JAKARTA: Pelbagai perselisihan faham di antara Jakarta dan Kuala Lumpur baru-baru ini meningkatkan lagi persepsi negatif Indonesia terhadap warga Malaysia.
Menurut Lingkaran Survei Indonesia (LSI) - sebuah agensi kaji selidik tempatan, 67.5 peratus daripada 1,000 responden dalam kajian mereka menganggap hubungan kedua-dua negara memang buruk ketika ini.
Penyelidik LSI, Ardian Sopa, berkata tanggapan itu boleh mempengaruhi tingkah-laku penonton ketika perlawanan akhir Piala Suzuki di antara Malaysia dan Indonesia, esok.
“Saya sangat berharap penyokong Indonesia mampu mengawal diri bagi memastikan perlawanan itu berlangsung dengan aman,” katanya.
Kaji selidik diadakan di antara September dan Oktober lalu itu menunjukkan, 59.2 peratus responden kurang berminat terhadap Malaysia.
Pusingan pertama perlawanan akhir itu dilangsungkan di Kuala Lumpur esok sebelum kedua-dua pasukan bertemu sekali lagi di Jakarta pada Rabu depan.
Hubungan Kuala Lumpur - Jakarta agak tegang sebelum ini selepas beberapa perselisihan faham berlaku membabitkan pelbagai isu.
Antaranya, penderaan ke atas pembantu rumah warga Indonesia.
Ketegangan itu berlanjutan sehingga mencetuskan ‘perang Internet’ apabila Kuala Lumpur mendakwa memiliki hak ke atas beberapa pulau dianggap di dalam wilayah Indonesia.
Ketegangan semakin panas apabila pihak berkuasa Malaysia menahan beberapa kakitangan penguatkuasaan maritim Indonesia.
Ardian berkata, perlawanan esok mungkin memberi kesan terhadap hubungan kedua-dua negara. - Agensi
Istighasah, boleh ke tak?
1 week ago
0 comments:
Post a Comment