KUALA LUMPUR, 29 Dis. - Langkah kerajaan megenakan peraturan kepada hospital swasta agar memaklumkan sebut harga secara terperinci sebelum pesakit diberi rawatan mendapat reaksi positif daripada beberapa persatuan pengguna di negara ini.
Rata-rata bersetuju dengan keputusan itu selain mengharapkan langkah tersebut benar-benar dapat memberi kesan positif kepada rakyat.
Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Datuk N. Marimuthu berkata, langkah itu baik dan perlu dipraktikkan, terutamanya dengan persepsi masyarakat bahawa mereka mampu menanggung kos rawatan di hospital swasta.
"Ia langkah baik sebab kadang-kadang orang pergi ke hospital swasta fikir (kena bayar) sekitar RM10,000-RM15,000 tapi akhirnya jadi lebih tinggi. Jadi ini banyak beri masalah,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Mohd Ismail Merican mengumumkan peraturan baru itu bagi membolehkan pesakit membuat pilihan mendapatkan rawatan di mana-mana kemudahan dan perkhidmatan jagaan kesihatan asalkan mereka mempunyai maklumat yang mencukupi mengenai caj yang akan dikenakan.
Keputusan itu dibuat selepas pihaknya mengadakan mesyuarat dengan beberapa persatuan perubatan dan syarikat insurans untuk mencari jalan mengekang kos perubatan melampau di hospital swasta, yang mengakibatkan ramai gagal membayar balik pinjaman bank mahupun kad kredit yang diguna mereka untuk menampung kos rawatan. - Bernama
Istighasah, boleh ke tak?
3 weeks ago
0 comments:
Post a Comment