Showing posts with label libya berdepan tindakan ketenteraan. Show all posts
Showing posts with label libya berdepan tindakan ketenteraan. Show all posts

Tuesday, August 23, 2011

Era Pemerintahan Gaddafi tumbang

| Tuesday, August 23, 2011 | 0 comments



TRIPOLI: Ketua pemberontak Libya, Mustafa Abdel Jalil semalam mengisytiharkan berakhirnya ‘era Gaddafi’ yang memerintah negara itu selama 40 tahun selepas tentera pemberontak menguasai hampir keseluruhan bandar raya ini.

Era Gaddafi sudah berakhir,” katanya pada sidang akhbar di Benghazi, timur Libya, merujuk kepada pemimpin veteran Libya, Muammad Gaddafi.

Mustafa berkata, beliau berharap, Gaddafi yang menghadapi waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Keadilan Antarabangsa akan ditangkap supaya beliau boleh dibicarakan secara adil.

Mustafa megucapkan tahniah kepada rakyat Libya kerana ‘kemenangan bersejarah’ itu dan juga mengucapkan terima kasih kepada Nato kerana memberikan sokongan ketenteraan.

Beliau bagaimanapun berkata, kemenangan sebenarnya ialah apabila Gaddafi, 69, ditangkap.

Menurutnya, hampir keseluruhan Tripoli kini berada di bawah penguasaan pemberontak.

Laporan sebelum ini menyatakan Gaddafi bersembunyi selepas tentera pemberontak menyerang bandar raya itu dan berlaku pertempuran sengit di luar perkarangan istana Presiden.

Dalam pada itu, tiga anak Gaddafi dikatakan berada dalam tahanan pemberontak.

Dalam kenyataan awalnya, Mustafa Abdel Jalil memberitahu stesen televisyen al-Jazeera, mereka menahan Saif al-Islam dan Al-Saadi, dua anak Gaddafi.

Abang mereka, Muhammad, dilapor menyerah diri.

Menurut Mustafa “Saif kini ditahan dengan kawalan ketat sehingga dia didakwa kelak.” Sementara itu, bunyi tembak menembak terus kedengaran di seluruh ibu negara itu selepas penyokong setia Gaddafi yang terkepung melancarkan serangan balas.

Kereta kebal tentera kerajaan muncul dari kompleks istana yang dikenali sebagai Bab al-Aziziya dan mula melepaskan bedilan sejurus selepas subuh berikutan serangan pemberontak.

Penduduk berkata, tentera pemberontak cuba memanjat tembok perkarangan istana presiden tetapi ditembak oleh pengawal.

Pemimpin Libya itu masih menguasai kawasan Rixos di barat daya Tripoli dan tentera upahan masih berjuang untuknya.

Anak bongsunya, Khamis al-Gaddafi dipercayai mengetuai serangan balas.

Kira-kira 1,300 orang dikatakan terbunuh dalam pertempuran terbaru di Tripoli itu.

Jurucakap pemberontak, Nouri Echtiwi berkata: “Keadaan tenteram selama empat jam menyusuli sambutan besar-besaran penyokong pemberontak di jalan raya.

“Kemudian kereta kebal dan pikap yang dilengkapi mesingan keluar dari Bab al-Aziziya, kubu kuat terakhir Gaddafi dan mula membedil Jalan Assarin dan kawasan al-Khalifa.

“Mereka membedil secara rambang pada semua arah setiap kali mendengar bunyi tembakan.” Ketika rejimnya kelihatan di ambang keruntuhan, televisyen swasta Libya melaporkan pemimpin Libya itu sudah ‘melarikan diri seperti seorang pengecut.’ - Agensi

Readmore..

Wednesday, April 13, 2011

Kuasa dunia mahu Gaddafi berundur

| Wednesday, April 13, 2011 | 0 comments


SEBUAH trak pemberontak yang membawa pelancar roket mengawal pintu masuk ke bandar Ajdabiya, Libya semalam.

DOHA - Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi perlu segera meninggalkan negara itu manakala pihak pemberontak yang menentang kepimpinannya perlu diberikan bantuan material, kata para menteri luar kuasa dunia pada persidangan di sini semalam bagi membincangkan masa depan negara Afrika Utara itu.

