KUALA LUMPUR: “Empat tahun saya beraya seorang diri. Sebab itu kami melangsungkan pernikahan dalam Ramadan ini supaya Aidilfitri nanti dapat diraikan bersama,” kata aktres sensasi, Aida Aris, 38, yang melangsungkan perkahwinannya dengan duda anak dua, semalam.
MANIS... kedua-dua mempelai diapit anak Husfarid, Danish Hazim dan Farish Nasha.
Dengan sekali lafaz diikuti mas kahwin RM330, Aida sah bergelar isteri kepada ketua pramugara Penerbangan Malaysia, Husfarid Shaikh Ali @ Shaikh Hussain, 38, pada majlis akad nikah di rumah pelakon itu, di sini, semalam.
Menurut Aida, perkenalan selama tujuh bulan itu sepatutnya diakhiri dengan ikatan perkahwinan bulan lalu, namun terpaksa ditunda disebabkan beberapa masalah membabitkan dokumen pernikahan dengan jabatan agama.
“Alhamdulillah, akhirnya semua dapat diselesaikan minggu lalu. Kami tidak mahu menunggu lama, sebab itu majlis pernikahan ini diadakan secepat mungkin.
“Yang penting bagi kami ialah mengadakan majlis pernikahan. Lagipun, saya tidak merancang melakukan majlis besar-besaran. Cukup sekadar bermula dengan majlis pernikahan sebelah pagi diikuti kenduri kecil di sebelah malam.
“Dalam masa sama, kami ingin mendapat keberkatan menjamu tetamu yang hadir berbuka puasa selain meraikan perkahwinan ini,” katanya tanpa mahu mendedahkan nilai hantaran daripada pihak pengantin lelaki.
Majlis pernikahan yang berlangsung sederhana itu hanya dihadiri keluarga daripada kedua-dua pihak, termasuk beberapa rakan artis.
6 Pesanan Nabi waktu IJtimak?
2 days ago