KUALA LUMPUR 23 Jun - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 60 kereta jenis Chevrolet Captiva dari syarikat Naza Quest Sdn. Bhd., sebagai kereta rasmi sempena Pameran dan Persidangan Kedua Peralatan Polis 2011 (GPEC Asia 2011) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini dari 27 hingga 29 Jun ini.
Selain untuk kegunaan tetamu, satu unit kereta jenis Chevrolet Cruze dan dua unit Chevrolet Captiva yang diwarnakan sepenuhnya seperti kereta polis, turut dipamerkan kepada pengunjung-pengunjung pameran.
Menurut Ketua Pegawai Operasi Naza Quest, Datuk Maruan Mohd. Said, Chevrolet merupakan pilihan polis Amerika Syarikat sebagai kenderaan peronda kerana keupayaannya meningkatkan kecekapan ketika melaksanakan tugas.
Katanya, sebanyak 110 penyertaan dari syarikat tempatan dan 11 negara luar akan mengetengahkan peralatan polis terkini masing-masing.
"Antara peralatan dipamerkan termasuk 41 sistem keselamatan, kajian teknologi maklumat forensik, penyiasatan jenayah, teknologi kenderaan, kawalan trafik dan peralatan keselamatan jalan raya.
"Turut dipamerkan teknologi petugas khas, pakaian kalis peluru, senjata-senjata, peralatan kecemasan dan menyelamat," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan replika kunci kereta itu kepada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah.
Dalam perkembangan lain, Chin Wah memberitahu, empat anggota dari Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes peras ugut ke atas seorang lelaki pada 17 Jun lalu dibebaskan semalam, dengan jaminan polis.
Katanya, tindakan tersebut diambil atas arahan pihak Peguam Negara sementara menunggu siasatan membabitkan tiga anggota berpangkat Lans Koperal dan seorang berpangkat Koperal itu selesai.
"Kita masih dalam proses menyiapkan kertas siasatan tersebut sebelum dihantar kepada pihak pendakwa raya.
"Keempat-empat anggota terbabit ditempatkan di bahagian tugas-tugas am yang tidak melibatkan mereka berurusan dengan orang awam," katanya.
Perkhemahan Sunnah dan Konvokesyen sunnah?
2 days ago
0 comments:
Post a Comment