Showing posts with label datuk sosilawati lawiya. Show all posts
Showing posts with label datuk sosilawati lawiya. Show all posts

Monday, August 29, 2011

Rita nikah lepas raya

| Monday, August 29, 2011 | 0 comments



BATU PAHAT: Erni Dekritawati Yuliana Bukhairi, 26, anak sulung pengasas produk kecantikan Nouvelle Visages, Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya, dikatakan bakal mengakhiri zaman bujang dengan jejaka pilihannya selepas Aidilfitri ini.

Perkara itu sekali gus menghentikan semua spekulasi berkaitan dirinya yang sebelum ini sering dikaitkan dengan beberapa individu. Menurut sumber, pemegang Ijazah Sarjana Perniagaan Antarabangsa Universiti Nottingham, United Kingdom (UK) yang lebih mesra dipanggil Rita itu dilaporkan menjalin hubungan cinta dengan jejak pilihannya yang berjawatan penting dalam satu kementerian di Putrajaya.



“Rita sudah mendapatkan restu daripada keluarga berkaitan hubungan istimewanya itu dan setakat ini, masing-masing tidak membantah pilihannya.

“Keluarga hanya mahukan yang terbaik untuk Rita dan semuanya mendoakan semoga dia menemui lelaki yang mampu menjadi suami yang baik,” katanya.

Sementara itu, kehadiran Syawal kali ini menggamit kembali kenangan peristiwa kehilangan misteri Sosilawati hampir setahun lalu sebelum beliau disahkan mati dibunuh di Ladang Gadong, Banting, Selangor.

Harian Metro semalam sempat berkunjung ke kediaman ibu Sosilawati, Yatmah Abdul Rahman, 80, bagi menyaksikan sendiri suasana sambutan di kampung halaman jutawan itu di Kampung Sri Menanti, Sri Medan, di sini.

Sejurus memasuki pekarangan rumahnya, Yatmah dan beberapa ahli keluarga lain sibuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

Adik pengasas kosmetik itu, Rosnani Lawiya, 45, berkata, persiapan raya keluarganya tahun ini sangat dirasai apabila ketiadaan Sosilawati.

“Jika sebelum ini, dialah (Sosilawati) yang kerap ke dapur dan menguruskan segala persiapan raya malah tidak lupa memasak pelbagai jenis juadah termasuk londeh juga rendang.

“Namun sambutan Aidilfitri kali ini sedikit terubat selepas anak arwah termasuk Rita pulang ke kampung halaman bagi menyambut lebaran bersama kami,” katanya.

Keluarga itu bakal mengadakan majlis tahlil pada hari raya pertama dan kedua selain turut mengadakan rumah terbuka seperti tahun sebelumnya.

Sosilawati, pemandu peribadinya, Kamaruddin Shamsuddin, 44, Perunding Kewangan CIMB Cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dibunuh sebelum dibakar manakala abu mereka dibuang ke dalam Sungai Panchu, pada 30 Ogos 2010.

Readmore..

Thursday, August 4, 2011

Kes Bunuh Datuk Sosilawati: Saksi nampak 4 lelaki buang barang di beberapa lokasi

| Thursday, August 4, 2011 | 0 comments


SHAH ALAM: Seorang saksi perbicaraan kes bunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa dia nampak empat orang lelaki membuang barang di beberapa lokasi di Banting pada September tahun lalu.

U Suresh, 27, berkata dia melihat perbuatan itu semasa lori yang dipandunya mengekori sebuah pacuan empat roda berwarna biru yang dinaiki empat lelaki termasuk seorang warga Indonesia pada pagi 4 September tahun lalu.

Sebelum itu, saksi ke-29 pendakwaan itu berkata seorang lelaki menahan lori yang dipandunya di simpang masuk menghala ke tempat kerjanya, iaitu sebuah ladang di Tanjung Sepat, Banting, dan bertanyakan sama ada boleh menyewa lorinya.

Suresh yang sedang menjalani hukuman penjara 20 tahun kerana melupuskan bahan bukti dalam kes pembunuhan tersebut, berkata lelaki terbabit memberitahu bahawa lori itu diperlukan untuk membuang barang sembahyang dan bersedia membayar upah sebanyak RM250.

