SOALAN
SAYA sudah berumahtangga selama lebih 20 tahun. Pada tahun lalu saya mendapat tahu suami saya pernah mengadakan hubungan sejenis dengan rakan sekerjanya.
Beliau mengaku dan berjanji tidak akan melakukannya lagi. Oleh kerana amat menyayanginya saya memaafkannya dan meneruskan hidup sebagai suami isteri walaupun kadangkala masih ragu-ragu terhadapnya.
Namun timbul masalah lain apabila baru-baru ini saya menjumpai dua keping kertas yang mempunyai tulisan seperti ayat al-Quran dicampuradukkan dengan gambar rajah ganjil serta gambar haiwan seperti naga yang berkepala seperti iblis dan ular.
Saya mengesyaki suami saya menyimpannya sebagai tangkal. Saya memberitahunya menyimpan tangkal adalah amalan syirik, tetapi beliau menafikannya dan memarahi saya.
Saya minta supaya dia bertaubat atas dosa itu. Sejak itu suami mula bersolat di masjid. Saya berharap dia bertaubat.
Apa yang merunsingkan ialah dia tidak melayani saya seperti sebelum ini. Dia tidak mahu bercakap dan makan bersama. Walaupun kami tidur bersama, dia tidak membalas pelukan apabila saya memeluknya.
Saya kini berasa amat tertekan dan ingin berpisah dengannya kerana rasakan tidak dihargai. Kadangkala saya teringin untuk keluar daripada perkahwinan ini, tetapi hati kecil saya menahan daripada melakukannya.
Orang yang mengenali dia juga mungkin tidak percaya dia seorang homoseks dan kadangkala kaki pukul kerana sifat itu tidak kelihatan di khalayak ramai.
ISTERI MALANG,
Selangor.
JAWAPAN
DALAM berumah tangga, setiap pasangan ada hak dan tanggungjawab tertentu. Bagi isteri ada hak berupa harta termasuk mahar serta nafkah manakala hak bukan harta termasuk mendapat layan baik dan keadilan.
Dalam hak bukan harta, isteri mempunyai hak untuk bersetubuh sebagai memenuhi kehendak nafsu dan memupuk kasih sayang. Hak itu wajib dipenuhi suami. Apabila hak itu tidak dapat dilaksanakan, pergolakan rumah tangga bermula.
Sebagai contoh, sekiranya suami gagal memenuhi hak isteri dalam bersetubuh sekurang-kurang sekali dalam empat bulan, isteri boleh memohon cerai melalui cara taklik. Begitu juga apabila suami mencederakan isteri dan tidak melayan isteri dengan cara sepatutnya dan baik (al-mu'asharah bi al-ma'ruf), isteri juga boleh memohon cerai.
Islam membenarkan perceraian bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga yang tiada penyelesaian. Mudah-mudahan kedua-dua pasangan dapat memulakan hidup baru dengan baik seterusnya. Hal sama perlu diambil kira dalam menyelesaikan masalah rumah tangga puan.
Perkhemahan Sunnah dan Konvokesyen sunnah?
2 days ago
0 comments:
Post a Comment