"Para delegasi sebulat suara dan tegas dalam membuat resolusi ini," kata mereka dalam kenyataan terakhir dan muktamad yang diperoleh agensi berita Reuters.

"Gaddafi dan rejimnya tidak lagi diiktiraf dan beliau perlu menyerahkan kuasa dan membiarkan rakyat Libya menentukan masa depan sendiri," tambah kenyataan itu lagi.

Para menteri luar berkenaan yang akan bersidang sekali lagi pada Mei depan, menyatakan, mereka akan bekerjasama dengan kepimpinan pemberontak iaitu Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) bagi mewujudkan mekanisme bantuan kewangan sementara bagi membolehkan NTC menggunakan aset Libya yang telah dibekukan.

Para menteri luar itu terdiri daripada 20 buah negara termasuk Perancis, Belgium, Kuwait, Itali dan Britain selain beberapa pertubuhan antarabangsa yang membincangkan mengenai Libya.

Amerika Syarikat (AS) tidak menghantar Setiausaha Negara, Hillary Clinton tetapi ia dilaporkan menghantar delegasi yang disertai Pengarah Politik Jabatan Negara AS, William Burns.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang pegawai pemberontak, Ali Al Isawi mendakwa, tentera yang setia kepada Gaddafi telah membunuh 10,000 orang dalam pertempuran di Libya setakat ini.

Beliau yang mewakili NTC pada pertemuan para menteri luar Kesatuan Eropah (EU) di Luxembourg kelmarin memberitahu, 20,000 lagi rakyat Libya masih hilang manakala 30,000 yang lain cedera dengan satu perempat daripada mereka parah.

Sementara itu, satu letupan kuat didengar di ibu kota Libya, Tripoli semalam tetapi punca letupan masih tidak dapat dipastikan. Stesen televisyen Al Arabiya melaporkan dua letupan berlaku berhampiran lapangan terbang Tripoli.

Pemberontakan di Libya bermula pada 15 Februari lalu ekoran para penunjuk perasaan menuntut kebebasan hak asasi manusia.

Ia kemudian bertukar menjadi pertempuran di antara kumpulan tentera Gaddafi dengan para pemberontak sebelum tentera bersekutu diketuai AS mengebom bandar-bandar utama di Libya bagi menguatkuasakan larangan terbang di negara tersebut selepas diluluskan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). - Agensi

Readmore..

Saturday, March 19, 2011

Libya berdepan tindakan ketenteraan

| Saturday, March 19, 2011 | 0 comments


SEKUMPULAN pemberontak menaiki sebuah kereta kebal yang dirampas daripada tentera Libya di Benghazi semalam.

PARIS - Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya sedang bersedia untuk mengenakan tindakan ketenteraan ke atas Libya berikutan kedegilan pemimpin Libya Muammar Gaddafi yang terus menyerang kubu kuat pemberontak di Benghazi dan melanggar resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengenakan zon larangan terbang di sana.

Presiden AS, Barack Obama memberi amaran bahawa Gaddafi bakal berdepan tindakan keras jika tenteranya tidak berhenti menyerang dan berundur dari bandar yang dikuasai oleh puak pemberontak.

Syarat Obama dilihat lebih spesifik berbanding apa yang terkandung dalam resolusi PBB yang diluluskan pada Khamis lalu. Kapal-kapal AS di Laut Mediterranean dikatakan bersedia untuk menyerang pangkalan udara Libya bagi membuka jalan kepada tentera Eropah dan Arab untuk menguatkuasakan zon larangan terbang di seluruh Libya.

Pesawat pejuang dari Perancis, Britain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bertumpu di pangkalan-pangkalan udara di seluruh Itali sebelum memulakan operasi di bawah arahan dan kawalan AS serta pangkalan tentera lautnya di Naples.

"Syarat-syarat ini tidak boleh dirunding. Jika Gaddafi tidak mematuhi resolusi PBB, masyarakat dunia akan mengenakan tindakan. Resolusi ini akan dilaksanakan menerusi tindakan ketenteraan," kata Obama.


SEORANG pejuang wanita memegang senapang AK-47 di sebatang jalan di kubu kuat pemberontak, Benghazi.

