Showing posts with label spnb. Show all posts
Showing posts with label spnb. Show all posts

Sunday, September 30, 2012

SPNB akan bina 1,850 rumah mampu milik tahun depan

| Sunday, September 30, 2012 | 0 comments



MELAKA: Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan membina 1,850 unit rumah mampu milik di seluruh negara pada tahun depan.

Pengerusinya, Datuk Idris Haron berkata ia hasil peruntukan RM320 juta yang disalurkan kerajaan melalui SPNB dalam pembentangan Belanjawan 2013 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak Jumaat lepas.

"Pengumuman itu menunjukkan perdana menteri mendengar keluhan golongan muda dan kumpulan pertengahan yang ingin memiliki kediaman," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Seminar Kepimpinan Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) di sini, hari ini.
Turut hadir Presiden SBM Mohammed Nazari Othman.

Dalam pembentangan Belanjawan itu, Najib berkata SPNB juga akan membina 21,000 unit rumah Mesra Rakyat untuk tahun 2013 yang berharga RM65,000 dengan subsidi sebanyak RM20,000 serta subsidi kadar faedah ke atas pinjaman sebanyak dua peratus.



Dalam perkembangan lain, Idris yang juga Ahli Parlimen Tangga Batu meminta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melantik Orang Kurang Upaya (OKU) sebagai seorang daripada ahli jawatankuasa teknikal di PBT masing-masing supaya kehendak dan keperluan golongan itu tidak diabaikan.

Beliau berkata, PBT perlu menyediakan infrastruktur yang baik kepada OKU terutama dalam sektor perkhidmatan seperti pengangkutan awam, tempat letak kereta dan tandas awam.

Penguatkuasaan dalam sektor perkhidmatan itu juga perlu lebih tegas agar kemudahan yang disediakan tidak dieksploitasi oleh golongan normal, katanya. - BERNAMA

Readmore..

Friday, February 24, 2012

RM3,000 layak mohon RMR1M

| Friday, February 24, 2012 | 0 comments



ALOR GAJAH: Datuk Seri Najib Razak berkata program Rumah Mesra Rakyat kini dikenali sebagai Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) dan kerajaan bersetuju supaya isi rumah dengan pendapatan maksimum sehingga RM3,000 layak memohon RMR1M berbanding RM1,500 sebelum ini.

Perdana Menteri berkata, beliau juga menetapkan supaya Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) membina 10,000 unit RMR1M tahun ini.

Program perumahan itu, katanya, membolehkan rakyat memiliki rumah berkualiti dan selesa serta kehidupan lebih bahagia.

"Semua Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia akan dibina dengan mengguna pakai teknologi 'Industrialised Building System' (IBS) dengan keluasan binaan lebih besar tanpa membabitkan sebarang tambahan kos kepada pemohon," katanya ketika melancarkan lapan model baru RMR1M di Durian Tunggal sempena lawatan sehari beliau ke Melaka hari ini.

Najib menarik perhatian bahawa program itu kini dikenali sebagai RMR1M bertujuan membudayakan semangat 1Malaysia dalam kalangan penghuninya.

Najib berkata borang permohonan untuk RMR1M boleh dimuat turun di semua pejabat wakil rakyat melalui sistem 'online' bagi memudahkan pemohon memperoleh borang dan mengetahui status permohonan.

Menurut SPNB, sejak diperkenalkan pada 2002, program perumahan itu menyaksikan pembinaan 20,308 unit rumah.

Ketika ditemui pada majlis itu, Pengerusi SPNB, Datuk Idris Haron, berkata penggunaan teknologi IBS mampu menghasilkan rumah yang berdaya tahan, ekonomik dan inovatif.

"Ia mampu mempercepatkan jangka masa pembinaan ke 14 hari berbanding 70 hari mengikut kaedah konvensional," katanya.

Pembinaan RMR1M itu berkonsepkan tiga bilik tidur dan dua bilik air dengan keluasan 1,000 kaki persegi, serta mengikut spesifikasi majlis kerajaan tempatan dan Undang-undang Kecil Bangunan Seragam Malaysia. - BERNAMA



SYARAT-SYARAT KELAYAKAN PROGRAM RMR1M

Warganegara Malaysia.

Pemohon mestilah berumur di antara 18 hingga 65 tahun. (Pemohon umur melebihi 35 tahun perlu menyediakan penama kedua umur kurang daripada 35 tahun)

Berkahwin atau Ibu/bapa tunggal yang mempunyai tanggungan.

Pendapatan kasar seisi rumah tidak melebihi RM3,000 sebulan.

Tidak mempunyai rumah sendiri atau mempunyai rumah yang usang / tidak sempurna.

