KUALA LUMPUR: Sikap pengguna jalan raya di negara ini yang tidak sabar, kelam-kabut, suka memandu laju dan menukar lorong dengan sesuka hati, perlu diubah untuk mengurangkan kemalangan.
Anggota Majlis Keselamatan Jalan Raya Kebangsaan, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata kempen keselamatan jalan raya memang perlu diadakan, tetapi ia tidak akan berhasil selagi pengguna tidak mematuhi perkara asas berkaitan keselamatan dan sikap berhemah serta tidak mengubah sikap angkuh dan tidak bertanggungjawab masing-masing ketika di jalan raya.
"Mereka sedar mengenai bahaya di jalan raya, tapi reaksi mereka berubah apabila mereka memandu, dan membahayakan nyawa sendiri serta nyawa orang lain apabila mereka menganggap jalan dan lebuh raya sebagai trek perlumbaan Formula Satu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Lee berkata, Malaysia mengalami kerugian lebih kurang RM9 bilion setahun akibat kemalangan jalan raya melalui perbelanjaan untuk membaiki kerosakan, membayar insurans dan bil perubatan.
"Kajian menunjukkan lebih separuh daripada kemalangan jalan raya membabitkan mereka yang berusia antara 18 dan 40 tahun, yang juga aset penting negara," katanya.
Lee berkata, pada 2010, 414,421 kes kemalangan jalan raya dilaporkan, berbanding 397,330 pada tahun sebelumnya, yang menunjukkan peningkatan sebanyak 4.3 peratus. Jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya pula meningkat dua peratus kepada 6,872 pada 2010 daripada 6,745 pada 2009.
Katanya, kemalangan kenderaan bermotor adalah kes tertinggi berkaitan kemalangan dan kematian berkaitan kerja. "Masalahnya, ada orang yang tidak pernah mengambil pengajaran daripada gambar-gambar mengerikan mengenai kenderaan yang remuk, mayat, mangsa yang mengerang kesakitan dan kepiluan yang dialami keluarga mereka," katanya. - BERNAMA
0 comments:
Post a Comment