerana budaya lagu ini sudah bermula suatu ketika dulu dan ia akan berpusing mengikut zaman.

Buat masa ini, lagu genre elektro pop menjadi kegemaran ramai dan ia menjadi budaya semasa. Berbanding dulu, muzik KRU lebih pada satu genre tetapi kini kami menjadi label yang ‘versatile’ pada genre lagu lain.


RAP: Apa projek filem seterusnya?

NORMAN: Kami menerbitkan enam filem baru iaitu empat filem, Cinta Kura-Kura, King Kapchai, 29 Februari dan Ular untuk pasaran tempatan manakala filem Vikingdom dan Rabbit untuk pasaran antarabangsa.

Dalam pada itu, kami akan menghasilkan filem Cicak-Man 3D yang akan memulakan penggambaran pada tahun depan dan jangka tayangan pada 2013.

Filem 29 Februari arahan Edry manakala Vikingdom (Yusry) akan dihasilkan dalam konsep stereoskopik. Menariknya, Vikingdom akan menampilkan aktor terkenal Hollywood, Dominic Purcell yang pernah membintangi filem Mission Impossible 2 dan drama bersiri, Prison Break.

Kami mendapat pengesahan Purcell untuk berlakon filem ini pada awal Mei lalu atas perbincangan bersama agennya. Dia bersetuju berlakon kerana menganggap skrip filem ini menarik dan sudah menonton filem HMM.

Dalam pada itu, kami akan mengambil empat lagi pelakon Hollywood. Matlamat kami mahu menjadikan KRU sebagai jenama global. Untuk pasaran AS, penerbitan Vikingdom dan Rabbit amat penting. Jika ada produk seperti ini, ia memudahkan kami untuk menembusi pasaran di sana.

Strategi kami senang saja, iaitu jika mahu jadi pemain bola sepak terkenal dan berpengalaman, kita harus bermain di peringkat antarabangsa.


RAP: Sebarang cadangan menambah baik perfileman tempatan?

NORMAN: Apa yang berlaku sekarang, tayangan satu filem baru seminggu memang tidak dapat dielak kerana jumlah filem baru diterbitkan bertambah. Kita harus sedar, ramai yang mahu jadi produser.

Ini mewujudkan pasaran terbuka dan persaingan semakin sengit. Saya fikir jika filem semakin banyak, tidak mustahil dua filem pula ditayangkan dalam tempoh seminggu.

Buat masa ini, dari Jun hingga November, jumlah filem untuk skim wajib tayang sudah penuh. Buat filem membabitkan kos dan produser tidak hanya berdiam diri tanpa tahu bila filem mereka akan ditayangkan.

Sebagai cadangan, produser perlu melihat pasaran luar negara tidak kira di Singapura, Thailand, Indonesia dan Eropah untuk membawa filem tempatan ke sana. Kita juga mampu tembusi pasaran China memandangkan kita mempunyai pelakon boleh berbahasa Mandarin.

Saya percaya pemasaran filem kita ke luar negara boleh memberi peluang lebih besar pada produser. Usaha sebegini juga dapat meningkatkan kualiti filem tempatan ke peringkat lebih tinggi.

0 comments:

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

THERE ARE MORE HERE

 

Malay Mail Online

The Star Online: Most Viewed: Nation

NST Online: Topnews

The New York Times

The Washington Post

Gossip Cop

Harakahdaily

Malaysiakini

Harian Metro: BeritaUtama

Berita Harian: Mutakhir

Kosmo Online

CNN.com

Followers

Please leave your blog link

© Copyright 2010. insanidaily.com . All rights reserved | insanidaily.com is proudly powered by Blogger.com | Template by insanidaily.com - insanidaily.com