Monday, November 1, 2010

Hot FM lalui revolusi baru

| Monday, November 1, 2010 | 0 comments

KEHADIRAN stesen radio Hot FM memulakan siaran secara rasmi pada 5 Februari 2006 menarik jutaan pendengar. Stesen milik Media Prima Berhad ini bersiaran selama 24 jam memainkan pelbagai genre muzik tempatan termasuk antarabangsa.

Tiga tahun selepas beroperasi, stesen yang menggunakan tagline Lebih Hangat Daripada Biasa ini, mencatat kejayaan membanggakan apabila menduduki tangga teratas di kalangan stesen radio tempatan.


Kejayaan ini tentunya memberi makna besar pada stesen ini yang masih dianggap baru. Malah, kekuatan stesen ini turut bergantung pada barisan penyampai popular mereka iaitu Fara Fauzana (Fafau), Faizal Ismailn (FBI), Sharifah Aleya, Ikhwan, Azura, AG, Tini, Kieran dan Suraya.

Demi memantapkan lagi Hot FM, stesen itu kini melalui satu tahap perubahan yang digelar Revolusi.



Ikuti perbualan wartawan Rap, ELRAFAEI SAPI (ahmadelrafaei@hmetro.com.my) bersama Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian Radio Media Prima, Seelan Paul yang baru-baru ini terbang ke Phuket bersama beberapa penyampai radio di bawah payung Media Prima untuk bercuti.



RAP: Bagaimana kedudukan Hot FM sekarang?

SEELAN: Secara keseluruhan, Hot FM menduduki tempat ketiga tapi masih berada pada kedudukan No 1 untuk kategori pendengar bawah 35 tahun.

Rating ini berdasarkan prestasi sejak enam bulan lalu. Tidak dinafikan, ada penurunan sedikit mungkin pada aspek pendengar berusia 40 tahun ke atas.

Namun, perkembangan ini juga sebenarnya menunjukkan peningkatan positif pada beberapa segmen lain seperti kategori pendengar daripada usia 20 hingga 24 tahun. Di sebalik penurunan ini, apa yang penting kami masih memberi fokus kepada matlamat meraih perhatian pendengar bawah 35 tahun.

Buat masa ini, kami melakukan banyak kajian untuk mempertingkat kualiti penyiaran dan mencapai kedudukan lebih baik selepas ini.


RAP: Apakah strategi Hot FM dalam memantapkan prestasi sekali gus menaikkan lagi rating?

SEELAN: Kami sedang melalui proses rombakan besar iaitu revolusi. Ini adalah rombakan drastik membabitkan penyampai dan juga pihak pengurusan. Merujuk tempoh lima tahun Hot FM ke udara, kami bukan lagi stesen radio baru. Untuk mempertingkatkan kualiti, kami rasa perlu ada revolusi seperti sekarang.

Fokus kami tidak hanya memutarkan lagu tapi seiring perkembangan teknologi dan jaringan sosial yang makin meluas, kami melihat kembali perkara yang boleh diperbaiki agar prestasi jadi lebih bagus.

Begitu juga, peranan pendengar tidak pernah diketepikan. Pendengar menjadi aspek terpenting kepada kami malah, kami sentiasa mahu memberikan khidmat terbaik kepada pendengar.

Menariknya, kurang setahun lalu kami menubuhkan Unit Sosial Media yang mendekatkan hubungan Hot FM dengan semua pendengar. Seperti kita lihat, laman sosial seperti facebook (fb) menjadi keperluan ramai. Berbanding negara lain, kita sebenarnya menjadi No 1 dalam konteks kenalan menerusi fb. Kami mahu dekat dengan peminat dalam platform baru dan terus relevan kepada pendengar.

Hingga kini, kami mendapat respons bagus. Kami ada hampir 500,000 peminat menerusi laman sosial ini. Jumlah ini meningkat sebanyak 100 peratus.

Kami mahu bekerja keras dan memastikan pendengar adalah sebahagian daripada kami sebagai satu keluarga. Sebarang idea mahupun cadangan yang diberikan pendengar, kami bincang bersama kakitangan Hot FM. Sebab itulah setiap penyampai digalakkan mempunyai fb dan Twitter agar dengan pendengar.


RAP: Apakah revolusi membabitkan rombakan penyampai?

SEELAN: Mengikut perubahan yang kami lakukan, Tini kini diserapkan menjadi Pengarah Muzik Hot FM. Azura pula dinaikan pangkat menjadi Ketua Program menggantikan Anida Mohd Tahrim yang turut dinaikkan pangkat menjadi Pengurus Besar Rangkaian Program.

Pada saya, revolusi ini bukan membaiki kekurangan tapi menjadi peningkatan kepada Hot FM. Ia tiada kena mengena dengan hal peribadi penyampai.

Kami melihat penyampai yang berkaliber boleh diserap ke peringkat pengurusan. Perubahan ini secara tidak langsung memberi peluang kepada kehadiran penyampai baru.

Sama ada pendengar boleh terima atau tidak, kita hanya tunggu dan lihat. Seperti saya katakan, kami sentiasa mengalukan sebarang idea dan pandangan daripada pendengar untuk kebaikan stesen kami.

