GOMBAK: “Ada hikmahnya Rita ikut cakap emak supaya terus balik dari United Kingdom (UK) untuk menguruskan perniagaannya. Kalau ikutkan, Rita mahu bekerja dulu di sana untuk cari pengalaman selepas tamat pengajian,” kata Erni Dekritawati Yuliana Bukhari, 25, atau lebih dikenali sebagai Rita.
Anak sulung pengasas empayar kecantikan Nouvelles Visages, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, jutawan kosmetik yang dibunuh kejam bersama tiga individu lain, tidak menyangka sikap akur terhadap cakap ibu mempunyai hikmah di sebaliknya.
Pemegang ijazah Sarjana Perniagaan Antarabangsa Universiti Nottingham Trent, UK itu berkata, operasi Nouvelles Visages akan berjalan seperti biasa dan dia mengambil alih tanggungjawab menerajui empayar perniagaan ibunya dengan dibantu empat beradiknya yang lain serta kakitangan berpengalaman.
“Rita masih ingat kata-kata emak supaya segera pulang dari UK dan meminta tidak membazir waktu, sedangkan dia boleh memberi tunjuk ajar selok-belok dunia perniagaan.
“Sejak mengambil alih perniagaan enam bulan lalu, banyak yang Rita pelajari. Emak banyak membimbing Rita dan adik lain menguruskan perniagaan,” katanya yang juga Pengarah Nouvelle Beauty Centre Sdn Bhd kepada Metro Ahad, di sini, semalam.
Selain memasarkan produk kosmetik dengan beratus rangkaian termasuk stokis dan cawangan, Nouvelle Beauty Centre membuka galeri pengantin, penjagaan kesihatan, salun rambut dan kecantikan serta hartanah.
Butik andaman pengantin, salun rambut dan spa beroperasi di Wisma Nouvelle, Cyberjaya. Nouvelle Development pula membangunkan kawasan komersial di Kota Damansara.
Menurut Rita, sebagai anak sulung, cabaran berat harus dipikul mengambil alih perniagaan dan menguruskan keluarga yang selama ini digalas ibunya.
Bagaimanapun, dia akan mendapatkan pandangan daripada orang berpengalaman serta berbincang dengan adik beradik sebelum membuat sesuatu keputusan membabitkan perkara penting.
“Sejak kes ini berlaku, Rita tidak sanggup menonton televisyen dan membaca surat khabar kerana terlalu sedih. Walaupun terlalu pahit, Rita boleh menerima kenyataan. Kami sekeluarga harap rakyat Malaysia sama-sama mendoakan roh emak dan tiga yang lain dicucuri rahmat.
“Rita juga tidak berniat untuk tidak memberi kerjasama dengan pihak media, tetapi buat masa ini masih belum bersedia. Kami masih bersedih dan harap mereka faham situasi sekarang ini,” katanya yang turut memperketat kawalan keselamatan untuk keluarga sebagai langkah berjaga-jaga.
Bekas suami Sosilawati yang juga vokalis Lefthanded, Jamaluddin Elias atau Nash, turut menziarah rumah Allahyarham Sosilawati di Taman Harmonis, di sini.
Dia yang berada hampir sejam di situ dilihat bertemu ibu Sosilawati, Yatmi Abdul Rahman, 80, selain memberi kata perangsang kepada bekas anak tirinya.
0 comments:
Post a Comment