PAKATAN pembangkang tetap mengekalkan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua pembangkang biarpun Ahli Parlimen Permatang Pauh itu digantung selama enam bulan, bermula Khamis lalu.
Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang, berkata pihaknya bersama PKR dan DAP sudah melakukan perbincangan dengan mencapai kesepakatan untuk mengekalkan kepemimpinan Anwar.
"Asas kami adalah perjuangan membela rakyat kerana ia penting untuk masa depan," katanya dalam ucapan penggulungannya di Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-2 di Dewan Millenium, di sini, semalam.
Khamis lalu, Dewan Rakyat meluluskan usul untuk menggantung Anwar dan tiga lagi Ahli Parlimen pembangkang daripada persidangan selama enam bulan berhubung isu berkaitan firma perunding antarabangsa Apco Worldwide Bhd.
Tiga Ahli Parlimen pembangkang yang digantung kerana menghina dewan ialah Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), R Sivarasa (PKR-Subang) dan Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak).
Sementara itu, Pengerusi DAP Karpal Singh memberi amaran kepada Anwar supaya memilih calon yang boleh dipercayai dan berintegriti bagi menggelakkan kesilapan seperti pada pilihan raya umum lalu.
"Sebelum Datuk Zaid Ibrahim menyertai PKR, saya menasihatkan supaya jangan menerimanya kerana beliau tidak boleh dipercayai, namun amaran itu tidak didengari Anwar.
“Manakala Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim pula wajahnya saja menunjukkan tidak boleh dipercayai, begitu juga Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin," katanya.
Karpal berkata, walaupun Anwar adalah pemimpin utama parti tetapi kadang-kala beliau juga tersilap, tetapi kali ini jangan lagi tersilap memilih calon pada pilihan raya umum akan datang.
Beliau berkata, kesilapan Anwar memilih calon pada pilihan raya umum lalu berikutan pada masa itu berlaku tsunami politik dan mencalonkan calon di kerusi yang tidak berapa selamat.
Siapa musuh utama kita?
1 day ago
0 comments:
Post a Comment