Di fb saya sendiri, kalau ada idea yang menarik, saya turut membawanya ke dalam perbincangan. Ketika ini, kalau kita tidak ada fb, ia dianggap macam ketinggalan zaman. Begitu juga, kehidupan masyarakat kita bertambah sibuk berbanding 30 tahun lalu. Fokus mereka semakin banyak bukan saja pada keluarga tetapi laman sosial juga sesuatu yang penting.


RAP: Adakah kehadiran dua penyampai baru, Nordin Madian (Deen) dan Nur Shazrena Abd Rahim (Chad), diyakini menambah kekuatan Hot FM?

SEELAN: Saya sendiri gembira dengan kehadiran mereka sebagai anggota keluarga baru Hot FM. Walaupun Deen tiada pengalaman sebagai penyampai, dia bersama Chad berjaya meyakinkan kami dengan bakat masing-masing.

Menerusi pencarian penyampai baru ini, kami lihat kita ada ramai peserta berbakat yang boleh diketengahkan sebagai penyampai baru.

Sepatutnya kami merancang hanya mengambil seorang penyampai baru bergandingan bersama Ikhwan tapi apabila melihat bakat Deen dan Chad, kami tertarik mengambil mereka berdua. Namun, menerusi revolusi yang kami perkenalkan, kami perkenalkan seorang lagi penyampai baru.


RAP: Mungkinkah revolusi ini dilakukan atas respons pendengar yang bosan dengan penyampai tertentu?

SEELAN: Seperti gandingan segmen pagi iaitu AM Krew yang sebelum ini menampilkan Faizal dengan Fara, kami juga membuat perubahan dengan penyertaan AG. Nampaknya sejak tiga bulan lalu, AG bersama Faizal dan Fara, respons yang diberikan pendengar cukup positif. Mereka melihat karakter AG berbeza dengan dua penyampai ini. Lawak spontan yang ditunjukkan begitu menghiburkan dan ini memberi kekuatan pada gandingan mereka bertiga.


RAP: Ada stesen radio lain menyatakan dilema tiada lagu baru untuk diputarkan. Bagaimana pula dengan Hot FM, apakah berdepan dilema sama?

SEELAN: Soal dilema sebegitu sebenarnya tiada. Bagi Hot FM, selagi artis baru ingin cuba menghasilkan karya bermutu dan relevan pada kami, peluang untuk mereka sentiasa terbuka.

Apa yang penting, kami perlu tahu apa selera pendengar di pasaran ketika ini. Dalam meraih perhatian pendengar pula, ia bergantung pada usaha dan strategi stesen masing-masing.

Seperti peruntukan RM200 juta yang diberikan kerajaan menerusi pembentangan Bajet 2011 daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini, artis tempatan harus menggunakannya dengan bijak dan mengambilnya sebagai satu peluang.

Seperti segmen Hot FM Kita Punya, kami memberi peluang kepada semua artis tidak kira yang tiada label syarikat rakaman pun untuk diketengahkan.

Hot FM sentiasa menyokong artis dan lagu baru. Begitu juga, kami menyediakan bengkel untuk mereka memperbaiki kualiti lagu.

Menerusi acara ini, kami menjemput artis dan wakil syarikat rakaman untuk berkongsi pandangan dan pengalaman. Hot FM bertindak menyediakan platform.


RAP: Sejauh mana Hot FM menyokong lagu tempatan?

SEELAN: Mengambil contoh pertandingan Twisties Bingit yang sudah memasuki tahun ketiga diadakan pada tahun ini, sambutan yang diterima daripada peserta cukup menggalakkan.

Tahun ini, kami membuka penyertaan pada semua genre muzik sama ada rock mahupun pop. Peserta ini boleh mencuba nasib secara solo atau berkumpulan.

Uji bakat terakhir yang diadakan di Bentley, Mutiara Damansara Selangor selama dua hari sejak 17 Oktober lalu dihadiri hampir 200 peserta. Ini adalah lokasi ketiga selepas Johor Bahru dan Kuching.

Selepas ini, peserta yang terpilih akan bersaing sesama sendiri untuk merebut hadiah juara berupa wang tunai dan kontrak rakaman bersama Warner Music Malaysia bernilai RM100,000.


RAP: Apakah harapan anda pada Hot FM?

SEELAN: Saya berharap pendengar suka dengan revolusi kami sekarang. Kepada pendengar, teruskan menyokong Hot FM dan kami juga berusaha memberikan hiburan muzik terbaik dan pada masa sama, menyokong perkembangan industri muzik Malaysia.

0 comments:

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

THERE ARE MORE HERE

 

Malay Mail Online

The Star Online: Most Viewed: Nation

NST Online: Topnews

The New York Times

The Washington Post

Gossip Cop

Harakahdaily

Malaysiakini

Harian Metro: BeritaUtama

Berita Harian: Mutakhir

Kosmo Online

CNN.com

Followers

Please leave your blog link

© Copyright 2010. insanidaily.com . All rights reserved | insanidaily.com is proudly powered by Blogger.com | Template by insanidaily.com - insanidaily.com