ALLY Iskandar bersama Nurfarahin selamat diijabkabul di Masjid Kristal, Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu.
Nurfarahin terima rumah sebagai hadiah perkahwinan
KUALA TERENGGANU: Pengacara TV3, Ally Iskandar Mohd Mardzi, 36, selamat diijabkabulkan dengan pasangannya, Nurfarahin Romli, 23, dengan dua kali lafaz pada majlis akad nikah di Masjid Kristal, Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, di sini, jam 10.03 pagi semalam.
Ally Iskandar yang segak mengenakan persalinan baju Melayu putih dinikahkan jurunikah Kampung Atas Tol, Mohd Abu Bakar, dengan mas kahwin RM250, berwalikan bapa mentuanya, Romli Ismail, 60.
Nurfarahin yang lebih dikenali sebagai Farah Lee di kalangan rakan, mengenakan gaun rona sama tidak menerima wang hantaran, sebaliknya dihadiahkan sebuah rumah yang dibeli Ally Iskandar di Damansara, Kuala Lumpur.
Pihak lelaki menerima sembilan dulang hantaran daripada pihak perempuan, manakala pengantin perempuan menerima balasan tujuh dulang hantaran.
Majlis akad nikah dihadiri lebih 500 jemputan daripada pihak lelaki dan perempuan. Wakil keluarga pengantin perempuan mengenakan pakaian sedondon warna kelabu, manakala persalinan hijau bagi keluarga pengantin lelaki.
Majlis akad nikah dan gubahan hantaran diuruskan oleh perancang perkahwinan, Joosaidy Johari manakala hantaran kedua-dua belah pihak digubah mengikut elemen tradisional dan elegan, termasuk penggunaan tembaga dan rotan, yang menjadi pilihan pengantin lelaki.
Ally Iskandar berkata, dia bersyukur kerana majlisnya berjalan lancar dan berdoa supaya perkahwinan dengan Nurfarahin, yang masih menuntut dan 13 tahun lebih muda berkekalan hingga ke akhir hayat.
“Saya bersyukur dipertemukan dengan Nurfarahin dan saya akan memikul tanggungjawab sebagai suami dengan sebaik mungkin. Saya terpikat dengan wajah ayu isteri dan ketegasannya yang tidak mudah goyah dengan sebarang keputusan dibuatnya. Insya-Allah, saya akan menjaganya dengan penuh tanggungjawab dan kasih sayang,” katanya yang akan mengadakan majlis resepsi pada 5 Februari ini di Kelab Golf Tok Jembal, di sini.
Nurfarahin yang masih menuntut di tahun akhir jurusan Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Incheon, Korea Selatan, berkata dia bersyukur Allah mengabulkan doanya untuk bertemu jodoh dengan lelaki yang baik.
“Saya bersyukur dikurniakan suami yang menyayangi saya dan keluarga, terutama kedua ibu bapa dan boleh membimbing saya,” katanya.
Perkhemahan Sunnah dan Konvokesyen sunnah?
2 days ago
0 comments:
Post a Comment