
MENYUSU badan kini sudah kembali sebagai trend malah, ramai ibu muda pada masa kini tanpa mengeluh tetap akan mencari sudut privasi bagi menyusukan anak walaupun di pusat beli-belah, kedai makan mahupun dalam majlis keramaian.
Jika tidak diberi menyusu terus dari payu dara, lambakan jenama dan jenis pam susu badan manual mahupun elektrik menjadikan wanita yang berkerjaya juga mampu memberikan susu badan secara eksklusif kepada bayi mereka.
Menyusukan anak secara eksklusif bermakna bayi disusukan dengan susu ibu sahaja tanpa diberi air masak, susu formula atau makanan tambahan lain selama enam bulan dan meneruskannya sehingga dua tahun.
Justeru itu, pemilihan pam susu yang bersesuaian perlu dititikberatkan untuk mengelakkan proses mengeluaran susu tidak terganggu akibat kejutan terutama dari segi sedutan.
Menurut Kaunselor Laktasi dan Pengarah Urusan Sarakids, Nor Farah Farhan Abdul Fattah, pemilihan pam yang bergred hospital amat penting kerana ia lebih selesa digunakan, mengikut sedutan seperti mulut bayi selain tidak menyakitkan.
Menceritakan lebih lanjut, wanita yang mesra disapa Farah, 30, mencadangkan supaya ibu-ibu yang bekerja membuat kaji selidik menerusi Internet, rakan-rakan yang berpengalaman ataupun berjumpa dengan pakar laktasi sebelum membeli gajet tersebut.
Katanya, sekiranya tersilap memilih kerana mahu yang murah, mungkin pam tersebut tidak bergred hospital sekali gus membantutkan proses pemerahan susu apabila payu dara ibu berasa sakit dan tidak selesa.
“Pemilihan pam yang betul sangatlah penting kerana ciri-ciri pam yang sepatutnya dipilih adalah sedutan yang menyerupai hisapan mulut bayi,” jelasnya.
Tambahnya, bagi ibu yang bekerja, lebih mudah sekiranya mereka memilih pam berganda (double-pumping) kerana ia amat menjimatkan masa, iaitu mereka boleh memerah susu pada kedua-dua belah payu dara secara serentak untuk tempoh 20 hingga 30 minit.
Kelengkapan pam
Selain pemilihan pam susu, ibu juga sudah boleh mula mencari produk penyusuan susu ibu di pasaran seperti beg penyejuk, gel ais dan beg yang bersesuaian untuk memudahkan ibu semasa hendak mula bekerja nanti.
Kata Farah, susu ibu boleh disimpan dalam peti sejuk dua pintu (pintu atas) selama tiga bulan, peti sejuk satu pintu selama dua minggu dan peti sejuk beku selama enam bulan.
Bagi wanita yang bekerja, memang diakui, pada mulanya pasti ramai yang agak malu untuk melakukan proses mengepam di tempat kerja yang sudah tentu menarik mata nakal rakan lelaki yang memandang.
“Sebenarnya mudah sahaja untuk mengepam di pejabat, yang paling penting pemilihan baju serta pakaian dalam yang mudah untuk diselak untuk mencekup corong pam susu dengan mudah.
“Selain itu, pemilihan pam elektrik yang kurang mengeluarkan bunyi, malah boleh juga ditempatkan motor pam itu di dalam beg khas untuk mengurangkan gegaran dan juga bunyi pam,” katanya yang turut mereka pam elektrik jenama sendiri, Modu hasil kerjasama dengan Insan iaitu sebuah syarikat di Korea.
Kelebihan susu badan
Bagi ibu yang meninggalkan anak di rumah pengasuh, oleh kerana kebanyakan pengasuh sudah terbiasa memberikan susu formula kepada bayi di bawah jagaan mereka, ia menyebabkan kemungkinan bekalan susu perahan yang disediakan tidak mencukupi selama di rumah pengasuh.
Ini kerana ramai yang keliru mengenai kuantiti susu diperlukan oleh bayi yang membesar dari bulan ke bulan.
Ia menyebabkan ramai ibu berada dalam dilema sama ada terus memberi anak susu badan apabila si kecil di bawah jagaan pengasuh.
Nasihat Farah, konsep permintaan dan pembekalan perlu difahami ibu supaya mereka tidak tersalah anggap dengan kebolehan badan menghasilkan susu untuk anak-anak.
“Sebenarnya ramai ibu yang tidak tahu bahawa pengambilan susu perahan oleh bayi dari umur satu bulan hingga 6 bulan adalah sama dan tidak berubah. Ia adalah lebih kurang tiga auns sekali minum dengan empat hingga lima kali dalam tempoh ibu bekerja.