Mempunyai tanah / tapak yang bersesuaian dan tiada sekatan / cagaran ke atasnya. Jika tanah bukan kepunyaan pemohon, Surat Akuan / Kebenaran Berkanun dari tuan tanah diperlukan untuk membina dan menggadai tanah tersebut kepada BSN.

Pautan:
http://www.1malaysia.com.my/zh/blog/rumah-mesra-rakyat-project/
http://www.spnb.com.my/bm/corporate/product_rmr.htm

Readmore..

Saturday, December 18, 2010

Rumah tanpa deposit

| Saturday, December 18, 2010 | 0 comments



11,000 unit kediaman ditawarkan bermula Januari di seluruh negara

KUALA LUMPUR: Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) menawarkan 11,000 unit rumah berharga antara RM35,000 hingga RM220,000 di seluruh negara kepada pembeli, tanpa mengenakan bayaran wang pendahuluan mulai 1 Januari ini.

Pengerusinya, Datuk Idris Haron, berkata SPNB dengan kerjasama Cagamas Berhad (Cagamas) menawarkan jaminan beli rumah tanpa wang deposit itu hanya kepada pembeli rumah pertama yang berpendapatan RM3,000 sebulan membabitkan pembelian rumah yang dimajukan SPNB.

Katanya, tindakan itu juga untuk menyahut usaha kerajaan dalam memastikan golongan yang ingin membeli rumah tidak perlu menyediakan wang pendahuluan yang selama ini menjadi antara halangan untuk mereka memiliki kediaman sendiri.

“Sebagai pemaju, SPNB akan memberikan jaminan ini kerana melihat kebanyakan pembeli tidak mampu menyediakan wang pendahuluan.

“Kita mempunyai lebih 11,000 unit rumah berharga antara RM35,000 hingga RM220,000 di seluruh negara yang belum dijual. Jadi ini peluang golongan muda memiliki rumah tanpa perlu sediakan pendahuluan 10 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Program Kesedaran Amalan HIFI (Helpful, Informative, Friendly, Immediate) untuk warga SPNB, di sini semalam.

Hadir sama, Pengarah Urusan SPNB, Prof Dr Kamarul Rashdan Salleh.
Pada sidang media sama, Idris turut mengumumkan empat projek baru membabitkan pembinaan 1,200 unit rumah di Selangor, Johor, Kedah dan Sabah mulai tahun depan.

Mengenai masalah 41 pemilik rumah Taman Anggerik Fasa 2, Senawang, Negeri Sembilan yang mendakwa projek berkenaan masih terbengkalai, beliau berkata, projek itu bukan dikendalikan SPNB seperti didakwa pembeli.

“Tahun ini, kita berjaya menjual 3,000 unit berjumlah RM400 juta dan tahun depan SPNB menyasarkan jualan sebanyak 6,300 rumah.

“SPNB yakin jualan tahun depan akan meningkat dengan kerjasama Cagamas. Kita juga menawarkan pakej jualan menarik, termasuk diskaun 10 hingga 30 peratus, bergantung kepada lokasi kawasan perumahan, termasuk khidmat guaman percuma,” kata Dr Kamarul.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-Sepuluh (RMKe-10), kerajaan menyasarkan pembinaan 161,000 unit rumah mampu milik, iaitu 78,000 unit dibina kerajaan dan 83,000 unit oleh swasta.

Pembeli baru berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan untuk memiliki rumah, kerajaan memperkenalkan Skim Rumah Pertamaku yang akan dilaksanakan Cagamas Berhad, syarikat perbadanan gadai janji dan pensekuritian terkemuka negara.

Ini akan menawarkan jaminan kerajaan ke atas bayaran pendahuluan 10 peratus bagi harga rumah di bawah RM220,000 dan membolehkan pembeli rumah mendapat pinjaman 100 peratus tanpa perlu mengeluarkan 10 peratus wang pendahuluan seperti amalan lazim.

Pembeli rumah pertama juga akan diberikan pengecualian duti setem 50 peratus ke atas surat cara pindah milik dan surat cara perjanjian pinjaman bagi rumah berharga tidak melebihi RM350,000.

Readmore..
Related Posts with Thumbnails

THERE ARE MORE HERE

 

Malay Mail Online

The Star Online: Most Viewed: Nation

NST Online: Topnews

The New York Times

The Washington Post

Gossip Cop

Harakahdaily

Malaysiakini

Harian Metro: BeritaUtama

Berita Harian: Mutakhir

Kosmo Online

CNN.com

Followers

Please leave your blog link

© Copyright 2010. insanidaily.com . All rights reserved | insanidaily.com is proudly powered by Blogger.com | Template by insanidaily.com - insanidaily.com