"Selepas bersetuju untuk menyewakan lori, ada seorang lelaki Indonesia turun dari jip (pacuan empat roda) itu dan naik lori saya serta duduk di bahagian tempat duduk sebelah pemandu. Lelaki Indonesia itu suruh saya mengekori jip itu.

"Jip itu kemudian bergerak dan berhenti di sebuah sungai yang saya tidak tahu nama. Pemandu jip tidak turun dari jip, saya nampak dua lelaki lagi turun dari jip dan buang satu karung (sack) warna putih ke dalam alur.

"Lepas buang mereka naik semula ke dalam jip dan sambung perjalanan," katanya ketika disoal balas peguam Manjeet Singh Dhillon yang mewakili tertuduh pertama, N Pathmanabhan pada perbicaraan hari ke-17.

Suresh memberi keterangan pada perbicaraan kes Pathmanabhan, 42, bekas peguam, dan tiga pekerja ladang, T Thilaiyagan, 20; R Matan, 21; dan R Khatavarayan, 31; yang didakwa membunuh Sosilawati, 47; peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38; dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44; di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Suresh berkata, pacuan empat roda itu seterusnya berhenti di sebuah jambatan kecil kira-kira empat hingga enam kilometer dari lokasi pertama kenderaan itu berhenti.

"Di sana dia nampak seorang lelaki dari pacuan empat roda itu membuang barang ke dalam sungai.

"Selepas itu saya masih ikut jip dan bila sampai di satu kawasan hutan berhampiran Jalan Kelanang dan jip itu berhenti, saya nampak sebuah kereta warna hitam berada dalam jarak kira-kira 20 meter dari lori saya. Saya tidak nampak siapa dan berapa orang dalam kereta hitam kerana cerminnya 'tinted'.

"Selepas itu saya turun dan buka bahagian belakang lori sebelum naik semula (ke dalam lori). Kemudian saya nampak lelaki Indonesia dan seorang lelaki isi barang dalam lori saya kira-kira 10 minit. Selepas loading barang kereta hitam bergerak di hadapan kemudian diikuti jip dan lori saya," katanya.

Saksi itu berkata, kira-kira lima hingga 10 minit kemudian ketiga-tiga kenderaan berhenti di tepi sebuah sungai di mana dia melihat lelaki Indonesia serta dua lelaki dari pacuan empat roda itu mengeluarkan barang dari lorinya dan membuangnya ke dalam sungai.

Suresh berkata, ketika itu dia yang masih berada di tempat duduk pemandu turut mendengar seperti bunyi zink dipijak.

"Saya kemudian nampak pemandu jip minta bayaran dari kereta hitam dan driver kereta hitam ada buka cermin kereta tetapi saya tidak nampak siapa. Pemandu jip beri saya wang RM300 dan bila saya beritahu bayarannya hanya RM250 lelaki itu cakap tidak apa, saya simpan baki duit," katanya.

Manjeet: "Selepas itu adakah awak terus ke Puchong?"

Suresh: "Tidak saya ada berhenti di satu tempat. Lelaki Indonesia itu cakap dia nak turun di Subang Jaya dan dia beritahu itu dalam perjalanan jadi bolehlah turunkan dia (di Subang Jaya)."

Suresh berkata, apabila tiba di sebuah kawasan kilang dan flat di Subang Jaya, lelaki Indonesia itu memberitahu dia ingin berjumpa seseorang.

Kira-kira 10 minit kemudian saksi itu nampak lelaki Indonesia terbabit membuang sebuah kotak rokok ke dalam sebatang alur semasa sedang berjalan ke arah lorinya.

"Sebelum lelaki Indonesia beredar dari situ, dia ada beri dua buah telefon bimbit kepada saya dan saya tolak tetapi lelaki Indonesia itu mendesak saya mengambilnya," katanya.

"Bila balik semula ke ladang, saya beritahu majikan saya Ravi," katanya.

Manjeet: "Ravi ambil ke telefon bimbit itu?"

Suresh: "Ravi marah saya sebab barang-barang yang dibuang ialah barang sembahyang...dia suruh saya buangnya."

Saksi itu berkata dia kemudian membuang kedua-dua telefon bimbit tersebut ke dalam sebuah alur kecil berhampiran sungai di Pasar Besar Banting.

