NEW YORK: Taufan Irene semalam melanda bandar raya ini, dengan angin kencang menggoncang bangunan pencakar langit di Manhattan menyebabkan banjir di pusat kewangan selepas meragut sekurang-kurangnya sembilan nyawa di sepanjang pantai timur Amerika Syarikat.
Taufan pertama yang melanda negeri Big Apple itu sejak berdekad lamanya membawa petir dan kilat, puting beliung dan hujan lebat. Sebaik taufan Irene menghampiri pantai New Jersey, angin kencang semakin berkurangan dengan kelajuannya jatuh kepada 120 kilometer per jam. Namun, ia masih membawa ribut.
Taufan itu melanda lagi buat kali kedua berhampiran Atlantic City, New Jersey, hanya beberapa ketika sebelum matahari terbit, semalam.
Sementara itu, bandar raya New York bagaikan bandar tinggal selepas 370,000 penduduk diarahkan berpindah dari kawasan yang mudah dilanda banjir termasuk dekat Wall Street dan Pulau Coney, selain sistem pengangkutan utama dihentikan.
Sistem kereta api bawah tanah, bas dan feri terkenal Pulau Staten ditutup kelmarin, begitu juga dengan semua lapangan terbang berhampiran, melumpuhkan bandar raya terbesar Amerika Syarikat itu.
Datuk Bandar, Michael Bloomberg memberitahu dalam sidang akhbar bahawa untuk lari dari taufan itu kini adalah mustahil.
“Pada masa ini, jika anda belum berpindah, saranan kami ialah anda kekal di tempat anda,” katanya. “Bencana ini lebih kuat berbanding kita semua,” tambahnya.
Taufan Irene mula melanda AS jam 8 pagi kelmarin di Cape Lookout, Carolina Utara, berhampiran rangkaian pulau sawar dan terbukti sangat bahaya.
Sekurang-kurangnya sembilan orang mati kelmarin - akibat nahas jalan raya, diserang sakit jantung dan ditimpa pokok tumbang - di Carolina Utara, Virginia dan Florida.
Mangsa termuda, kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun maut selepas sebatang pokok menimpa apartmen yang dihuninya di Newport News, Virginia. Taufan itu kemudian bergerak menuju ke arah lautan di pantai Virginia dan Maryland. - AFP
Perkhemahan Sunnah dan Konvokesyen sunnah?
5 days ago
0 comments:
Post a Comment