JAKARTA: Sekurang-kurangnya 113 orang terbunuh dan 500 lagi hilang, termasuk sekumpulan peluncur Australia, semalam, apabila gempa bumi kuat di Indonesia menyebabkan berlaku tsunami.
Sejumlah perkampungan pesisir pantai turut musnah dalam bencana itu.
Gempa bumi sekuat 7.7 magnitud itu berlaku di Pulau Mentawai di barat Sumatera dan menghasilkan ombak setinggi sehingga tiga meter.
Jurucakap kerajaan berkata, 10 perkampungan turut dihanyutkan ombak.
Sekumpulan pelancong Australia mendakwa bot dinaiki mereka dimusnahkan oleh ombak besar yang menghempas ke sebuah teluk.
Sesetengah penumpang dilaporkan terpaksa berpaut pada pokok untuk menyelamatkan diri.
Lelaki Australia yang mengusahakan bot sewa di Sumatera, Rick Hallet, berkata mereka berasa ada gegaran di bawah bot dan beberapa minit kemudian terdengar bunyi menggerunkan.
“Saya terus terfikir tsunami dan apabila melihat ke laut, ternampak ombak besar seperti tembok putih yang bergerak ke arah kami,” katanya.
Pegawai Agensi Pengurusan Bencana Indonesia, Arlyno, berkata sekurang-kurangnya 167 masih hilang di sekitar Pulau Mentawai di barat Padang.
Pusat Pengurusan Krisis Kementerian Kesihatan, Mudjiharto, berkata ombak memusnahkan pelbagai bangunan sehingga 600 meter dari pantai di Pulau Pagai Selatan.
“Kira-kira 80 peratus bangunan di Kampung Muntei rosak dan ramai penduduk hilang di sana,” katanya.
Walaupun pasukan perubatan dikejarkan menaiki helikopter ke sana, usaha menyelamat terganggu kerana masalah komunikasi.
Penyelamat turut melancarkan operasi mengesan sebuah bot dipercayai dinaiki sembilan warga Australia dan Jepun yang hilang sejak gempa bumi berlaku.
Pegawai pertubuhan kebajikan SurfAid, Dave Jenkins, berkata mereka menghantar sebuah bot dan pesawat sewa untuk mencari bot berkenaan.
“Difahamkan, bot itu tidak dilengkapi telefon satelit tetapi kapten kapal itu agak berpengalaman di kawasan berkenaan.
“Dia sepatutnya tahu bagaimana berkomunikasi jika mahu tetapi keadaan kini menyebabkan kami sangat bimbang,” katanya. - AFP
Perkhemahan Sunnah dan Konvokesyen sunnah?
2 days ago
0 comments:
Post a Comment