Kepada soalan lain, Suresh berkata dia tidak pernah melakukan sebarang kesalahan atau melakukan pembunuhan pada malam 30 Ogos 2010 (tarikh kejadian) dan dia juga tidak mengenali Pathmanabhan sehinggalah dia ditangkap polis pada 9 September 2010.

Saksi itu juga mendakwa dia dipukul oleh pegawai polis bernama Govindan dan anggota polis lain serta diacukan pistol di kepala bagi mengaitkan (implicate) Pathmanabhan dengan kes pembunuhan tersebut.

Terdahulu, Hakim Datuk Akhtar Tahir memutuskan untuk membenarkan rakaman percakapan Suresh digunakan dalam prosiding bagi mencabar kebolehpercayaan (impeach) keterangannya di mahkamah.

Akhtar membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan bahawa percakapan saksi itu yang dirakam oleh pihak polis memenuhi keperluan di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ).

Beliau bagaimanapun tidak menerima rakaman percakapan Suresh dikemukakan sebagai bahan bukti di mahkamah.

Ini kerana, katanya, Suresh adalah saksi dalam kes pembunuhan itu dan bukan orang yang dituduh.

Akhtar kemudiannya meneruskan prosiding mencabar kebolehpercayaan saksi itu dengan meminta Suresh menjelaskan 22 percanggahan dalam keterangannya.

Setelah mendengar penjelasan Suresh, Akhtar berkata beliau akan memutuskan sama ada untuk mencabar kebolehpercayaan saksi itu di akhir kes pendakwaan kelak.

Perbicaraan bersambung esok. - BERNAMA

Readmore..

Sunday, February 27, 2011

Rita mimpi ibu Datuk Sosilawati Lawiya

| Sunday, February 27, 2011 | 0 comments



KUALA LUMPUR: Enam bulan selepas pemergian ibu tercinta, anak sulung jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 26, bermimpi Allahyarham datang ke pejabat, seolah-olah menggambarkan impian arwah supaya anaknya melebarkan empayar perniagaannya.

Berkongsi rasa hati meniti hari mendatang tanpa insan tersayang di sisi, Erni atau lebih mesra dipanggil Rita berkata, dia tidak menganggap musibah menimpa keluarganya sebagai bebanan, malah menjadikan dirinya lebih kuat. Kematian sadis ibunya bersama tiga individu lain di Banting memang mengejutkan, tetapi dia reda dengan takdir Allah.

“Selepas ketiadaannya, Rita dan adik-beradik pernah bermimpi emak. Dalam mimpi itu, emak datang ke pejabat, melihat Rita bekerja. Emak tidak pernah bercakap tetapi sering mengajak Rita berjalan-jalan dengan memberi isyarat tangan. Sebagai hamba-Nya, kita tidak tahu ketentuan Allah.

“Walaupun emak tiada, Rita berasa seolah-olah dia masih hidup kerana sentiasa teringatkannya. Emak memang sentiasa hidup dalam hati Rita. Mungkin Rita bermimpi sebab rindukan emak. Biasanya apabila bangun daripada tidur, Rita menceritakan mimpi berkenaan kepada adik lain, begitu juga mereka. Bermimpi ibu satu kepuasan bagi Rita.

“Rita juga sering teringat sikap emak yang suka memasak makanan kegemaran kami. Sayangnya, kini kami tidak dapat rasa air tangan emak lagi. Kalau rindu emak, Rita pergi ke tempat yang emak suka pergi.

“Terlalu banyak kenangan bersama emak yang sering bermain di ingatan. Bilik (pejabat) yang Rita duduk ini pun bilik emak. Rita tidak pernah ubah apa-apa susun atur di bilik emak kerana ini akan mengingatkan Rita pada emak,” katanya ketika ditemui Metro Ahad, di sini.



Kerana rasa bertanggungjawab untuk meneruskan legasi Allahyarham, Rita yang bertindak sebagai Pengarah Urusan Nouvelle Beauty Centre Sdn Bhd membuat keputusan membahagikan tugas perjalanan syarikat itu di kalangan adik-beradiknya, Erwan Suwari Rizuwan, 25, Md Erwan Nasri, 24, Erni Erinawati Sofia, 22, dan Erni Rineelawati, 21.

