
PUTRAJAYA: Seorang pelajar kolej swasta di ibu negara diperdaya seorang lelaki warga Afrika untuk membawa 100 pil seberat 600 gram dipercayai dadah jenis heroin ke China dengan bayaran RM5,000.
Akibatnya, mangsa yang berusia 22 tahun ditahan pihak berkuasa tempatan di Lapangan Terbang Shenzen, China pada 11 Mac lalu kerana disyaki membawa dadah di dalam tubuh dengan cara menelan.
Mangsa dipercayai diperdaya satu sindiket penyeludupan dadah antarabangsa yang menggunakan laman web sosial Facebook untuk menjerat mangsa, terutama pelajar institusi pengajian tinggi dan ibu tunggal, untuk membawa dadah keluar dari negara ini.
Sindiket didalangi warga Afrika itu dipercayai cuba mendekati sasaran atau mangsa menggunakan Facebook sebelum memperdaya dan memperalat mereka untuk membawa dadah ke negara destinasi.
Mendedahkan perkara itu, Timbalan Menteri Luar, Datuk Richard Riot berkata, mangsa yang juga pelajar tahun akhir jurusan kejururawatan berkenalan dengan lelaki Afrika yang menggunakan nama samaran ‘Chimezie Michael’ melalui Facebook sejak tahun lalu.
Katanya, mangsa yang berasal dari Betong, Sarawak mengaku tidak pernah bertemu secara langsung dengan lelaki terbabit sejak berhubung melalui laman web sosial itu, malah tidak mengetahui nama penuh dan latar belakangnya.
“Sebelum ke China, Michael mengarahkan mangsa menelan 100 pil yang mengandungi dadah dan dia akan dibayar RM5,000 apabila pulang dari China kelak.
“Malah, mangsa menguruskan sendiri segala urusan visa dan tiket penerbangan diuruskan. Bagaimanapun, sebaik tiba di lapangan terbang itu pada 11 Mac, beliau ditahan pihak berkuasa tempatan kerana disyaki membawa dadah dalam tubuh dengan cara menelan.
“Mangsa kemudian dibawa ke Pusat Tahanan Shenzhen untuk siasatan lanjut. Ketika ini, gadis itu dalam keadaan sihat.
“Wakil kita di China turut meminta pihak berkuasa tempatan di sana memberi layanan baik kepadanya,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Hari Keluarga Wisma Putra di Taman Wetland, di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Setiausahanya, Datuk Mohd Radzi Abdul Rahman.
Richard berkata, beliau sedih selepas dimaklumkan gadis terbabit hanya dijanjikan RM5,000 untuk membawa dadah berkenaan dan percaya ia dilakukan atas dasar kesempitan hidup.
“Sindiket ini menjadikan pelajar institusi pengajian tinggi dan ibu tunggal sebagai sasaran kerana mungkin golongan ini mudah diperdaya akibat kesempitan hidup dialami,” katanya.
Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai, terutama pelajar, supaya berhati-hati ketika menggunakan Facebook dan jangan mempercayai kenalan baru, terutama warga Afrika, bagi mengelak terpedaya dengan sindiket ini.
“Saya selalu cakap Facebook ada kebaikannya, tetapi jika salah guna boleh ia jadi musuh ketat. Pada masa sama, berhati-hati dengan mereka yang ingin berkenalan, terutama warga Afrika, kerana mereka mungkin ada niat tersembunyi di sebalik perkenalan,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan bagaimana dadah terbabit tidak dapat dikesan di negara ini ketika pemeriksaan dilakukan.
Sementara itu, Richard berkata, sehingga 31 Mac lalu, 1,880 rakyat Malaysia ditahan di luar negara, di mana 833 ditahan kerana kesalahan menyeludup dadah.
Katanya, kebanyakan yang ditahan kerana menyeludup dadah berusia antara 20 hingga 30 tahun dan tiada rekod jenayah, selain tidak bekerja atau berpendapatan rendah.
“Kebanyakan rakyat kita ditahan di Thailand iaitu 272 orang; Singapura (164), Taiwan (125), China (82), Indonesia (37) dan Australia (23),” katanya.
Popular Posts
Sunday, April 24, 2011
Diperdaya rakan Facebook
Friday, February 4, 2011
Nikah tebus hutang karpet
ALOR SETAR: “Disebabkan ibu tak mampu membayar hutang karpet kira-kira RM3,000, saya terpaksa berkahwin dengan lelaki Pakistan yang menjual permaidani itu untuk melangsaikan hutang.
“Namun, selepas berkahwin pada Mac lalu, baru saya tahu dia tidak jujur kerana selepas enam bulan, suami meninggalkan saya tanpa khabar berita,” kata seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Hashimah, 29.
Dia yang kesal berkahwin dengan Mat Karpet itu berkata, semuanya bermula selepas ibunya membeli empat helai karpet daripada lelaki asing itu, tiga tahun lalu.
“Ibu saya beli secara bayaran ansuran RM30 sebulan, itu pun jika ada duit. Malangnya, ibu gagal membayar ansuran selama dua tahun sehingga bunga semakin meningkat.
“Lelaki terbabit meminta ibu menjelaskan hutangnya. Apabila ibu memberitahu dia tak ada duit, lelaki itu minta dikahwinkan dengan saya sebagai syarat untuk melangsaikan semua hutang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Kuala Kedah, di sini, semalam.
Hashimah berkata, kerana tiada pilihan selain bimbang nasib keluarganya terancam dia hanya mengikut kata-kata lelaki itu dan keluarganya.