“Diakui pada awalnya, bayi akan merengek dan memberi isyarat seperti mahu menghisap susu lagi, namun ibu boleh melatih pengasuh untuk mendukung, bermain dan memberi lebih perhatian kepada bayi.
“Ini kerana kebiasaannya ramai yang beranggapan susu badan harus ditambah untuk bayi seiring dengan peningkatan usia sehingga 6 bulan.
“Bagaimanapun, pendapat itu mungkin hanya sesuai untuk susu formula sebagaimana yang tercatat pada label pada tin.
“Keunikan susu ibu adalah apabila Allah telah pun menetapkan khasiatnya mengikut keperluan umur,” jelasnya sambil menerangkan bayi sememangnya mempunyai naluri menghisap namun, keadaan ini bukanlah bermakna bayi tidak cukup susu.
SUSU badan yang dipam boleh disimpan di dalam peti sejuk dan boleh bertahan antara tiga hingga enam bulan.
Pengalaman sendiri
Berkongsi pengalaman sebagai wanita yang bergelar ibu, Farah juga menginginkan yang terbaik buat tiga orang buah hatinya, Puteri Sara Azalea, 4, Puteri Syasya Adalea, 3, dan Putera Shafik Adrian, 4 bulan.
Isteri kepada seorang jurutera, Saiful Azwan Rasidi itu sedar perkara asas yang terbaik untuk anak-anaknya sejurus selepas dilahirkan adalah dengan memberi susu ibu secara eksklusif.
Lulusan bidang Mikrobiologi dari Universiti Teknologi Mara itu sanggup meninggalkan jawatan sebagai pensyarah di salah sebuah institusi pengajian tinggi swasta selepas dia melahirkan anak sulungnya.
“Saya akui dulu semasa anak sulung, saya kurang pengalaman dan persediaan. Malah, ketika anak saya berumur 8 bulan, saya diberikan rezeki untuk mengandungkan anak kedua pula, ketika itulah saya berhenti memberi susu badan kepada anak sulung kerana mendengar cakap orang yang lebih tua.
“Ada yang kata tidak elok untuk kesihatan bayi yang dikandung kerana bimbang, khasiat makanan ibu yang sepatutnya diambil bayi dalam kandungan, ‘dicuri’ anak yang sedang menyusu,” katanya yang berjaya melengkapkan kursus penyusuan yang melayakkannya bergelar kaunselor laktasi dari Pusat Perubatan Universiti Malayia (PPUM).
Enggan mengulangi kesilapan pertama, Farah memilih menyusu secara eksklusif bagi anak kedua dan ketiganya.
“Ia adalah nikmat tak ternilai bagi seorang ibu, malah sokongan daripada orang tersayang iaitu suami amat saya hargai,” katanya yang ternyata puas kerana dapat menyusukan anak-anaknya tanpa susu formula.
Dengan kesedaran yang ada, Farah bertekad menubuhkan sebuah pusat sehenti bagi barangan bayi dan gajet lengkap untuk penyusuan susu ibu yang diberi nama Sarakids.
Sarakids kini mempunyai lima cawangan utama seluruh negara dan turut melebarkan sayapnya ke Brunei, Singapura dan Korea.
Untuk maklumat lanjut mengenai Sarakids, boleh ke laman web www.sarakids.com atau ke kedai di alamat 42-1, First Floor, Jalan Opera L U2/L, Taman TTDI Jaya, Shah Alam, Selangor.
Popular Posts
Friday, March 11, 2011
Usah malu mengepam susu badan
Thursday, November 4, 2010
Jakarta wajib ibu susu bayi hingga 6 bulan
JAKARTA: Indonesia meluluskan undang-undang baru yang mewajibkan semua ibu menyusui bayi mereka sepenuhnya bagi tempoh sekurang-kurangnya enam bulan pertama selepas bayi dilahirkan.
Undang-undang yang akan berkuat kuasa awal tahun depan itu menetapkan mana-mana ibu yang enggan berbuat demikian akan didenda hingga 100 juta rupiah (RM35,200) dan setahun penjara.
Pegawai Kanan Kementerian Kesihatan, Tari Tritarayati, berkata undang-undang akan memperincikan bagi syarikat yang mempunyai kakitangan daripada ibu yang menyusui bayi perlu menyediakan kemudahan untuk menyusui anak mereka, memerah dan menyimpan susu.
Katanya, ini penting kerana Indonesia kerap dikritik dan didakwa tidak mengambil langkah sewajarnya untuk melindungi hak ibu menyusu yang bekerja. – Agensi
Thursday, November 19, 2009
Khasiat Susu Ibu
SUSU IBU KHASIATNYA TIDAK TERNILAI
KELAHIRAN bayi bermulanya detik indah kehidupan. Rumah tangga anda dilimpahi cahaya. Kehadiran si manja mengeratkan jalinan kasih suami isteri. Kini tanggungjawab anda berdua menyempurnakan hidupnya. Menyusui bayi dengan susu sendiri permulaan paling bermakna. Segunung kebaikan dan ganjaran menanti bayi anda. Ganjaran bukan hanya untuk bayi malah diri anda juga.