“Kami bahagikan tugas sama rata dan tahu kerja masing-masing. Rita mengaku tidak mampu buat kerja seorang kerana Rita pun manusia biasa. Bantuan adik diperlukan. Rizuwan menggalas tugas sebagai eksekutif pemasaran, Erwan (eksekutif operasi), Rina (eksekutif pentadbiran) dan Rinee (duta Nouvelle Visages). Tugas ini berkuat kuasa sejak kes yang menimpa emak kerana sebelum itu Rita dan emak menguruskan perniagaan,” katanya.

Matang dalam membuat keputusan, gadis itu tidak menghalang adiknya, Rina dan Rinee menyambung pengajian jurusan perniagaan menerusi Program Jarak Jauh (PJJ) Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Mereka ada cita-cita yang ingin dicapai. Rita tidak mahu disebabkan kes itu (pembunuhan ibunya bersama tiga individu lain), cita-cita mereka terkandas di tengah jalan.

“Bagaimanapun, pada hari biasa, mereka bekerja dan mengikuti pengajian PJJ hanya pada Ahad,” katanya yang mengakui masih tidak dapat mengikis rasa kesal tidak sempat memohon maaf kepada ibu buat kali terakhir.

Dia yang kini bertanggungjawab menjaga kebajikan lima adiknya serta perniagaan berkenaan berkata, kenangan suka duka bersama arwah membakar semangatnya untuk berjaya.

“Perasaan Rita, sebagai anak, kadangkala kita tidak sedar ada sikap atau perlakuan kita mengguris hati emak. Rita terkilan kerana tidak sempat meminta maaf dengan mencium tangan dan dahi emak buat kali terakhir,” katanya.

Menurutnya, dia kini memberi lebih tumpuan terhadap promosi jenama kerana masih ramai tidak tahu mengenai Nouvelle Visages.

“Ketika turun padang di satu pameran di Mid Valley baru-baru ini, Rita dapati ramai belum mengenali Nouvelle Visages. Rita akui bukan semua orang membaca akhbar, jadi usaha lebih giat perlu dilakukan untuk memperkenalkan jenama ini,” katanya.

Mencontohi sikap dermawan ibu, Rita meneruskan amalan pengasas Nouvelle Visages menyalurkan sumbangan kepada badan kebajikan dan tiga sekolah anak angkat di Johor.

“Rita akan teruskan apa yang emak lakukan sebelum ini. Malah, keperluan orang kampung emak, Kampung Seri Menanti, Batu Pahat, tidak kami abaikan sebab di situ tempat emak dibesarkan.

“Baru-baru ini kami memberi sumbangan wang ringgit dan makanan kepada mangsa banjir di kampung itu dan berpesan kepada ketua kampung, jika inginkan bantuan, jangan segan beritahu kerana ibu lahir di situ,” katanya.

Diusik mengenai soal hati, Rita enggan mengulas lanjut tetapi mengakui dia kini dalam tempoh berkawan dan mengenali hati budi seseorang. Ditanya perancangan hidup berkeluarga, Rita berkata, dia tidak menetapkan sasaran bila akan berkahwin kerana baginya, jodoh pertemuan di tangan Tuhan.

Mengenai kes tuntutan wang dan modal pelaburan saham amanah bernilai RM1.38 juta yang diberikan jutawan kosmetik itu kepada bekas suaminya, Nash, Rita berkata, dia tidak berani membuat keputusan sendiri kerana membabitkan ramai pihak.

“Kami adik-beradik akan mengadakan perjumpaan dengan peguam emak, Datuk Zaidi Zain dalam masa terdekat ini untuk membuat keputusan sama ada meneruskan kes berkenaan atau sebaliknya,” katanya.

Disebabkan kesibukan menguruskan perniagaan selepas ketiadaan ibu, Rita mengakui tidak sempat bertemu rakannya seperti dulu, tetapi masih berhubung melalui facebook dan twitter.

“Rita berharap kawan faham, Rita bukan berniat memutuskan silaturahim yang terjalin tetapi cuma mahu memberi lebih fokus terhadap tugas dan amanah sekarang. Apapun, Rita ingat setiap kawan Rita daripada sekolah rendah hingga zaman universiti,” katanya.

Dalam menghadapi situasi sedih dan mencabar, bapanya, Bukhari Mohamad, selalu ada di sisi.