Enam buah pesawat pejuang F-16 milik Denmark dikatakan telah mendarat di stesen udara tentera laut AS di Sigonella, Sicily. Itali menawarkan tujuh pangkalan tentera laut dan udaranya yang sudah pun menempatkan tentera AS, NATO (Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara) dan Itali.

Menteri Pertahanan Itali, Ignazio La Russa menyatakan Itali bukan sekadar meminjamkan pangkalan tenteranya, malah bersedia memberi sokongan ketenteraan.

Sementara itu, Perdana Menteri Norway, Jens Stoltenberg menyatakan bahawa pihaknya sedia untuk menyumbang enam pesawat pejuang F-16 bagi operasi ketenteraan ke atas Libya. "Pesawat tersebut akan tiba dalam tempoh beberapa hari lagi," kata Stoltenberg.

Pesawat pejuang dari Britain, Perancis dan UAE dijadual berlepas dari pangkalan tentera Corsica, Perancis. Perbincangan untuk mempercepatkan tindakan ketenteraan ke atas rejim Gaddafi turut disuarakan di Eropah dan Amerika Utara. Negara-negara seperti Sepanyol dan Kanada mula menggerakkan peralatan ketenteraan sebagai persediaan untuk menyerang.

Cameron mengakui bahawa United Kingdom sudah memulakan persiapan untuk menggerakkan pesawat pejuangnya. Dalam beberapa jam lagi, tenteranya akan digerakkan ke pangkalan-pangkalan udara untuk 'tindakan sewajarnya.' Sepanyol dan Kanada juga menyatakan mereka akan menyediakan tentera dan jet pejuang.

Tindakan itu akan disegerakan jika Gaddafi meneruskan operasi ketenteraannya. Gaddafi diberi masa sehingga tengah hari semalam untuk mematuhi resolusi tersebut. Semalam, pemimpin dunia bertemu di Paris untuk membincangkan tindakan ke atas Libya.

Mesyuarat yang merupakan inisiatif Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy itu turut dihadiri oleh Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton dan Perdana Menteri Britain, David Cameron dan Presiden Perancis.



Canselor Jerman, Angela Merkel yang dijangka tidak akan ambil bahagian dalam sebarang tindakan ke atas Libya juga menghadirkan diri. Jordan, Maghribi, Qatar dan UAE merupakan antara negara Arab yang menghadiri mesyuarat sama. Menteri Luar Iraq, Hoshyar Zebari akan hadir selaku Ketua Liga Arab. Setiausaha Agung badan tersebut, Amr Moussa juga mengambil bahagian.

Semalam, duta-duta dari 28 buah negara anggota NATO bermesyuarat di Brussels mengenai penglibatan NATO untuk menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya. Namun, tiada keputusan dicapai bagi menunggu hasil mesyuarat di Paris.

Dalam satu sidang akhbar di Tripoli, jurucakap kerajaan, Moussa Ibrahim membacakan surat daripada Gaddafi kepada Obama dan pemimpin Barat yang lain.

"Libya bukan hak anda. Libya adalah hak rakyat Libya. Resolusi Majlis Keselamatan tidak sah," jelas surat yang ditujukan kepada Sarkozy, Cameron dan Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-Moon.

Ini bukanlah kali pertama Barat masuk campur dalam hal ehwal negara yang berdaulat. Sebelum ini, AS dan tentera sekutunya pernah menceroboh Iraq, Afghanistan dan Somalia.

Antara alasan signifikan kenapa AS dan sekutunya bersungguh-sungguh mahu menceroboh Libya ialah kerana negara itu kaya dengan sumber minyak dan gas asli. Negara seluas 679,359 meter persegi itu memiliki populasi seramai 6.42 juta orang. - Agensi

Readmore..
Related Posts with Thumbnails

THERE ARE MORE HERE

 

Malay Mail Online

The Star Online: Most Viewed: Nation

NST Online: Topnews

The New York Times

The Washington Post

Gossip Cop

Harakahdaily

Malaysiakini

Harian Metro: BeritaUtama

Berita Harian: Mutakhir

Kosmo Online

CNN.com

Followers

Please leave your blog link

© Copyright 2010. insanidaily.com . All rights reserved | insanidaily.com is proudly powered by Blogger.com | Template by insanidaily.com - insanidaily.com