Sunday, August 23, 2009

Punca rabun jauh

| Sunday, August 23, 2009 | 1 comments

ISU keselamatan, kesibukan ibu bapa, tarikan televisyen dan permainan moden (yang berkaitan dengan komputer) membuatkan ramai kanak-kanak membesar dalam persekitaran sempit dan terkurung. Maka tidak hairanlah jika kini semakin ramai kanak-kanak memerlukan cermin mata pada umur yang sangat muda iaitu ketika berada di sekolah rendah.

Kebaikan bermain atau melakukan aktiviti di luar rumah tidak terhad kepada kanak-kanak saja kerana kajian juga menunjukkan orang dewasa yang masih belum menghadapi masalah penglihatan juga akan mendapat manfaatnya bagi mengurangkan perkembangan miopia. Ini kerana di kalangan orang dewasa, rabun jauh juga adalah masalah biasa terutama di kalangan individu yang mempunyai kerjaya memerlukan penglihatan jarak dekat termasuklah mereka yang duduk di depan komputer sepanjang hari.

Dianggarkan satu pertiga penduduk Amerika Syarikat mempunyai masalah rabun jauh yang disebabkan faktor genetik dan persekitaran (akibat kerja). Menurut Pengarah Penyelidikan Kolej Optometri New England, Jane Gwiazda, masalah rabun jauh lebih tinggi pada penduduk Asia termasuklah negara kita.

Dalam kajian yang membabitkan 191 kanak-kanak dengan purata umur 13 tahun, peserta ditanya berapa lama mereka menghabiskan masa untuk menggunakan komputer, membaca (bukan buku pelajaran) dan menonton televisyen. Pada masa sama penglihatan kanak-kanak berkenaan diperiksa setiap tahun. Hasil kajian mendapati kanak-kanak yang mengalami rabun jauh lebih banyak menonton televisyen (12.5 jam seminggu) berbanding hanya 8.4 jam pada kanak-kanak yang tiada masalah penglihatan. Gwiazda berkata aktiviti di luar rumah boleh 'menghalang' isyarat untuk perkembangan rabun jauh.

Apabila terbabit dengan aktiviti di luar rumah, cahaya matahari akan menyebabkan pupil (anak mata) mengecil bagi mengurangkan kemasukan cahaya ke dalam mata. Keadaan ini membuatkan mata bertindak balas dengan 'memanjangkan' titik fokus yang membolehkan imej dilihat lebih jelas. Titik fokus yang pendek (jatuh di depan retina) membuatkan seseorang mengalami rabun jauh.

Dalam perkataan lain, mata kita boleh melihat lebih jelas di luar rumah dengan adanya cahaya matahari dan mengelakkan berlakunya masalah rabun jauh. Dalam kajian berkenaan, kanak-kanak yang menghabiskan lebih banyak masa di luar rumah juga memperuntukkan masa yang agak lama menonton televisyen, menggunakan komputer dan membaca - tetapi tidak mengalami masalah penglihatan.

Bagaimanapun manfaat melakukan aktiviti di luar rumah tidak sekadar pada penglihatan saja kerana ia juga mampu mengurangkan masalah kegemukan yang semakin tinggi di kalangan kanak-kanak di negara kita. Ia mendekatkan kanak-kanak dengan pelbagai penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, kencing manis, kolesterol tinggi dan strok. Semua ini adalah penyakit orang dewasa tetapi kanak-kanak juga boleh menghidapnya jika mereka terlalu gemuk dan kurang aktiviti fizikal. Selain itu aktiviti luar juga membolehkan kanak-kanak mendapat Vitamin D yang tidak dapat diperoleh secukupnya daripada makanan. Badan memerlukan Vitamin D untuk membentuk tulang yang sihat dan kuat serta mengurangkan risiko penyakit jantung dan tekanan darah tinggi apabila mereka dewasa kelak.

Vitamin D juga penting untuk membantu badan menyerap kalsium daripada makanan atau minuman dan mengawal kandungan renin serta protein yang mempunyai kaitan rapat dengan tahap tekanan darah. Aktiviti cergas yang dilakukan ketika di luar rumah akan membuatkan kanak-kanak tidur lebih nyenyak pada waktu malam. Malah aktiviti yang memerlukan mereka berlari, melompat, mendaki, menuruni tangga, ketawa atau menjerit gembira amat baik untuk membina otot kecil dan besar, menguatkan tulang, memperbaiki fungsi paru-paru dan meningkatkan tahap kesihatan secara keseluruhan.