“Sejak dulu, emak tidak pernah menghalang kami berjumpa ayah. Sampai sekarang, apabila berlaku kes seperti ini, yang paling dekat ialah ayah kami yang berperanan sebagai penasihat dalam semua hal ehwal, berkaitan rumah dan pejabat,” katanya yang masih menetap bersama adik-beradiknya di rumah agam Allahyarham Sosilawati di Gombak.

Rita yang akan mengerjakan umrah bersama tiga adiknya Mac ini berhasrat memanjatkan doa untuk ibunya di depan Kaabah.

“Kalau betul mak Rita sudah tiada, kami berdoa semoga dia ditempatkan di kalangan ahli syurga,” katanya.

Readmore..

Friday, February 4, 2011

Anak Sosilawati dalam dilema

| Friday, February 4, 2011 | 0 comments



SHAH ALAM: Anak Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya berkemungkinan besar akan meneruskan kes tuntutan harta bernilai RM1.38 juta yang difailkan ibu mereka terhadap bekas suami, Nash atau Jamaludin Elias, 52.

Bagaimanapun, peguam ahli perniagaan itu, Datuk Zaidi Zain ketika ditemui di luar mahkamah, berkata pihaknya masih menunggu kata putus daripada anak sulung Sosilawati, Erni Dekritawati Yulian atau Rita, 26.

Beliau berkata, melalui satu pertemuan pada 9 Januari lalu, Rita memberitahunya akan mengadakan perbincangan rasmi dengan adik-beradik lain berhubung hal itu.

“Berkemungkinan besar kita akan teruskan. Tapi, belum dimuktamadkan,” katanya selepas prosiding kes tuntutan harta Sosilawati terhadap Nash di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam.

Pada 26 Ogos tahun lalu atau lima hari sebelum Sosilawati dilaporkan hilang, mahkamah menetapkan semalam, bagi menyambung perbicaraan kes tuntutan itu.

Zaidi yang pernah mengendalikan kes perceraian Sosilawati dan Nash berkata, Rita kini dalam dilema untuk meneruskan kes itu disebabkan hubungan baik ahli keluarganya dengan Nash.

Namun, katanya, pada masa sama ketika hayatnya bersungguh-sungguh untuk membawa perkara itu ke muka pengadilan.

“Ini menyebabkan Rita tidak boleh sewenang-wenangnya untuk melepaskan perkara ini begitu saja. Ini bukan soal wang,” katanya.

Terdahulu, pada prosiding semalam, Zaidi memberitahu mahkamah, permohonan untuk meneruskan kes itu menerusi waris jutawan berkenaan dibuat mengikut Seksyen 22, Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) No 4, 2003.

Namun, katanya, pihaknya memohon supaya kes itu ditangguhkan dua bulan sementara menunggu pihak berkuasa mengumumkan laporan DNA mangsa pembunuhan itu.

Peguam Amli Embong yang mewakili Nash pula berkata, ada beberapa pindaan termasuk memasukkan dokumen penting salinan surat mati perlu dibuat jika permohonan itu mahu diteruskan.

Readmore..

Thursday, December 16, 2010

Sebutan semula kes Sosilawati 27 Januari depan

| Thursday, December 16, 2010 | 0 comments


BANTING: Mahkamah Majistret Telok Datok di sini, pagi ini membenarkan permohonan pendakwaan untuk menangguhkan kes seorang peguam, N Pathmanabhan dan tiga yang lain didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, kerana membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, dan tiga individu lain, ke Januari depan untuk sebutan semula kes itu.

Majistret Hurman Hussain menetapkan 27 Januari depan untuk sebutan semula kes itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Yusoff, supaya kes itu ditangguhkan.

Ia bagi menunggu keputusan beberapa permohonan yang difailkan, termasuk semakan terhadap hukuman dan rayuan bekas pekerja ladang milik Pathmanabhan yang dihukum penjara tujuh tahun selepas mengaku bersalah membakar dan melupuskan mayat jutawan kosmetik, Sosilawati 47, pemandunya, Kamaruddin Shansudin, 44, peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, pegawai Bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38.

Readmore..

Thursday, November 4, 2010

2 peniaga saman Sosilawati

| Thursday, November 4, 2010 | 0 comments


KUALA LUMPUR: Dua ahli perniagaan memfailkan saman terhadap syarikat Nouvelle Beauty Centre Sdn Bhd, milik jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya selepas mendakwa wujud pelanggaran perjanjian jual beli tanah yang di atasnya mempunyai kedai pejabat bernilai RM3 juta di Kota Damansara, Petaling Jaya.

