Pengasas WikiLeaks disifatkan ‘pengganas teknologi tinggi’ berbahaya
WASHINGTON: Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat sedang mengkaji tindakan undang-undang yang boleh diambil terhadap Julian Assange, kata Naib Presiden Joe Biden, yang menyifatkan pengasas WikiLeaks itu sebagai ‘pengganas berteknologi tinggi’ berbahaya.
“Kami sedang meneliti perkara itu,” kata Biden dalam rancangan bual bicara terbitan NBC, Meet the Press, namun naib presiden itu tidak menjelaskan lanjut bagaimana pentadbiran berkenaan akan bertindak ke atas ketua organisasi yang mendedahkan ribuan kabel diplomatik sulit Amerika itu.
Jumaat lalu Assange berkata keadaan nampak “semakin pasti” Amerika akan cuba mengekstradisinya berhubung dakwaan berkaitan dengan kabel bocor itu.
Di MADRID, akhbar Sepanyol, El Pais memetik Assange sebagai berkata, dia berada dalam “keadaan penahanan berteknologi tinggi” walaupun dibebaskan dengan jaminan oleh sebuah mahkamah Britain minggu lalu sementara menentang perintah ekstradisi ke Sweden, di mana dia dikehendaki untuk disoal siasat berhubung dakwaan jenayah seks.
Biden ditanya sama ada beliau berpendapat Assange seorang pengganas berteknologi tinggi atau pembocor rahsia sama dengan mereka yang mendedahkan Kertas Pentagon - satu siri dokumen sulit penting mendedahkan dasar tentera Amerika di Vietnam.
Katanya: “Saya menyifatkannya sebagai pengganas berteknologi tinggi.” Assange membalas kenyataan itu dengan berkata “keganasan ditafsirkan sebagai penggunaan kaedah ganas untuk tujuan politik”.
Satu laporan oleh penyelidik kongres mendapati Akta Perisikan dan undang-undang lain Amerika boleh digunakan untuk mendakwanya, namun tiada kes sebelumnya yang boleh dirujuk untuk mendakwa penerbit itu.
Laporan media menyatakan pendakwa Amerika cuba menyabitkan kes terhadap Assange atas alasan dia menggalakkan seorang askar, Bradley Manning, kini dalam tahanan Amerika, supaya mencuri kabel Amerika daripada sebuah komputer kerajaan dan memberinya kepada WikiLeaks.
Assange menafikan mengenali Manning.
Biden jelas nampaknya membuka ruang untuk pendakwaan ke atas Assange. – AFP
Cuti Hari Jumaat atau Sabtu?
4 weeks ago
0 comments:
Post a Comment