Perlu difahami kaedah pencegah kehamilan yang berkesan memerlukan kesungguhan dan pemahaman mengenai kesan sampingannya supaya seseorang tidak panik atau hilang kepercayaan pada kaedah terbabit.
Beberapa faktor perlu diambil kira iaitu:
-Hanya kaedah kondom sahaja yang tidak mengandungi hormon (seperti suntikan, pil, implan dan alat dalam rahim) atau bahan kimia (seperti alat dalam rahim yang mengandungi logam kuprum), namun ia memerlukan kesungguhan dalam pemakaiannya.
- Kaedah pil sesuai untuk mengatur kitaran dan jumlah haid di samping memberi banyak lagi kelebihan (pengurangan risiko kanser rahim, kanser ovari, penyakit payu dara benigna, penyakit ovari benigna, penyakit anemia dan senggugut), namun ia juga memerlukan kesungguhan dalam pengambilannya. Ia boleh memberi kesan sampingan penambahan berat badan, nafsu seks dan seumpamanya.
- Kaedah suntikan lebih mudah, hanya 8 hingga 12 minggu setiap kali namun ia boleh memberi gangguan haid dan kesan sampingan lain yang dinyatakan di atas (lebih jarang)
- Kaedah alat dalam rahim (sama ada mengandungi kuprum ataupun berhormon) bertahan lebih lama sehingga tiga tahun (atau lima tahun jika menggunakan IUD berhormon), ia mungkin kurang sesuai dari segi kos jika dia ingin hamil selepas satu hingga dua tahun.
- Kaedah azal atau pengiraan waktu subur bukanlah kaedah yang sangat berkesan terutama jika isteri tidak mempunyai kitaran haid yang tepat setiap kali.
- Pengguguran kandungan bukanlah kaedah merancang keluarga yang selamat.
PIL perancang terbahagi kepada tiga jenis utama iaitu:
- Pil berhormon tunggal (progestin sahaja) seperti Noriday,
- Pil berkombinasi estrogen dan progestin seperti Marvelon, Nordette, Regividon, Loette, Mercilon, Minulet dan Meliane atau
- Pil yang tidak mengandungi hormon progestin seperti Yasmin.
Pil perancang berhormon tunggal tidak mengurangkan penghasilan susu badan, ia lebih bersesuaian untuk ibu yang memilih untuk terus menyusu badan, namun ia mungkin menyebabkan gangguan haid serta memberi kesan sampingan lain seperti penambahan berat badan.
Pil berhormon kombinasi pula mempunyai banyak kelebihan lain. Antaranya:
- Mengurangkan jumlah darah sewaktu haid. Ini akan mengurangkan risiko anaemia, lantas mengurangkan keperluan rawatan penambahan hemoglobin darah misalnya pil zat besi, suntikan zat besi dan pendermaan darah.
- Menjadikan kitaran haid teratur. Pil perancang ada digunakan sebagai rawatan gangguan kitaran haid, satu keadaan yang sering dialami oleh gadis-gadis sewaktu awal didatangi haid.
- Mengurangkan risiko kanser ovari sebanyak 50 peratus.
- Mengurangkan risiko kanser rahim sebanyak 50 peratus.
- Mengurangkan risiko penyakit benign pada payudara
- Mengurangkan risiko penyakit peradangan pelvis (PID)
- Mengurangkan risiko endometriosis
- Mengurangkan senggugut
Namun, pil perancang berkombinasi juga mempunyai kekurangannya. Kandungan hormon estrogennya dikaitkan dengan risiko pembekuan darah dalam saluran vena yang boleh menyebabkan keadaan venousthromboembolism yang membahayakan. Risiko ini bagaimanapun kecil sahaja dan jauh lebih rendah jika dibandingkan jika wanita itu hamil.
Ia tidak sesuai untuk wanita yang disyaki mempunyai risiko penyakit jantung. Kandungan hormon progestin pula berkaitan dengan keadaan air tertahan di dalam badan menyebabkan sedikit penambahan berat badan serta masalah jerawat.
Dengan itu kini, ada jenis pil perancang yang didatangkan dalam dos yang lebih rendah (ultra rendah) bagi mengurangkan kesan sampingan di atas seperti penambahan berat badan dan jerawat.
Bagaimanapun, jenis lain yang sudah lama ada di pasaran juga masih dikategorikan sebagai rendah kandungan hormon.