Saman difailkan pada 5 Ogos lalu iaitu 25 hari sebelum Sosilawati, 47, dilaporkan hilang dan kemudian disahkan dibunuh mati bersama pemandunya, Kamaruddin Shamsudin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38, pada 30 Ogos lalu.

Plaintif, Low Choong Yen, 59, dan Lim Bee Geok, 52, menamakan Nouvelle Beauty sebagai defendan dalam saman mereka yang difailkan di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di sini, pada 5 Ogos lalu.

Peguam SH Tang hadir mewakili kedua-dua individu itu, namun Nouvelle Beauty tidak diwakili peguam.

Kes ditetapkan untuk pengurusan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Hilmiah Yusof, di sini, semalam.

Mahkamah menetapkan 1 Disember depan mendengar permohonan Low dan Lim bagi memasukkan penghakiman ingkar terhadap Nouvelle Beauty selepas syarikat itu gagal memfailkan afidavit balasan selepas 14 hari saman dikemukakan.

Berdasarkan surat tawaran yang dipersetujui dan ditandatangani wakil Nouvelle Beauty pada 2 April lalu, defendan bersetuju menjual sebidang tanah seluas 144.9 meter persegi bersama dengan kedai dan pejabat empat tingkat di tanah milik syarikat itu pada harga RM3 juta.

Plaintif mendakwa sudah membayar RM60,000 ketika surat tawaran jual beli itu ditandatangani dan baki deposit RM240,000 dibayar ketika Perjanjian Jual Beli ditandatangani manakala selebihnya dibayar dalam masa 90 hari dari tarikh Perjanjian Jual Beli ditandatangani.

Mereka mendakwa, terma dan syarat dalam draf Perjanjian Jual Beli sudah dipersetujui dan dijadikan muktamad oleh kedua-dua pihak pada 22 April 2010.

Dalam afidavit itu mereka mendakwa, selepas sebulan surat itu ditandatangani, Nouvelle Beauty melalui surat peguam caranya bertarikh 30 April 2010, memaklumkan tidak berniat meneruskan transaksi jual beli itu.

Plaintif mendakwa, melalui surat bertarikh 3 Mei, Nouvelle Beauty terikat dengan terma dalam Perjanjian Jual Beli hartanah.

Pada 25 Mei 2010, Nouvelle Beauty memulangkan surat Perjanjian Jual Beli, suratcara pindah milik, borang permohonan kebenaran pindah milik serta cek RM240,000, tetapi gagal membayar balik wang deposit RM60,000.

Mereka memohon perintah mahkamah supaya Nouvelle Beauty meneruskan pelaksanaan Perjanjian Jual Beli hartanah itu, selain perintah injunksi bagi menghalang Nouvelle Beauty daripada melupuskan hartanah itu kepada orang lain selain daripada plaintif.

Kedua-dua individu itu menuntut ganti rugi akibat pelanggaran kontrak perjanjian, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Readmore..

Thursday, January 28, 2010

Datuk Sosilawati - Apa saya nak takut

| Thursday, January 28, 2010 | 0 comments



KUALA LUMPUR: Usahawan kosmetik terkemuka, Datuk Sosilawati Lawiya akur dengan apa saja keputusan dibuat Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berhubung siasatan terhadap dakwaan dia ditangkap khalwat pada malam tahun baru lalu, kerana yakin perkahwinannya dengan suami baru di luar negara sah dari sudut agama.

Pengasas produk kecantikan Nouvelles Visages itu berkata, pernikahannya hanya tidak sah dari segi undang-undang kerana tidak didaftarkan di negara ini.

"Saya tidak takut sebab pernikahan ini sah dari segi agama. Kami sah sebagai pasangan suami isteri cuma kami tidak mendaftar di Malaysia.

"Jadi apa juga keputusan Jais, saya akur. Kalau Jais membuat keputusan supaya saya membubarkan perkahwinan dan mendaftar kembali di negara ini, saya lakukan," katanya di kediaman di sini, semalam.

