Tekanan darah tinggi punca kematian ‘Danger’
NAIROBI: Seorang lelaki Kenya yang terkenal kerana mempunyai 100 isteri, meninggal dunia minggu ini selepas jatuh sakit, lapor media tempatan.
Lelaki yang tinggi digelar ‘Danger’ (Bahaya) kerana pandai memikat wanita, mempunyai hampir 160 anak, lapor Perbadanan Penyiaran Kenya (KBC). Ancentus ‘Danger’ Akuku berusia 90-an. Disebabkan anggota keluarganya ramai, beliau membina sebuah gereja dan sekolah untuk anak-anaknya di bandar Kisumu.
Akuku mengakui saiz keluarganya menyebabkan dia mustahil untuk mengingati kesemua nama mereka.
Lelaki itu menganggap pemakanan tradisional termasuk sayur adalah faktor utama dia umur panjang serta terus bersemangat menjalani kehidupan, kata media di sini.
Dia pengsan di rumahnya disebabkan komplikasi tekanan darah tinggi dan diisytiharkan menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital di sini, kata anaknya.
Akuku berkahwin isteri pertamanya pada 1939 dan kali terakhir pada 1992. Dia juga bercerai sebanyak 30 kali, lapor akhbar kerajaan.
Ketika era Akuku membesar, poligami adalah amalan biasa di negara Afrika Timur itu. Bagaimanapun, ia tidak lagi popular dan semakin jarang diamalkan kebelakangan ini.
Selain itu, wanita juga semakin ramai yang menuntut persamaan hak di Kenya dan kebanyakan mereka juga enggan bermadu.
“Saya tidak peduli sama ada dia raja atau presiden. Amalan ramai isteri ketika era nenek moyang sudah tamat dan wanita juga memegang kuasa sekarang, tidak seperti dulu,” kata seorang penduduk Nairobi, Janet Otieno, 25.
Kata-katanya disokong oleh Anastasia Wanjiru yang menganggap poligami sebagai sesuatu yang luar biasa.
“Adakah semua isterinya tinggal bersama? Tidak mungkin rumah tangga saya akan aman jika saya bermadu. Itu tidak normal. Gila,” kata Wanjiru, 28, ketika diminta mengulas. – Agensi
Cuti Hari Jumaat atau Sabtu?
4 weeks ago
0 comments:
Post a Comment