WARNA biru, merah jambu dan putih menyerikan sesi percutian Safi Kliq 2 yang diadakan di pusat peranginan Port Dickson, Negeri Sembilan, pada minggu lalu.
Suasana riuh-rendah memecah keheningan persisiran pantai Batu 3, Port Dickson dengan gelak tawa 15 gadis yang berperwatakan ceria dan sporting.
Kegembiraan jelas terpancar pada wajah masing-masing kerana berpeluang menikmati percutian hujung minggu bersama teman karib serta diserikan dengan kehadiran duta Safi Balqis dan penyanyi muda popular, Shila Amzah selama dua hari satu malam. Mereka ini merupakan pemenang bertuah peraduan Safi Kliq 2 anjuran jenama Safi Balqis.
Jelas Pengurus Kumpulan Produk Safi, Mahsuri Sulaiman, tujuan peraduan Safi Kliq dianjurkan buat kali kedua sebagai tanda penghargaan kepada para pengguna yang menggunakan produk Safi Balqis dalam penjagaan wajah harian.
Menyentuh mengenai konsep peraduan, Mahsuri memberitahu mereka masih mengekalkan tema persahabatan seperti musim pertama.
Peserta hanya perlu menghantar kepingan gambar kumpulan yang menonjolkan elemen kasih sayang dalam hubungan persahabatan di samping mempamerkan produk Safi Balqis mengikut kreativiti masing-masing.
“Pada tahun ini, kreativiti foto peserta begitu mengagumkan. Mereka bukan saja menyarungkan pakaian mengikut tema Safi Balqis seperti biru lembut, merah jambu dan putih malah bijak memilih tema fotografi yang unik. Tahun ini kami menerima hampir 150 penyertaan dari seluruh Malaysia.
“Dalam menyuntik kelainan meraikan para pemenang, kami menawarkan pakej percutian dua hari satu malam bersama duta Safi Balqis, Shila Amzah di pusat peranginan Port Dickson, Negeri Sembilan. Kami menyifatkan pengalaman bercuti ini memberi peluang para peserta mengenali antara satu sama lain selain beramah mesra bersama Shila,” ujar Mahsuri ketika ditemui Kosmo!.
Menariknya, pemenang bertuah tersebut bukan saja mendapat pengalaman percutian yang indah malah turut menimba ilmu kecantikan di dalam kelas penjagaan wajah menggunakan rangkaian produk Safi Balqis Perfect 10.
Sementara itu, penyanyi dan duta Safi Balqis, Shila Amzah, menyifatkan sesi percutian bersama pemenang peraduan Safi Kliq 2 antara aktiviti yang dinantikan. Pada saat itu, dia dapat melupakan seketika kesibukan di atas pentas.
“Bunyi ombak menghempas pantai dan suasana yang nyaman membuatkan fikiran saya tenang dan membantu mengurangkan tekanan kerja. Di sini, saya menghiburkan diri dengan bermain sukaneka, menyaksikan peserta membuat persembahan dan berkongsi cerita bermesra bersama mereka,” tutur Shila yang bergelar duta Safi Balqis untuk tahun yang ketiga.
Dalam pada itu, wakil kumpulan Kliq N + N = M, Nabilah Ismail, 23, melahirkan rasa gembira dan bersyukur apabila grup mereka diumumkan sebagai pemenang utama. Mereka tidak menyangka percubaan pertama kali menyertai peraduan seumpama itu membuahkan hasil yang cukup lumayan.
“Sukar digambarkan dengan kata-kata betapa gembiranya apabila koleksi foto kami berjaya menambat hati kumpulan juri Safi Kliq 2. Kami bertiga hanya membelanjakan RM150 untuk membeli pakaian, menyewa prop dan perkhidmatan sesi fotografi di sebuah studio yang berpangkalan di Cheras, Kuala Lumpur.
“Kami memilih konsep fotografi yang menggabungkan tiga gaya fesyen berbeza iaitu kasual, feminin dan pop. Selain diserikan dengan penggunaan prop seperti payung, belon dan gitar, kami turut bergambar bersama rangkaian produk Safi Balqis. Ia merupakan syarat wajib bagi peraduan Safi Kliq 2,” jelas Nabilah yang berkongsi kegembiraan bersama dua rakan karibnya, Masliana Che Mat, 23 dan Nazatul Nabila Abdullah Rashid, 23.
Dipilih sebagai juara Safi Kliq 2, kumpulan Kliq N + N = M, selain berpeluang menikmati percutian bersama Shila Amzah selama dua hari satu malam di Port Dickson, mereka turut membawa pulang gajet Samsung Galaxy Tab setiap seorang.
Bagi kumpulan Kliq PerfecTeens, Kliq KLiq 3A’s, Kliq R3achsta, Kliq SAE-fi yang memenangi kategori saguhati mereka turut menyertai percutian di Port Dickson dan menerima hadiah Kamera Instax Fuji setiap seorang.
0 comments:
Post a Comment