PETALING JAYA: Tindakan seorang lelaki melintas lebuh raya tanpa menggunakan kemudahan jejantas bukan saja mengakibatkan dirinya terbunuh tetapi turut mengorbankan dua lagi mangsa apabila kenderaan pacuan empat roda dinaiki terbabas selepas terlanggar pejalan kaki terbabit.
Dalam kejadian 1.30 pagi semalam, dua lelaki warga Myanmar dan pemuda warga tempatan terkorban dalam kemalangan ngeri membabitkan dua kenderaan Toyota Hilux dan Perodua Viva.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, pejalan kaki terbabit, Dong Sian Sing berusia 30-an yang melintas Lebuhraya Persekutuan di Kilometer 28.4, dilanggar Perodua Viva yang datang dari Kuala Lumpur ke Shah Alam sebelum tercampak ke laluan bertentangan.
Menurutnya, selepas tercampak mangsa yang juga warga Myanmar dilanggar pacuan empat roda terbabit dan diseret 50 meter sebelum kenderaan berkenaan terbabas.
“Pejalan kaki itu cuba melintas lebuh raya terbabit, malangnya ketika berada di besi pembahagi jalan di tengah lebuh raya berkenaan kereta merempuhnya dan tercampak ke seberang jalan.
“Kenderaan pacuan empat roda yang mengheret mangsa pula berpusing beberapa kali sebelum terbabas mengakibatkan dua daripada penumpangnya tercampak keluar,” katanya.
Katanya, dua penumpang Hilux yang meninggal dunia Muhammad Yurusyahmi Mohd Yusob, 21, dari Baling, Kedah dan warga Myanmar, Htet Lwin Zaw, 29.
Selain itu katanya, tiga lagi cedera termasuk pemandu pacuan empat roda, Thomson Meldy Gondipar, 23, dari Sabah dan dua penumpangnya Suzemcy Soimin, 22, juga dari Sabah dan warga Myanmar, Kyaw Kyaw Lin, 30. “Dua penumpang Hilux yang terbunuh itu pekerja kontrak yang memasang papan iklan, manakala pejalan kaki pula pekerja swasta.
“Mereka yang cedera dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan pemandu Viva berusia 33 tahun tidak cedera,” katanya.
Arjunaidi berkata, pemandu yang tidak cedera itu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dan keterangannya dirakamkan bagi tujuan siasatan lanjut.
Menurutnya, kawasan itu kerap berlaku kemalangan berikutan orang ramai suka melintas lebuh raya berkenaan tanpa menggunakan jejantas disediakan.
Cuti Hari Jumaat atau Sabtu?
4 weeks ago
0 comments:
Post a Comment