Wednesday, December 22, 2010

Kerja sampai mati

| Wednesday, December 22, 2010 | 0 comments

PADA usia yang semakin senja, hanya pada anak tempat bergantung hidup serta bermanja.

Tetapi ternyata ia indah khabar daripada rupa bagi seorang ibu tunggal yang juga warga emas kerana dia masih lagi perlu bekerja untuk menampung keperluan hariannya serta anak.

Bagi Salmah Ahmad, 66, tiada istilah berehat dalam kamus hidupnya kerana dia masih perlu memerah tenaga untuk mencari sesuap nasi.

Sungguhpun memperoleh wang tambahan melalui duit pencen arwah suaminya, ia tetap tidak mencukupi terutama dengan harga barangan keperluan harian yang makin meningkat.

"Saya masih perlu mendapatkan pendapatan sampingan lain kerana jika hanya mengharapkan duit pencen, ia sekadar cukup makan.

"Bagi saya tiada beza bekerja dulu dan kini kerana ia perlu dilakukan, tapi dengan keadaan yang tidak sihat dan uzur, mungkin tidak banyak yang dapat dilakukan," katanya.

Dia yang turut mengalami masalah pendengaran menjalankan perniagaan menjual aiskrim Malaysia buatan sendiri dengan pelbagai perisa secara kecil-kecilan.

Jualannya itu diletakkan di kedai runcit berhampiran rumahnya dan lazimnya dibeli anak-anak penduduk setempat.

Walaupun ada beranggapan hasil pendapatan daripada perniagaan itu tidak seberapa, ia cukup memberi kepuasan baginya.

"Sekurang-kurangnya saya dapat mengusahakan sesuatu bagi memenuhi masa lapang apatah lagi dengan keadaan kesihatan kini.

"Selagi terdaya saya ingin meneruskan usaha ini kerana sekurang-kurangnya ia boleh meringankan beban," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Seri Intan, Kajang, baru-baru ini.

Tetapi kecederaan yang dialami setahun lalu akibat terjatuh hingga menyebabkan tangannya patah benar-benar memberikan kesan kepada pergerakan fizikal Salmah.

Kini, dia terpaksa menggunakan tongkat sekiranya ingin bergerak serta tidak mampu berdiri dan berjalan jauh untuk jangka masa lama.

Jika sebelum ini Salmah boleh menghantar barangan jualannya sendiri, tetapi kini untuk ke kedai runcit yang jauhnya kurang 100 meter dari rumahnya pun sudah tidak mampu.

"Bagi saya jarak kedai dan rumah amat jauh dan ia sedikit sebanyak membebankan saya. Tetapi jika terpaksa, saya tetap gagahkan diri untuk berjalan ke kedai bagi mendapatkan bekalan barangan keperluan harian.

"Setiap pekerjaan di rumah saya kendalikan sendiri tanpa bantuan sesiapa dan jika tidak sihat sekalipun saya tetap cuba melakukannya," katanya.

Bagaimanapun, dia yang sudah 13 tahun bergelar ibu tunggal tidak pernah sesekali mengeluh sebaliknya menghadapi semua kepayahan itu dengan penuh kesabaran.

Sementara itu, menurut jirannya, Samsiah Ahmad, 56, hanya beberapa tahun kebelakangan ini saja Salmah menunjukkan tanda tidak sihat dan uzur. Sebelum ini dia amat aktif berpersatuan dan mengikuti pelbagai kegiatan dianjurkan persatuan penduduk setempat.

Selain itu, dia terkenal di kawasan sekitar kerana boleh mengendalikan kerja kahwin dan menyediakan hidangan lazat untuk sesuatu majlis.

"Namun sejak akhir-akhir ini, kesihatannya agak terjejas. Sebagai jiran terdekat, kami cuba membantu setakat termampu dan memberikan sokongan kepadanya untuk meneruskan kehidupan," katanya.

0 comments:

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

THERE ARE MORE HERE

 

Malay Mail Online

The Star Online: Most Viewed: Nation

NST Online: Topnews

The New York Times

The Washington Post

Gossip Cop

Harakahdaily

Malaysiakini

Harian Metro: BeritaUtama

Berita Harian: Mutakhir

Kosmo Online

CNN.com

Followers

Please leave your blog link

© Copyright 2010. insanidaily.com . All rights reserved | insanidaily.com is proudly powered by Blogger.com | Template by insanidaily.com - insanidaily.com