Menurutnya, majlis pernikahannya diadakan secara kecil-kecilan dengan dihadiri saudara-maranya serta beberapa rakan lelaki itu.
“Majlis kenduri termasuk akad nikah diadakan di rumah saya dan ia dibuat secara kecil-kecilan,” katanya.
Menurutnya, pada awal perkahwinan tiada apa berlaku, tetapi selepas enam bulan, baru dia tahu yang suaminya mengaut keuntungan berlipat kali ganda hasil perniagaan karpet.
“Dia beli sehelai karpet daripada rakannya RM65, tetapi menjualnya kepada orang kampung sehingga RM400 dengan mendakwa ia berkualiti selain sukar didapati di negeri ini. “Saya anggap ibu dan ramai penduduk kampung yang membeli karpet daripada suami saya tertipu,” katanya.
Hashimah yang bekerja di sebuah pasar mini, dekat sini, berkata sejak itu dia mula meragui suaminya, malah mendakwa penjual karpet dari Pakistan datang ke negara ini hanya untuk berkahwin dengan gadis tempatan sebelum meninggalkan mereka.
“Apa yang berlaku ke atas saya mengaibkan, namun saya sedia mendedahkan untuk memberi pengajaran kepada orang lain supaya tidak mengalami nasib sama,” katanya.
Sementara itu, Harian Metro turut menemubual seorang Mat Karpet warga Pakistan di Jitra yang ketika itu rancak menjual permaidani kepada penduduk di Kampung Padang Sera, di sini.
Mat Karpet yang dikenali sebagai Bakti, 47, itu berkata, dia sudah lama menjual karpet di bandar ini, Jitra dan Perlis dengan menunggang motosikal sendirian sejak 20 tahun lalu sehingga mendapat taraf kerakyatan negara ini.
Katanya, karpet yang dijualnya itu buatan China yang dijual RM300 hingga RM500 sehelai dan pelanggan akan membayar ansuran RM30 hingga RM40 sebulan kerana tidak berkemampuan.
“Ada juga pelanggan tidak membayar ansuran bulanan, tetapi saya kasihan kerana ramai antara mereka orang susah.
“Ramai juga rakan saya yang menjual karpet berkahwin dengan gadis tempatan kerana ibu bapa mereka tidak mampu membayar hutang dan itu cara untuk melangsaikan hutang,” katanya yang mengakui lebih 10 rakannya menjalankan kegiatan menjual karpet di negeri itu.
Bakti mengakui harga sebenar karpet dijualnya jauh lebih murah, tetapi disebabkan mahu mengambil untung dan kos pengangkutan dia menjualnya pada harga tinggi.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Datuk Yusoff Ismail mengesahkan menerima lebih 20 aduan penduduk tempatan yang tidak puas hati dengan peniaga karpet, kebanyakannya rakyat Bangladesh, Pakistan dan Indonesia.
“Bagaimanapun, kes membabitkan peniaga karpet dari Pakistan yang dikesan bernikah dengan gadis tempatan hanya dua iaitu di Kulim dan Kuala Kedah,” katanya.
Yusoff berkata, lelaki warga asing terbabit kebiasaannya menjual karpet pada harga dua kali ganda lebih mahal berbanding harga pasaran walaupun tidak bermutu tinggi.
“Biasanya, mereka akan memujuk pelanggan supaya membeli karpet dan boleh membuat bayaran secara ansuran serendah RM20 setiap bulan.
“Kes ini kebanyakannya dikesan di luar bandar membabitkan pembeli yang tidak mampu membeli secara tunai. Apabila mereka gagal melunaskan hutang, Mat Karpet memberi pilihan supaya dikahwinkan dengan anak gadis mereka dan semua hutang termasuk bunga yang tinggi dikira selesai,” katanya.
THERE ARE MORE HERE
-
THE Kenanga Wholesale City, which is earmarked for completion by early 2010, is poised to be a landmark hub for Kuala Lumpur's wholesale...
-
Keluarga sihat terdiri daripada ahli-ahli keluarga yang sihat dari segi fizikal, psikologi, sosial dan kerohanian Ciri-ciri keluarga sihat :...
-
Resdung 1 Petua Resdung yang paling mudah dan berkesan ialah dengan mengamalkan menyedut air ke dalam hidung (seperti sebelum kita ber wuduk...
-
Halang dedah maklumat sulit KUALA LUMPUR: Bekas Raja Permaisuri Agong, Siti Aishah Abdul Rahman kelmarin memfailkan saman di Mahkamah Tinggi...
-
SHAH ALAM: Jenaka bersahaja dan meyakinkan membuatkan Man atau nama sebenarnya Abd Rahman dipilih menjadi juara Raja Lawak musim kelima (RL5...
-
SHAH ALAM: Seorang wanita memfailkan saman terhadap Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Mahharul Ismail, dan tiga anggota keluargany...
-
" BILA nak berkahwin? ", " sampai bila mahu terus membujang? ", " bila lagi emak nak terima menantu? " dan pel...
-
Penyanyi kelahiran Klang yang juga juara Australian Idol, Guy Sebastian bekerjasama dengan penyanyi popular tanahair, Yuna. Perkara ters...
-
Rentetan dari keratan akhbar semalam di sini KUALA LUMPUR: Hanya ibu yang mementingkan kebendaan dan asyik memuaskan nafsu berbelanja akan s...
-
Nikah isteri ketiga Kuala Lumpur: Penceramah terkenal, Ustaz Azhar Idrus, 49, selamat melangsungkan perkahwinan kali ketiganya bersama ana...

