Sunday, March 6, 2011

30 Mac Hari khas untuk wanita

| Sunday, March 6, 2011 | 0 comments



SEPANJANG 365 hari dalam setahun, cuma satu hari kita disaran untuk menghargai wanita dan tarikh itu jatuh pada 8 Mac ini.

Sempena Hari Wanita 2011, satu acara yang dinamakan Wanita:100 bakal dilaksanakan oleh Kakiseni dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Pelbagai persembahan selama 100 jam bakal dipertontonkan, bertepatan dengan tahun ke-100 Hari Wanita Sedunia.

Aktiviti selama sebulan itu bertujuan memahami dan menghargai sumbangan serta kejayaan yang diraih kaum Hawa.

Antara pengisian selama 100 jam itu ialah persembahan 13 buah teater yang menyentuh mengenai kuasa dan kehebatan wanita.

Malah, pihak Kakiseni turut mengadakan bengkel untuk membolehkan wanita memberi fokus kepada perkembangan kemahiran mereka.

"Realitinya, orang kini tidak mahu dileteri tentang banyak perkara. Jadi, kami menyediakan satu suasana yang menyenangkan untuk menyebarkan kesedaran tentang wanita dengan cara berkumpul dalam satu ruang dan berkongsi pelbagai perkara.

"Setiap persembahan dijangka dapat mengumpulkan sekitar 80 hingga 100 tetamu dalam satu ruang," kata peneraju projek Wanita:100, Low Ngai Yuen.

Menurut bekas pengacara 3R ini, persembahan teater itu menyeronokkan dan sesuai ditonton oleh semua golongan.

"Ia satu terapi yang mampu membuatkan kita mengenali diri sendiri di samping memperhalusi isu wanita.

"Kita juga akan lebih bersyukur dengan kehidupan sekarang," ujar Ngai Yuen yang gembira dengan sambutan golongan selebriti terhadap acara itu.

Kakiseni turut menjemput koreografer dari Manchester, Britain dan grup teater dari Thailand bagi mengisi program berkenaan.

"Beberapa artis sudah mengesahkan kehadiran termasuk Sofea Jane dan Elaine Daly, begitu juga pengarah dan pelakon terkenal Malaysia yang lain," ujar Ngai Yuen yang mahu mencipta satu suasana 'komunikasi dan respons' dalam masyarakat Malaysia.

"Program ini semestinya melibatkan kaum Adam juga kerana jujurnya suara mereka lebih kuat.

"Pastinya kita menggalakkan ramai lelaki untuk datang ke acara ini agar mereka memahami wanita dengan lebih mendalam," kata Ngai Yuen yang gembira dengan penglibatan Hero Malaya yang diketuai pengacara Aznil Nawawi dalam acara Flashmob Wanita:100 yang diadakan di Pavilion Kuala Lumpur, pada Sabtu lalu.

Antara teater yang bakal diadakan bermula 8 Mac ini ialah A Modern Woman Called Ang Tau Mui (10-13 Mac, Annexe, Pasar Seni), Women On Top (17-20 Mac, Teater Experimental, Kampus Aswara), The Non Object Exercise (22-24 Mac, Galeri Annexe, Pasar Seni), Shelah's Drag Army Presents The Eve of Adam (23-26 Mac, Celebrity Club, Solaris Mont Kiara), She Moves at a Deliberate Pace (24-27 Mac, Panggung Bandaraya Kuala Lumpur) dan Sex, Money, Scandal - The Girlie Show (30 Mac - 3 April, Auditorium Tan Sri K.R. Soma).

Turut dipersembahkan ialah sebuah acara dengan nama Muzikku: Muzikmu yang bakal diadakan di Celebrity Club, Solaris Mont Kiara.

Turut dijangka hadir ialah penyanyi Mizz Nina, Niki Palikat, Liyana Fizi dan Tempered Mental. Ia berlangsung pada 11-12 Mac, 18-19 Mac, 25-26 Mac dan 1-2 April dengan bayaran sebanyak RM30.

Untuk keterangan lanjut mengenai aktiviti Wanita:100, sila layari www.kakiseni.com/women100.

0 comments:

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

THERE ARE MORE HERE

 

Malay Mail Online

The Star Online: Most Viewed: Nation

NST Online: Topnews

The New York Times

The Washington Post

Gossip Cop

Harakahdaily

Malaysiakini

Harian Metro: BeritaUtama

Berita Harian: Mutakhir

Kosmo Online

CNN.com

Followers

Please leave your blog link

© Copyright 2010. insanidaily.com . All rights reserved | insanidaily.com is proudly powered by Blogger.com | Template by insanidaily.com - insanidaily.com