Pada masa sama kanak-kanak ini akan mendapat manfaat sosial dan emosi kerana mereka belajar untuk berinteraksi, berkongsi, bertolak ansur, meneroka perkara baru dan memahami keperluan rakan sebaya. Dalam kajian lain mendapati aktiviti cergas juga boleh membantu meningkatkan prestasi akademik kanak-kanak kerana ia merangsang keyakinan dan daya tumpuan di dalam kelas. Sebagai ibu bapa, apa yang anda perlu lakukan ialah memastikan anak-anak supaya tidak terlalu leka bermain sehingga tidak mempunyai masa untuk mengulang kaji pelajaran.

Bahkan kanak-kanak hiperaktif dan mengalami gangguan tumpuan (ADHD) juga memberi tindak balas positif dari segi gejala apabila mereka dibawa ke luar untuk menikmati alam sekitar - yang menjadi sebahagian daripada rawatan. Kajian Universiti Illinois ke atas kanak-kanak ADHD berumur lima hingga 18 tahun mendapati 'terapi hijau' ini mampu membuatkan mereka lebih tenang dan kurang tekanan. Malah ia dikatakan 'ubat berkesan' yang mampu menyelamatkan kanak-kanak ADHD yang tidak menunjukkan tindak balas positif terhadap ubat.

Jadi jika anak anda sudah mula menunjukkan masalah berat badan berlebihan, jangan biarkan masalah itu terus melarat. Ajak dan galakkan mereka untuk terbabit dalam aktiviti cergas supaya berat badan mereka boleh dikurangkan secara sihat dan perlahan-lahan. Dalam perkembangan terbaru, kanak-kanak lelaki yang obes baligh lebih lewat berbanding rakan sebaya mereka. Sebaliknya bagi kanak-kanak perempuan yang obes, mereka akan cepat datang haid. Ini adalah perkara yang tidak normal dan ia boleh membuatkan anak anda berasa tertekan kerana ‘berbeza’ dengan rakan lain. Selain memberi peluang untuk anak bebas bermain di luar, anda juga boleh menjadikan aktiviti berkebun untuk merapatkan hubungan antara ibu bapa dan anak. Gunakan peluang ini untuk pendidikan tidak formal dengan menceritakan kepentingan cacing kepada tanah dan tumbuh-tumbuhan, kitaran hidup sejenis pokok atau serangga yang anda temui. Rasa ingin tahu kanak-kanak memang tinggi dan inilah masanya untuk anda memenuhinya dengan pelbagai maklumat berguna mengenai alam dan kehidupannya. Ia bukan saja boleh menarik minat terhadap alam sekeliling malah turut membantu mereka lebih memahami apa yang dipelajari di dalam kelas.

Berkebun bukan saja memberi ketenangan kepada orang dewasa tetapi kanak-kanak akan turut merasainya melalui pergerakan bangun, duduk, berjalan dan sentiasa bergerak yang boleh disifatkan sebagai senaman. Kanak-kanak yang turut membantu menanam sayur-sayuran akan berasa teruja apabila melihat ia tumbuh dan membesar. Ketika inilah anda boleh menerangkan kepadanya hubung kait antara cahaya, air, tanah dan penjagaan yang perlu diberikan. Semua ini tidak dapat dipelajari jika hanya terperuk di depan komputer atau televisyen.

1 comments:

Anonymous said...

=))

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

THERE ARE MORE HERE

 

Malay Mail Online

The Star Online: Most Viewed: Nation

NST Online: Topnews

The New York Times

The Washington Post

Gossip Cop

Harakahdaily

Malaysiakini

Harian Metro: BeritaUtama

Berita Harian: Mutakhir

Kosmo Online

CNN.com

Followers

Please leave your blog link

© Copyright 2010. insanidaily.com . All rights reserved | insanidaily.com is proudly powered by Blogger.com | Template by insanidaily.com - insanidaily.com