Menurutnya, Jais sudah memanggilnya kelmarin dan Isnin depan, dia sekali lagi ke pejabat Jais di Shah Alam untuk mengemukakan surat akuan saksi pernikahannya pada 25 November lalu di Songkhla, Thailand.

"Jais meminta bukti dan membawa saksi, tetapi sebab saksi itu berada di Songkhla, dia perlu membuat surat akuan hadir semasa saya bernikah dan saya amat berharap kes ini diselesaikan secepat mungkin," katanya.

Ditanya kenapa dia enggan mendedahkan suaminya sehingga kini, Sosilawati berkata, biarlah masalah itu diselesaikan dulu baru dia memperkenalkan lelaki yang menambat hatinya itu.

"Sampai bila saya hendak rahsiakan identiti dia kerana semua orang tahu, biarlah isu ini diselesaikan dulu, baru saya dedahkan," katanya.

Sosilawati berkata, selepas kes itu diketahui umum, dia tetap bertemu orang ramai seperti biasa kerana tidak bersalah.

"Perkara ini antara saya dengan Tuhan, kalau ada tohmahan kepada saya pun, saya terima kerana itu hak individu," katanya.

Menurutnya, sebagai wanita, dia memerlukan kasih sayang seorang bergelar suami dan perkara terpenting lelaki itu menerima anaknya, manakala anaknya menghormati bapa baru mereka.

"Walaupun kehidupan saya selesa dan pernah gagal dalam perkahwinan dua kali, saya tetap insan biasa yang mahu membina hidup berumah tangga," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Unit Perhubungan Awam Jais, Mohd Hidayat Abd Rani, berkata Sosilawati sudah datang dua kali dan akan dipanggil mengikut keperluan.

"Siasatan masih berjalan dan kita tidak dapat memastikan bila keputusan dibuat kerana ia membabitkan banyak perkara," katanya.

Sebelum ini Sosilawati dilaporkan ditangkap khalwat dengan seorang duda anak tiga di Astana Damansara, Petaling Jaya pada malam tahun baru serta meminta maaf kepada penguat kuasa kerana berada dalam keadaan boleh disyaki berkhalwat.

Usahawan itu bagaimanapun menafikan dia ditangkap khalwat, sebaliknya mengaku lelaki itu suaminya.

Readmore..

Tuesday, January 5, 2010

Sosilawati bukti sudah sah nikah

| Tuesday, January 5, 2010 | 0 comments

KUALA LUMPUR: Usahawan kosmetik yang juga bekas isteri penyanyi kumpulan Lefthanded, Nash, Datuk Sosilawati Lawiya semalam menunjukkan bukti beliau sudah bernikah sebelum ditangkap berkhalwat dengan suaminya pada malam Tahun Baru, Jumaat lalu.

Perkara itu didedahkan peguam Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain yang mewakili Sosilawati pada satu sidang akhbar yang dihadiri Sosolawati di pejabat guaman Zaidi Zain & Associates di sini, semalam.

Mohd Zaidi yang menunjukkan bukti surat akuan nikah Sosilawati kepada pihak media, berkata anak guamnya bernikah dengan pasangannya di Songkhla, Thailand pada 25 November tahun lalu.

Bagaimanapun, Sosilawati enggan mendedahkan identiti suaminya, tetapi memberi jaminan akan berbuat demikian selepas kes tangkapan khalwat itu selesai.

Mengikut laporan media sebelum ini, Sosilawati ditangkap khalwat dengan seorang duda anak tiga di Astana Damansara, pada malam Tahun Baru. Bagaimanapun dia gagal menunjukkan surat nikah itu ketika diminta pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Mohd Zaidi berkata, surat akuan nikah itu menyokong keterangan anak guamnya kepada media sebelum ini bahawa beliau sudah bernikah semasa ditangkap khalwat.

"Anak guam saya sedang dalam proses mendaftarkan pernikahan itu. Mereka bernikah baru sebulan dan mengikut undang-undang ia masih berada dalam tempoh masa yang ditetapkan untuk pendaftaran di negara ini," katanya.

Mohd Zaidi turut menafikan laporan akhbar bahawa anak guamnya diarahkan hadir ke ibu pejabat Jais semalam bagi membolehkan Jais membuat siasatan berhubung dakwaan pengesahan perkahwinan mereka.