Jenis berkombinasi tetapi tidak mengandungi hormon progestin seperti Yasmin pula lebih terkini di pasaran. Ketiadaan hormon progestin juga bermakna ia tidak menyebabkan penahanan air di dalam badan dan penambahan berat badan serta masalah kulit berminyak atau berjerawat.
Namun ia masih mempunyai kesan sampingan hormon estrogen seperti di atas. Selain ketiga-tiga jenis di atas, ada satu lagi jenis tambahan yang mengandungi hormon estrogen bersama-sama anti-androgen seperti Diane-35. Ia mempunyai kesan tambahan khas iaitu merawat masalah jerawat dengan berkesan.
Ada berpuluh jenama pil perancang di Malaysia. Ia lebih berupa sistem kafetaria iaitu pilihan jenis banyak tersedia untuk wanita memilihnya mengikut kesesuaian masing-masing. Anda seeloknya berbincang lebih lanjut dengan doktor anda mengenai kelebihan dan kekurangan masing-masing.
Jika jenis A lebih sesuai untuk seseorang, tidak semestinya ia sesuai untuk semua atau orang lain. Selain itu, tidak semestinya pil yang lebih terkini atau lebih mahal bermakna ia lebih baik untuk semua wanita. Ada wanita yang mudah mengalami penambahan berat badan maka dia lebih mementingkan soal penambahan berat badan, manakala ada wanita sudah serasi dengan jenama pil tertentu sejak anak pertama lagi dan mahu meneruskannya selepas kelahiran berikutnya.
Perbezaan harga yang ketara juga memainkan peranan dalam membuat pilihan. Apapun, ketiga-tiga jenis ini selamat digunakan secara amnya kecuali bagi kes-kes tertentu sahaja.
KAEDAH suntikan pencegah kehamilan di Malaysia tersedia dalam dua keluaran dan kedua-duanya mengandungi hormon progestin.
Jenis pertama mengandungi hormon progestin berjenis norethisterone enantate (berjenama noristerat yang bertahan selama lapan minggu) manakala jenis kedua mengandungi hormon progestin berjenis medroxyprogesterone acetate (depoprovera ) yang dapat bertahan selama 12 minggu.
Kedua-duanya mengandungi satu hormon sahaja yang menyamai hormon progesteron wanita. Kaedah suntikan amat berkesan iaitu melebihi 99 peratus. Dalam setiap 1,000 wanita yang menggunakan suntikan pencegah kehamilan untuk jangka masa setahun, hanya seorang dua saja yang hamil.
Ini berbeza berbanding jika isteri anda tidak menggunakan sebarang kaedah, risikonya hamil sekitar 80 peratus dalam masa setahun manakala kaedah azal atau waktu subur pula memberi risiko sehingga 25 peratus untuk hamil.
Di samping itu, kaedah suntikan juga mempunyai beberapa kebaikan lain seperti:
- Mengurangkan risiko kanser endometrium (sejenis kanser dalam rahim).
- Mengurangkan risiko kanser ovari.
- Mengurangkan risiko kehamilan luar rahim (ektopik).
Seperti mana-mana ubatan, kaedah suntikan juga mempunyai kesan sampingan tersendiri. Kesan sampingan kaedah suntikan yang sering didapati gangguan haid.
Pada awalnya haid menjadi lebih banyak dan berpanjangan, kemudian ia bertukar menjadi sedikit saja dan jarang atau tiada langsung. Ini tidak bermakna darah kotor tertahan dalam badan isteri anda.
Masalah penambahan berat badan juga boleh berlaku kepadanya seperti kebanyakan pengguna suntikan ini. Namun kesan sampingan lain jarang berlaku (kurang daripada 25 peratus saja) termasuk pening kepala, perubahan mood, masalah jerawat, penurunan nafsu seks dan payu dara tegang atau sakit.
Wanita yang mahu mengamalkan kaedah pil perancang perlu mendapatkan nasihat doktor masing-masing terlebih dulu dan mengambilnya mengikut aturan. Jika seseorang itu kerap terlupa mengambilnya, mungkin dia perlu bertukar kepada kaedah lain yang juga selamat.
Perkhemahan Sunnah dan Konvokesyen sunnah?
4 days ago
0 comments:
Post a Comment