Saturday, October 8, 2011

Saida AF6 cerai talak satu

| Saturday, October 8, 2011 | 0 comments



KUALA LUMPUR: Kemelut rumah tangga kakak penyanyi Datuk Siti Nurhaliza, Siti Norsaida Tarudin atau Saida dengan suaminya Mohd Ghazali Yahya Zikri menemui noktahnya selepas sah bercerai talak satu secara khuluk (tebus talak) dengan nilai ganti rugi RM1,000 di Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam.

Bagaimanapun, lafaz cerai yang dibuat pada jam 11.35 pagi itu dilafazkan oleh pegawai mahkamah yang dilantik sebagai hakam (penimbang tara) selepas Mohd Ghazali memilih berbuat demikian di hadapan Hakim Syarie, Mohd Suhaily Rosdi.

Mahkamah kemudian memutuskan Saida, 35, dan Mohd Ghazali, 41, bukan lagi suami isteri dan memerintahkan kedua-dua pihak membatalkan sijil nikah masing-masing di Jabatan Agama Islam.

Mohd Ghazali bagaimanapun enggan menerima wang tebus talak yang diserahkan Saida itu.

Ketika mendengar keputusan itu Mohd Ghazali kelihatan sugul manakala Saida kelihatan menangis teresak-esak.

Terdahulu, Mohd Suhaily menasihatkan Mohd Ghazali untuk menceraikan Saida selepas mendapati badan hakam yang dilantik mahkamah gagal mendamaikan mereka.

Badan hakam itu diwujudkan untuk kali ketiga setelah dua jawatankuasa yang sama yang dilantik Saida dan Mohd Ghazali sebelum ini turut gagal dalam mencari jalan penyelesaian berhubung krisis rumah tangga pasangan itu.

Mohd Ghazali ketika diberi pilihan oleh mahkamah sama ada ingin melafazkan cerai sendiri atau menerusi hakam memohon satu perjanjian dibuat supaya Saida tidak akan membuat sebarang tuntutan terhadap hak penjagaan anak dan harta selepas lafaz cerai itu dibuat.

“Dayus sekiranya saya penuhi permintaannya kerana semuanya berpunca daripadanya,” kata ahli perniagaan itu.

Bagaimanapun, mahkamah berpendapat selepas bercerai kedua-dua pihak mempunyai hak terhadap anak berkenaan.

“Kita kena ikut prosedur, tuntutan berkenaan boleh dibuat selepas ini,” katanya.

Bekas jurutera kaji bumi itu yang pada mulanya enggan berbuat demikian akhirnya akur dengan nasihat mahkamah dengan memilih hakam mewakilinya untuk melafazkan cerai itu terhadap Saida.

Sebelum lafaz itu dibuat, Mohd Suhaily meminta kedua-dua pihak saling bersalaman memohon kemaafan antara satu sama lain.

Kelihatan Mohd Ghazali yang pada mula enggan berbuat demikian, menyambut salam yang dihulurkan Saida.

“Sampai hati awak buat macam ini kepada saya,” kata Mohd Ghazali sebelum ditegur oleh hakim supaya kedua-dua pihak tidak bercakap.

Saida yang diwakili peguam syarie, Ahmad Nazib Johari ketika ditemui di luar mahkamah enggan memberi sebarang komen sebelum terus meninggalkan mahkamah.

Saida yang juga peserta Akademi Fantasia 6 (AF6), memfailkan permohonan untuk bercerai secara baik terhadap Mohd Ghazali pada 6 Oktober 2010, selepas berkahwin 14 Disember 1996 di Kuala Lipis, Pahang.

0 comments:

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

THERE ARE MORE HERE

 

Malay Mail Online

The Star Online: Most Viewed: Nation

NST Online: Topnews

The New York Times

The Washington Post

Gossip Cop

Harakahdaily

Malaysiakini

Harian Metro: BeritaUtama

Berita Harian: Mutakhir

Kosmo Online

CNN.com

Followers

Please leave your blog link

© Copyright 2010. insanidaily.com . All rights reserved | insanidaily.com is proudly powered by Blogger.com | Template by insanidaily.com - insanidaily.com