PENDEKATAN mudah.my (Mudah) sememangnya seiring dengan nama laman web itu sendiri. Justeru, apabila melayari laman web berkenaan, tidak timbul masalah reka bentuk laman atau grafik yang mengelirukan pengguna sehingga menjejaskan misi perdagangan yang ingin dijalankan.
Mudah memberi peluang kepada semua orang membeli dan menjual produk mereka dengan kaedah yang paling mudah dan yang lebih penting secara percuma.
Ia menghubungkan pembeli dan penjual di Malaysia sekali gus memberikan pengalaman perdagangan yang efisien.
Pengurus Besar Mudah, Shylendra Nathan memberitahu, prinsip berkenaan membuatkan pembeli dan penjual mencapai hasrat mereka dengan pantas, sekali gus memberi kejayaan kepada Mudah untuk menjengah pasaran dengan pantas.
“Dengan menggunakan prinsip ini, Mudah dengan cepat memintas laman-laman web serupa di pasaran dalam talian sehingga mencapai kedudukan ketiga dalam negara selepas Facebook dan Google.
“Duduk di tempat pertama bagi kategori laman web perdagangan bermakna Mudah telah jauh meninggalkan para pesaingnya dan telah berada pada satu tahap yang kukuh,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sebelum Mudah dilancarkan katanya, pemilihan nama Mudah.my adalah bagi menepati pasaran tempatan dengan memilih nama yang dekat dengan pengguna Malaysia. Selain itu, aspek yang diberi perhatian adalah sama ada ia mencipta peluang perniagaan yang efektif.
Empat juta pengunjung sebulan
SHYLENDRA berbangga mudah.my yang asalnya beroperasi sebagai sebuah laman web kecil kini menjadi laman web ketiga paling ramai dikunjungi pelayar Internet di Malaysia.
“Nama Mudah pendek dan mudah diingati. Ia juga secara tidak langsung menyampaikan filosofi syarikat ini yang ingin menjalankan perdagangan dan menghubungkan pengguna Malaysia dengan cara yang paling mudah.
“Dengan jumlah pengunjung laman web yang kecil pada mulanya, kini Mudah mempunyai kira-kira empat setengah juta pengunjung unik setiap bulan dan menghubungkan kira-kira sejuta penjual yang terdiri daripada peniaga individu dan perniagaan kecil dan sederhana (SME),” katanya.
Beliau bagaimanapun tidak menolak bahawa, trend perdagangan dalam talian yang berkembang sejak beberapa tahun ini menyumbang kepada kepesatan Mudah sebagai peneraju perdagangan dalam talian.
“Walaupun perdagangan turut dijalankan di Facebook dan blog, peniaga dalam talian kini dilihat menggunakan semua medium yang ada untuk memajukan perniagaan mereka, termasuk melalui Mudah.
“Mudah lebih efektif kerana ia menumpukan sepenuhnya kepada tujuan perdagangan dan pengiklanan melalui kategori-kategori yang disusun bagi memudahkan pencarian pelanggan berpotensi,” katanya.
Nathan memberitahu, Mudah ialah anak syarikat Mudah.my Sdn. Bhd. yang menjalin usaha sama dengan Singapore Press Holdings Limited (SPH) dan Schibsted ASA.
“SPH yang terletak di Singapura merupakan organisasi media peneraju yang mengeluarkan sebanyak 17 jenis akhbar dalam empat bahasa, lebih 100 tajuk majalah dan sejumlah laman web.
“Schibsted ASA pula merupakan syarikat pengiklanan terbesar di Eropah yang mempunyai pasaran di Belgium, Perancis, Sepanyol, Sweden, Asia dan Amerika Latin,” katanya.
KELUARGA besar mudah.my yang menjadi tulang belakang dalam memastikan laman web itu dapat beroperasi dengan lancar sebagai pangkalan perdagangan dalam talian.
Tambah beliau, operasi di Malaysia dikawal oleh 701Search Pte. Ltd. (701Search), syarikat berpangkalan di Singapura yang turut menjalin usaha sama dengan SPH and Schibsted. Selain Mudah, laman web Asia termasuk Berniaga.com di Indonesia, AyosDito.ph (Filipina) dan Dinkos.com.au (Australia).
Kepelbagaian produk
Dimulakan tanpa meletakkan kategori khusus, kini pelanggan boleh memilih kategori antaranya elektronik, hartanah, pekerjaan, barangan peribadi, kenderaan, hobi, sukan dan perkhidmatan yang turut dikecilkan mengikut kategori negeri-negeri.
“Bagi setiap kategori itu sendiri, pelanggan yang ingin mendapatkan barangan sama ada barangan baru atau terpakai dapat membuat pilihan mengikut bajet mereka dan dapat berurusan terus dengan penjual tanpa campur tangan pihak Mudah.
“Kami hanya menyediakan medium dan tidak terbabit dengan sebarang proses transaksi. Justeru, proses perdagangan menjadi lebih mudah,” katanya.
Selain itu jelasnya, kategori pekerjaan yang merupakan antara kategori yang baru merangkumi aspek yang lebih luas. Ia tidak menumpu kepada pekerjaan kolar putih semata-mata.
“Di Mudah, pekerjaan kategori kolar biru seperti guru tuisyen, tutor dan pekerja am juga boleh didapati. Ia merangkumi aspek yang lebih luas,” katanya.
Menurut Shylendra lagi, pengguna Malaysia kini tidak perlu membuang barangan lama mereka kerana ada pelanggan yang mahukannya pada harga yang berpatutan.
“Jika dahulu barangan lama terus dibuang atau disimpan di dalam stor, kini ia boleh dijual di Mudah pada harga yang lebih murah. Pasti ada pengguna yang mahukannya terutama mereka yang tidak mampu membeli barangan baru yang mahal.
ITEM elektronik seperti kamera, laptop dan telefon bimbit antara yang paling ramai pengunjung.
“Barangan terpakai yang paling mendapat sambutan antaranya ialah kenderaan dan barangan elektronik. Kedua-dua item ini mengumpul jumlah pelawat unik masing-masing sebanyak kira-kira dua juta dan sejuta orang Januari lalu,” katanya.
Bagaimanapun katanya, setiap proses jualan dipantau oleh Mudah bagi mengelakkan aktiviti yang tidak dibenarkan. Setiap pengiklanan yang dijalankan turut melalui proses sama.
“Kami mahu mendidik pengguna Mudah supaya menjalankan pengiklanan yang efektif serta dapat mencapai sasarannya. Sebagai contoh, pengiklanan hartanah yang tidak mempunyai gambar, tiada alamat dan maklumat lengkap tidak akan diluluskan.
“Secara tidak langsung, pengguna akan dapat mempelajari kaedah pengiklanan yang berkesan yang dapat menyumbang kepada proses perdagangan yang efisien,” katanya.
Sementara itu, mengulas perancangan masa hadapan, Nathan memberitahu Mudah bakal memperkembangkan kategori item yang membabitkan pelancongan yang kini mendapat sambutan tinggi bagi pasaran pelancongan negara.
Cuti Hari Jumaat atau Sabtu?
3 weeks ago
0 comments:
Post a Comment