Sunday, December 19, 2010

Malaysia rancang dirikan 2 loji kuasa nuklear 1,000MW

| Sunday, December 19, 2010 | 0 comments

KUALA LUMPUR: Malaysia merancang untuk membina dua loji kuasa nuklear yang masing-masing akan menjana 1,000 megawat (MW) sebagai sebahagian daripada rancangan jangka panjang untuk mengimbangi bekalan tenaga.

Loji pertama akan siap dan mula beroperasi pada 2021 manakala loji kedua, setahun kemudian.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin, berkata kerajaan akan mengambil perunding antarabangsa untuk menilai lokasi dan keperluan membina loji berkenaan.

Sementara itu, lebih banyak program kesedaran dan pendidikan akan dijalankan bagi memaklumkan kepada rakyat tentang keperluan sedemikian.

"Diharapkan, menjelang 2013 atau 2014, kami akan dapat menyiapkan penilaian ini. Tentang penawaran tender, kami berharap ia dapat dilakukan menjelang 2016," katanya kepada Bernama dalam satu wawancara.

Beliau berkata Malaysia amat bergantung kepada gas dan arang batu bagi bekalan elektriknya kerana memang menjadi dasar kerajaan untuk mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil.

Gas menyumbang 64 peratus kepada penjanaan tenaga negara manakala selebihnya disumbangkan oleh arang batu.

"Kita mesti elakkan ini. Ini amat tidak seimbang. Kita mahu hidro memainkan peranan utama kerana ia bersih tetapi ini hanya boleh dicapai di Sabah dan Sarawak yang ada banyak potensi, tetapi tidak di Semenanjung Malaysia," katanya.

Selain itu, Chin berkata, sumber tenaga lain seperti biojisim dan angin terlalu sedikit, manakala tenaga suria merupakan potensi yang baik tetapi teknologinya masih terlalu mahal.

"Biojisim dan angin, terlalu sedikit. Melainkan dan hingga tenaga suria boleh diperbaharui menjadi cukup besar, tenaga begitu hanya menambah (kepada apa yang kita sedia ada) kerana kita tidak boleh menjana banyak tenaga (suria)disebabkan oleh kosnya yang tinggi," katanya.

Chin juga berkata kerajaan perlu ada pendekatan seimbang terhadap tenaga boleh diperbaharui kerana ia tidak mahu tarif meningkat disebabkan oleh kos yang tinggi.

"Memanglah, semua orang mahukan tenaga boleh diperbaharui, tetapi kosnya? Bolehkah kita paksa orang menerima kenaikan tarif? Kita perlu kaji cara yang seimbang, itulah sebabnya kita tidak boleh bergantung kepada bahan api fosil semata-mata," katanya.

Katanya, nuklear menjadi pilihan yang semakin penting dalam mengimbangi sumber tenaga disebabkan kos penyenggaraannya dan tarifnya yang lebih rendah dalam jangka panjang.

"Contohnya, di Abu Dhabi, mereka sedang membina loji tenaga suria yang besar-besar tetapi pada masa yang sama mengimbanginya dengan loji nuklear. Mereka tidak hanya memberi tumpuan kepada bahan api fosil," katanya.

Malaysia memulakan operasi reaktor penyelidikan Triga 1 MW sejak 1982 dan mempunyai perjanjian perlindungan nuklear antarabangsa sejak 1972.

Baru-baru ini, Malaysia juga memperketat undang-undang kawalan eksport untuk mencegah kemungkinan berlaku penyeludupan teknologi nuklear. - BERNAMA

0 comments:

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

THERE ARE MORE HERE

 

Malay Mail Online

The Star Online: Most Viewed: Nation

NST Online: Topnews

The New York Times

The Washington Post

Gossip Cop

Harakahdaily

Malaysiakini

Harian Metro: BeritaUtama

Berita Harian: Mutakhir

Kosmo Online

CNN.com

Followers

Please leave your blog link

© Copyright 2010. insanidaily.com . All rights reserved | insanidaily.com is proudly powered by Blogger.com | Template by insanidaily.com - insanidaily.com