Katanya, tiada arahan rasmi berhubung waktu, tarikh dan masa diberikan untuk anak guamnya hadir ke pejabat Jais, cuma kenyataan dalam akhbar yang dibuat Pegawai Perhubungan Awam Jais, Mohd Hidayat Abd Rani.

"Notis yang diberikan Jais menyatakan tarikh hadir 1 Januari lalu, iaitu malam sama Sosilawati

Mohd Zaidi turut mempersoalkan notis itu kerana tidak memberikan butiran mengenai kesalahan dilakukan anak guamnya, malah beliau tidak dibawa ke balai polis atau ke pejabat Jais selepas tangkapan.

"Notis itu juga hanya ditujukan kepada Sosilawati seorang, biasanya kedua-dua pasangan akan diberikan notis yang sama dan bukan seorang saja," katanya.

"Oleh itu kita akan berhubung dengan Jais mengenainya dan mendapat kepastian apa yang perlu dilakukan anak guam saya. Jika ada sebarang pertuduhan ia perlu dibuat dengan cara yang berhemah," katanya.
ditangkap," katanya.

Readmore..

Friday, July 18, 2008

Nash, isteri selesai secara sulh

| Friday, July 18, 2008 | 0 comments


SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam, membenarkan pengasas produk kecantikan Nouvelles Visages, Sosilawati Lawiya, 44, dan suaminya, Jamaluddin Elias atau Nash untuk menyelesaikan masalah mereka secara sulh (perundingan).

Hakim Syarie, Shaarani Ismail, sehubungan itu menetapkan tarikh perbicaraan baru pada 21 Oktober ini bagi membolehkan kedua-dua pihak mengadakan sulh terbabit.

"Peguam sudah mohon untuk memberi peluang terakhir. Tidak cantiklah perkara ini dibuka-buka. Jadi, kalau ada persetujuan secara sulh, rekodkan lebih awal kepada mahkamah," katanya kepada kedua-dua pihak.

Shaarani berkata demikian selepas mendengar hujah peguam Amli Embong yang mewakili Nash (plaintif) berikutan kesediaan Sosilawati (responden) berbincang secara usul sulh (perundingan).

Pada awal prosiding, bermula jam 11.40 pagi semalam, Amli memberitahu bahawa peguam, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain yang mewakili responden bersetuju untuk berbincang secara sulh dalam masa terdekat.

"Sebelum kes ini dipanggil, pihak peguam responden berbincang dengan saya dan memberi peluang kepada anak guam untuk menyelesaikan kes secara sulh. Mereka juga mempunyai satu lagi kes perceraian.

"Sepatutnya kes pada hari ini (semalam) memberi ruang kepada peguam responden menyoal balas berhubung afidavit yang difailkan pemohon. Justeru saya mohon pengesahan peguam responden berkaitan perkara ini," katanya.

Hujah sama turut dibangkitkan Mohd Zaidi apabila memberitahu pihaknya bersedia memberi peluang untuk diadakan perundingan secara sulh dengan plaintif kerana usaha sedemikian tidak pernah dilakukan sejak prosiding terdahulu.

"Sekiranya kes ini tidak dapat diselesaikan secara baik, saya percaya ia akan lebih sukar berikutan anak guam saya mengarahkan untuk memfailkan beberapa tindakan susulan," katanya.

Nash, 48, yang juga penyanyi kumpulan Lefthanded sebelum ini memfailkan permohonan untuk mengetepikan perintah injunksi secara ex-parte yang diperoleh responden pada 26 September tahun lalu.

Sosilawati memfailkan permohonan injunksi secara ex-parte dua hari sebelum itu supaya mahkamah menghalang suaminya daripada men-jalankan sebarang transaksi berhubung hartanya bernilai RM880,000.

Readmore..
Related Posts with Thumbnails

THERE ARE MORE HERE

 

Malay Mail Online

The Star Online: Most Viewed: Nation

NST Online: Topnews

The New York Times

The Washington Post

Gossip Cop

Harakahdaily

Malaysiakini

Harian Metro: BeritaUtama

Berita Harian: Mutakhir

Kosmo Online

CNN.com

Followers

Please leave your blog link

© Copyright 2010. insanidaily.com . All rights reserved | insanidaily.com is proudly powered by Blogger.com | Template by insanidaily.com - insanidaily.com