Monday, December 20, 2010

5 polis derita santau

| Monday, December 20, 2010 | 0 comments



KUALA LUMPUR: Risiko sebagai anggota polis bukan sekadar ancaman maut melalui senjata moden, tetapi turut diserang melalui cara mistik oleh penjenayah yang menyimpan dendam kesumat apabila kegiatan mereka ditumpaskan.

Itu terpaksa ditempuhi seorang anggota polis hanya mahu dikenali sebagai Hafis dan empat rakan sekerjanya yang kini menderita sakit perut dipercayai akibat ditujukan ‘santau katak puru’ dan ‘santau angin’ oleh seorang dalang sindiket mencuri motosikal.

Menurut Hafis, 23, akibat perbuatan itu seorang daripada rakannya paling teruk menderita apabila ditujukan santau katak puru hingga menyebabkan perutnya membesar seperti wanita mengandung dan keras seolah-olah diisi pasir dan batu.

“Saya dan tiga rakan lain mengalami nasib sama, namun cara santau yang digunakan berbeza. Kata bomoh, kami berempat ditujukan santau angin yang menyebabkan kami sakit perut.

“Orang yang menghantar santau itu menggunakan objek seperti paku, jarum, rambut dan tulang babi hutan sebagai ramuan racun yang dimasukkan ke dalam makanan kami.

“Kami dinasihatkan supaya tidak makan di restoran kegemaran kerana racun santau itu ditujukan terus ke situ. Bukan sekadar melalui makanan, malah racun santau juga akan ‘melekat’ pada badan kami setiap kali kami datang ke restoran berkenaan,” katanya.

Hafis berkata, mereka berlima menggunakan khidmat pengamal perubatan tradisional selepas doktor gagal mengesan punca mereka sakit perut dan kerap demam.

Menurutnya, kejadian itu mula mereka sedari awal bulan lalu apabila seorang rakan terbabit memberitahu dia menerima SMS amaran berbunyi ‘siaplah korang, salah satu jarum akan kena pada kau dan kawan-kawan kau yang lain...tunggu je lah hari mati korang’.

“SMS itu dihantar seorang daripada suspek sindiket mencuri motosikal yang saya dan rakan-rakan tumpaskan Mei lalu dan dia kini masih dalam proses pengadilan.

“Namun, saya tak ambil berat sangat mengenai SMS itu kerana hal ugut-mengugut dan amaran sudah lumrah dalam kerjaya kami,” katanya.

Bagaimanapun, kata Hafis, telahannya meleset apabila selang seminggu kemudian, dia menerima khabar seorang rakannya yang terbabit dalam usaha melumpuhkan sindiket mencuri motosikal itu sakit teruk akibat penyakit misteri.

“Bomoh mengatakan penyakit itu ada kaitan dengan seekor katak puru yang diletakkan dalam kawasan rumahnya dan haiwan itu digunakan sebagai ‘alat’ untuk memastikan ilmu hitam yang ditujukan kepada mangsa lebih berkesan.

“Lebih menakutkan, bomoh berkenaan memberitahu jika katak itu tidak ditemui, kawan saya itu sukar dipulihkan dan akan menemui ajal perlahan-lahan,” katanya.

Hafis berkata, bimbang keadaan rakannya itu, mereka mencari katak dimaksudkan sepanjang malam sehingga ia ditemui di bawah tangga rumah dalam keadaan nyawa-nyawa ikan.

Dia mendakwa, mereka bernasib baik kerana katak puru itu ditemui awal kerana keadaannya yang tinggal nyawa-nyawa ikan menandakan rakannya mungkin menemui ajal pada bila-bila masa.

Sebelum itu, Hafis berkata, anak rakannya pernah bercerita mengenai beberapa kejadian pelik berlaku di rumahnya seperti mendengar seseorang mengorek tanah dan menanam sesuatu di luar rumah.

“Selepas rakan pertama itu menderita sakit perut, saya dan tiga rakan lain pula mengalami masalah sama. Kami pergi ke hospital, tapi doktor tidak dapat mengesan punca penyakit kami.

“Kami terpaksa merujuk pengamal perubatan alternatif dan kami dimaklumkan perut kami sakit disebabkan perbuatan khianat,” katanya. Hafis berkata, walaupun lebih sebulan kejadian itu berlaku, dia dan rakan-rakan belum sembuh sepenuhnya kerana bisa akibat cucukan daripada barangan kotor yang dihantar itu belum dikeluarkan sepenuhnya.

0 comments:

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

THERE ARE MORE HERE

 

Malay Mail Online

The Star Online: Most Viewed: Nation

NST Online: Topnews

The New York Times

The Washington Post

Gossip Cop

Harakahdaily

Malaysiakini

Harian Metro: BeritaUtama

Berita Harian: Mutakhir

Kosmo Online

CNN.com

Followers

Please leave your blog link

© Copyright 2010. insanidaily.com . All rights reserved | insanidaily.com is proudly powered by Blogger.com | Template by insanidaily.com - insanidaily.com