DUA pekerja ladang, U Suresh (kanan) dan K Sarawanan dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting, semalam yang dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun.
Dua pekerja ladang hadapi 4 pertuduhan dihukum penjara tujuh tahun
BANTING: Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya dibunuh oleh seorang lelaki, mayat mereka diletak di atas longgokan kayu, dicurah petrol dan diesel sebelum dibakar antara jam 8.30 dan 9.45 malam, 30 Ogos lalu. Pada jam 8 pagi keesokan hari, abu mayat mereka dikutip dan dimasukkan ke dalam tong sebelum dibawa dengan kenderaan jenis Isuzu D-Max serta dibuang di Sungai Panchau, Jalan Morib. Pengakuan itu kali pertama didedahkan melalui fakta kes membabitkan dua lelaki dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.
Mekanik, K Sarawanan, 19 dan U Suresh, 26, mengaku bersalah terhadap empat tuduhan menghilangkan bukti dengan cara membakar dan membuang abu mayat Sosilawati, 47; pemandunya, Kamaruddin Shansudin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38.
Sarawanan didakwa melakukan empat kesalahan itu di Lot No 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting antara jam 9.45 malam dan 12 tengah malam, 30 Ogos lalu, manakala Suresh didakwa melakukan empat kesalahan itu di Sungai Panchau, jam 8 pagi, 31 Ogos.
Mereka dituduh mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan, didakwa melakukan perbuatan itu bagi mengelakkan empat tertuduh di dalam kes pembunuhan Sosilawati dan tiga rakannya daripada tindakan undang-undang.
Rabu lalu peguam N Pathmanabhan, 41; pekerja ladang T Thilaiyalagan, 19; R Matan, 20 dan R Kathavarayan, 30, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan membunuh Sosilawati, Kamaruddin, Ahmad Kamil dan Noorhisham di lokasi sama antara jam 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos lalu.
Mengikut fakta kes yang dibacakan dalam Bahasa Tamil di mahkamah, semalam, Saravanan melihat empat mangsa dibunuh oleh tertuduh kedua dalam kes pembunuhan itu, Thilaiyalagan, di ladang milik tertuduh pertama, Pathmanabhan.
Saravanan kemudian diarah Thilaiyalagan dan tertuduh ketiga, Matan untuk mengambil petrol dan diesel yang diletakkan di hadapan rumah pekerja ladang.
Selepas menyerahkan dua tong berwarna putih berisi petrol dan diesel kepada Thilaiyalagan dan Matan, dia bersama kedua-dua mereka mengangkat mayat keempat-empat mangsa dan meletakkannya di atas longgokan kayu yang disusun.
Thilaiyalagan dan Matan kemudian mencurahkan minyak ke atas keempat-empat mayat itu, manakala Sarawanan dan Matan membakar semua mayat berkenaan.
Jam 8 pagi keesokan hari, Suresh yang berada di ladang itu melihat Thilaiyalagan dan Matan sedang memungut sesuatu di tempat pembakaran. Apabila Suresh menyoal apa kandungan tong itu, mereka menyatakan ia mengandungi abu mayat keempat-empat mangsa yang mereka bunuh dan bakar pada malam sebelumnya.
Suresh kemudian melihat tertuduh keempat, Kathavarayan membawa sebuah kenderaan jenis Isuzu D-Max ke tempat abu mayat dipungut dengan Thilaiyalagan dan Matan kemudian mengangkat tong ke dalam kenderaan itu.
Suresh, Kathavarayan dan Thilaiyalagan kemudian ke Sungai Panchau untuk membuang abu mayat berkenaan.
Apabila kembali semula ke ladang itu pada jam 10 pagi, Kathavarayan mengarahkan Suresh dan Matan membersihkan tempat pembakaran dengan membuang semua sisa kayu serta kepingan zink.
Mereka bertiga kemudian membuang sisa kayu di tempat pembuangan sampah di Sungai Arak, Kampung Kelanang di sini, manakala kepingan zink dibuang di sungai di kampung sama, sebelum kembali semula ke ladang dan bekerja seperti biasa.
Majistret Hurman Hussain juga membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusof untuk mengasingkan kedua-dua tertuduh itu daripada empat tertuduh kes pembunuhan Sosilawati dan tiga individu lain kerana Suresh dan Sarawanan akan menjadi saksi kes berkenaan.
“Mahkamah mengambil kira latar belakang kes dan mengambil kira kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan serta tiada pertuduhan pilihan. Tiada bukti mereka terbabit mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (bunuh),” katanya.
Selepas hukuman dijatuhkan, Sarawanan dan Suresh meminta maaf kepada keluarga semua mangsa dan menyatakan mereka sudah insaf dengan kesalahan dilakukan.
Cuti Hari Jumaat atau Sabtu?
4 weeks ago
0 comments:
Post a Comment