Menyusu bayi dengan susu ibu langkah penting ke arah perkembangan dan pembesaran bayi yang sihat. Pengalaman unik ini telah dilalui wanita sejak permulaan zaman lagi. Ajaibnya kuasa Tuhan. Sebaik bayi dilahirkan proses pengeluaran susu juga bermula. Jangan sia-siakan kurniaan berharga ini. Susuilah bayi anda dengan penuh kasih sayang. Andai ini pengalaman pertama, timbalah ilmu dan dapatkan pengetahuan daripada mereka yang berpengalaman.
Susu ibu berperanan penting dalam tumbesaran anak. Khasiatnya besar. Mampu menjauhkan penyakit sekali gus menyihatkan anak. Banyak kajian dilakukan di serata dunia untuk membuktikan kelebihan susu ibu yang tidak dapat diperolehi daripada susu formula. Tuhan telah menentukan susu ibu untuk anak manusia. Malah Dia telah berpesan dalam firmanNya dalam surah AlBaqarah ayat 223, surah Luqman ayat 14 dan surah Ahqaaf ayat 15. Ketiga-tiga ayat dalam surah berlainan ini menyebut ibu hendaklah menyusukan anaknya selama dua tahun iaitu bagi mereka yang ingin menyempurnakan susuan. Agama Islam pula ada menggambarkan pembalasan di hari akhirat bagi ibu-ibu yang enggan menyusu anak dengan sengaja "maka berdatanganlah ular menggigit kedua-dua belah buah dada wanita itu."
Wednesday, October 7, 2009
Mengurut Bayi
Sentuhan fizikal bukan saja menjalinkan hubungan yang erat tetapi turut melahirkan perasaan kasih sayang. Malah, ia adalah salah satu bahasa badan untuk meluahkan rasa naluri manusia. Untuk itulah mengurut bayi penting dan perlu dilakukan bagi mengeratkan lagi hubungan, khususnya antara ibu dan anak.
Hakikatnya, sentuhan melalui urutan bukan saja baik untuk orang dewasa tetapi bayi juga merasai kesan positifnya. Justeru, tidaklah menghairankan apabila mengurut sudah pun diamalkan sejak zaman lampau dalam semua budaya di seluruh dunia.
Di Mesir misalnya, urutan dibuat bagi merawat penyakit histeria manakala di India ia bertujuan untuk meningkatkan tahap kesihatan. Begitu juga di Greek dan Rom, urutan digunakan bagi memulih otot atlit yang cedera. Di China pula, urutan digunakan untuk terapi perubatan.
Tuesday, February 3, 2009
Keburukan Susu Botol
1. Lebih kerap mendapat jangkitan (batuk, selsema, demam).
2. Kesihatan ibu terjejas - risiko tinggi mendapat kanser payudara dan ovari.
3. Tidak membantu menjarakkan kehamilan.
4. Jika susu dicairkan menyebabkan kekurangan zat makanan.
5. Kurang membantu mengeratkan kasih sayang.
6. Mudah tercemar.
7. Kegemukkan.
8. Mudah mendapat cirit-birit.
Dipetik dari "Penyusuan Susu Ibu Pilihan Terbaik" (Risalah keluaran Hospital Kuala Lumpur)
Sunday, February 1, 2009
Teknik Penyusuan Susu Ibu Yang Betul
1. Pastikan anda selesa (duduk / baring).
2. Pegang bayi rapat, keseluruhan badan bayi menghadap anda (perut bertemu perut).
3. Sentuh puting anda ke mulut bayi. Tunggu sehingga ia membuka mulut dengan luas seperti menguap, masukkan tampok hitam (aerola) ke mulut bayi.
4. Dagu bayi menyentuh payudara.
5. Kedengaran bunyi bayi menelan.
Dipetik dari "Penyusuan Susu Ibu Pilihan Terbaik" (Risalah keluaran Hospital Kuala Lumpur)
Tuesday, January 27, 2009
Kepentingan Penyusuan Awal Dalam Masa 1 Jam Selepas Bersalin
1. Untuk merangsang pengaliran susu yang cepat.
2. Mengelakkan bengkak payudara.
3. Pemberian susu awal (kolostrum) yang kaya dengan protin serta antibodi untuk mengelakkan bayi dari jangkitan.
4. Mengelakkan perdarahan selepas bersalin.
5. Kolostrum menjadi imunisasi yang pertama untuk bayi.
Dipetik dari "Penyusuan Susu Ibu Pilihan Terbaik" (Risalah keluaran Hospital Kuala Lumpur)