Kegemilangan mereka datang daripada program realiti yang sama. Namun perjalanan kedua-duanya kini seakan jauh berbeza. Fenomena Tsumawi walau semakin malap gara-gara kisah kontroversi yang menimpa namun sehingga kini Mawi sudah lima tahun bertahan. Kurang sekali ManggaOnline (MO) dengar pihak media mengeluh atau mengadu Mawi menimbulkan masalah disiplin. Walau lewat sekalipun, wajahnya pasti akan muncul.
Namun keadaan itu jauh berbeza dengan juara Akademi Fantasia Musim Ke Lapan (AF8), Ahmad Shahir Zawawi, 22. Bertimpa-timpa masalah yang menimpa dirinya. Jika dulu Shahir dikatakan lupa diri dan mahu cepat popular lantas memilih jalan mudah menyertai AF8. Shahir juga lantang perjuangkan irama nasyid suatu ketika dulu namun tidak lagi sekarang. Memilih muzik moden yang menyemarakkan lagi popularitinya.
Dan sekarang timbul pula masalah disiplin membabitkan karier anak kelahiran Perak ini. Sering kali gagal menunaikan janji sehingga mengganggu tugasan pihak lain.
Mawi ketika diajukan soalan berkait masalah yang ditimbulkan juara AF8 ini, hanya mampu tersenyum. Ringkas ulasannya, jangan bahayakan karier sendiri.
"Saya pun lahir daripada program realiti dan kita dipilih peminat untuk menyumbangkan bakat kepada industri. Kalau boleh, berilah kerjasama yang baik. Jangan sesekali beri orang lain masalah atas tindakan kita. Janganlah susahkan orang, kalau lambat tak apa tapi jangan terus tak datang.
"Kalau betul Shahir ada masalah, terus terang dengan sesiapa yang berkaitan. Jika dia berterusan begini, bahaya untuk karier. Jika selalu batalkan janji saat-saat akhir memang dikira masalah disiplin.
"Sepanjang dalam industri, belum pernah lagi saya langgar janji yang sepatutnya. Sebab orang sentiasa perhatikan tindak tanduk kita dan ambil peluang untuk jatuhkan karier.
"Saya mengenali Shahir seorang budak yang baik dan kalau boleh terima kritikan yang diberikan kepadanya kerana ia boleh menentukan jatuh bangun dalam industri.
"Saya juga pernah dikritik hebat peminat dan media dan sehingga kini saya masih simpan keratan akhbar yang membabitkan karier dan hidup saya. Bila kenang kembali saat itu, memang rasa kelakar pun ada. Namun syukur diberi kekuatan melaluinya dengan tenang," ujar Mawi ketika ditemui pada majlis pelancaran album terbarunya, Mawi - Idolaku di Pavilion.
Cuti Hari Jumaat atau Sabtu?
4 weeks ago
0 comments:
Post a Comment