Monday, February 22, 2010

Perkara haram jauhkan rezeki

| Monday, February 22, 2010 | 0 comments




MINGGU lalu saya menyentuh berkaitan apa itu rezeki, berkat, menderma serta bersedekah itu menambah rezeki dan bukan mengurangkannya serta balasan diberikan Allah SWT kerana keikhlasan kita. Berikut adalah lanjutan sambungan keluaran lalu.

Terlalu banyak cara dan kaedah untuk Allah SWT membalas baik sangka serta amalan kebaikan hamba-Nya sama ada ketika kita masih hidup di dunia atau di akhirat. Yang menjadi penghalang hanyalah ‘hati’ masing-masing.

Jika hati belum mampu meyakini maha pemurahnya Allah SWT, meyakini Allah SWT akan membalasnya, meyakini wujudnya Allah SWT dan ganjaran kebaikan-Nya, selagi itu individu berkaitan akan sentiasa dihambat pelbagai perasaan tamak, kedekut serta malas ketika ingin memberi.

Jalan awal penyakit itu adalah ‘malas’ dan diikuti berterusan melakukan dosa. Kemudian, dia berasa jalan ‘dosa’ itu cara pendapatan terbaik baginya.

Saya teringat, tatkala saya mengingatkan orang ramai perihal pelaburan haram, skim haram, skim cepat kaya, skim piramid wang dan sebagainya, berteriaklah beberapa orang yang tidak berpuas hati seraya berkata: “Kami orang susah, ustaz bolehlah kata itu dan ini, cuba ustaz duduk di tempat kami selaku individu yang kurang berpendidikan, kerja berat tapi gaji sedikit. Itulah saja cara mudah untuk kami menambah pendapatan.” Individu seperti itu tidak sedar, pembabitannya dalam perkara haram hanya akan menjauhkan lagi dia daripada rezeki harta dan ketenangan. Rasulullah SAW bersabda: “Tidak bertambah umur seseorang kecuali jika dia melakukan kebaikan dan tidak akan ditolak qadar Allah SWT (iaitu qadar al-Mu’allaq) kecuali melalui doa, dan sesungguhnya seseorang itu DITAHAN REZEKINYA disebabkan dosa-dosa yang sentiasa dilakukannya.” (Riwayat Ibn Majah, Ahmad Hadis Hasan) Justeru, janganlah menjadikan posisi kesukaran diri pada waktu ini sebagai alasan untuk membabitkan diri dalam perkara haram kerana ia sebenarnya bukan jalan keluar tetapi jalan buntu dan hanya akan melebarkan bencana terhadap diri serta keluarga.

Imam Ibn Kathir pernah mengulas apabila manusia melupakan soal dosa pahala dalam harta dan kehidupan mereka: “Tetapi mereka mendustakan (tidak patuh kepada hukum Islam), maka kami rampas daripada mereka apa-apa yang mereka usahakan.” (Al-A’raf: 96) PERKEMBANGAN POTENSI, JANGAN ASYIK MEMBUAT ALASAN Yang perlu dilakukan adalah memanfaatkan wang simpanan bagi mempelajari ilmu yang boleh digunakan untuk memperkembang potensi diri, bukan dengan menceburi skim haram dan kemudian mengemukakan pelbagai alasan. Ulama tabi’en berkata: “Barang siapa menuntut ilmu Allah seolah-olah telah menjamin rezekinya.” (Kanzul Ummal, 10/139) Ilmu itu akan menerangkan kita jalan untuk bekerja sebaik mungkin dalam keadaan halal dan seterusnya membuka lebih banyak pintu rezeki. Semua ini perlu dilakukan tanpa malas. Atas dasar itu Rasulullah SAW mengingatkan: “Kalau kamu benar-benar bertawakal kepada Allah SWT, nescaya akan diberi rezeki kepadamu sebagaimana diberi rezeki kepada burung, yang keluar dengan perut lapar di pagi hari, pulang dalam keadaan kenyang.” Ulama menyebut dengan jelas lagi terang, maksud tawakal dalam hadis di atas merujuk kepada usaha, ilmu, bersungguh-sungguh dan sesudah itu bersangka baik kepada Allah SWT.

Sesiapa yang bersangka baik kepada Allah SWT, Dia akan menunaikan sangkaan baiknya. Begitu juga sebaliknya.

Akhir sekali, Rasulullah SAW menasihatkan seorang sahabat yang kerap memohon bantuan harta daripada baginda: “Wahai Hakim, sesungguhnya harta adalah seperti buah yang subur, manis lagi disukai. Barang siapa mengambilnya dengan jiwa yang zuhud (dan tidak meminta-minta) nescaya akan diberkati baginya pada harta itu.

“Barang siapa mengambilnya dengan tinggi diri (serta tamak) tiada berkat di dalamnya sebagaimana orang yang makan tetapi tidak kenyang.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)


Sumber: Harian Metro

0 comments:

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

THERE ARE MORE HERE

 

Malay Mail Online

The Star Online: Most Viewed: Nation

NST Online: Topnews

The New York Times

The Washington Post

Gossip Cop

Harakahdaily

Malaysiakini

Harian Metro: BeritaUtama

Berita Harian: Mutakhir

Kosmo Online

CNN.com

Followers

Please leave your blog link

© Copyright 2010. insanidaily.com . All rights reserved | insanidaily.com is proudly powered by Blogger.com | Template by insanidaily.com - insanidaily.com