PETALING JAYA: Kabinet sudah memberi kelulusan kepada Kementerian Sumber Manusia melaksanakan polisi gaji minimum menerusi Majlis Konsultasi Gaji Negara, kata Menterinya, Datuk Dr S Subramaniam.
Sehubungan itu, beliau berkata kementerian akan menggubal akta baru untuk membolehkan majlis tersebut ditubuhkan bagi penetapan kadar dan mekanisma gaji minimum.
"Sebarang keputusan pada masa depan dan pelaksanaan (gaji minimum) akan dilakukan menerusi majlis itu berdasarkan kuasa yang diperuntukkan melalui akta baru, yang bakal dibentang di Parlimen pada sesi akan datang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan dan pameran Pembangunan Sumber Manysia Berhad 2010 di sini hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika pembentangan Bajet 2010 di Parlimen Jumaat lalu, mengumumkan penubuhan majlis itu, yang akan menjadi patform utama penentuan gaji di negara ini.
Beliau berkata Majlis Konsultasi Gaji Negara akan dianggotai wakil majikan, kesatuan sekerja, pekerja tanpa kesatuan, agensi kerajaan, ahli akademik, badan bukan kerajaan dan orang perseorangan.
Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata, sekretariat majlis itu akan ditempatkan di Kementerian Sumber Manusia.
Mengenai peruntukan RM500 juta bagi latihan kemahiran yang diumumkan dalam bajet yang sama, Subramaniam berkata program itu akan dilaksanakan oleh beberapa kementerian seperti Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Sumber Manusia serta Majlis Amanah Rakyat.
Beliau berkata pihaknya akan memperkemas semua latihan dengan kementerian berkenaan melalui Majlis Penyelarasan Pembangunan Kemahiran bagi memastikan sasaran yang ditetapkan tercapai.
Katanya, penyediaan kelas malam dan hujung minggu untuk latihan kemahiran adalah selaras dengan rancangan kerajaan bagi membentuk budaya pembelajaran sepanjang hayat di negara ini, selain membantu golongan berpendapatan rendah mengikutinya untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan.
Subramaniam berkata kenaikan antara RM500 hingga RM700 gaji minimum pengawal keselamatan tidak boleh diambil kira, kerana secara amnya, mereka menerima gaji antara RM900 dan RM1,000 dengan bayaran untuk kerja lebih masa.
Menyifatkan perkara itu sebagai "lonjakan" dalam pendapatan, menteri itu berkata: "Sebelum ini, gaji pokok (pengawal keselamatan) ialah kira-kira RM300, tetapi kini ia telah dinaikkan antara RM500 dan RM700."
"Selanjutnya, pengawal keselamatan turut mendapat sumbangan lebih untuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja mereka," katanya sambil menambah bahawa pendapatan pengawal keselamatan akan meningkat dengan lebih ketara selepas pengumuman Perdana Menteri itu.
Terdahulu, dalam ucapannya, Subramaniam berkata hanya 28 peratus daripada 9.8 juta tenaga kerja di negara ini merupakan pekerja berkemahiran tinggi.
Beliau berkata kerajaan berhasrat mencapai 33 peratus pekerja berkemahiran tinggi menjelang 2015 dan 50 peratus pada 2020.
"Di bawah Program Transformasi Ekonomi, kira-kira 3.3 juta peluang pekerjaan akan diwujudkan dengan 60 peratus daripadanya adalah kategori berkemahiran tinggi," katanya. - BERNAMA
Popular Posts
Tuesday, October 19, 2010
Kabinet lulus polisi gaji minimum: Subramaniam
Pembinaan Menara Warisan bukan pembaziran: PM

KUALA LUMPUR: Pembinaan Menara Warisan bukan satu pembaziran tetapi projek menguntungkan yang dicadangkan sendiri oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Najib yang juga Presiden UMNO berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan taklimat kepada perwakilan parti pada Perhimpunan Agung UMNO 2010 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Sunday, October 17, 2010
Bajet 2011: Komen Anwar Ibrahim berkenaan Bajet 2011

Semasa di lobi parlimen, ketua pembangkang (oposisi) sempat memberikan sepatah dua kata berkenaan bajet 2011 yang baru sahaja dibentangkan oleh Najib Tun Razak.
Menurut Anwar Ibrahim bajet 2011 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilihat hanyalah menjurus kepada Pilihan Raya Umum dalam tempoh masa yang terdekat dan bukan sebenarnya untuk kesejahteraan rakyat.
Ketua Oposisi, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata apa yang mengejutkan di dalam pembentangan Belanjawan 2011, Najib dilihat gagal menangani isu yang paling besar iaitu masalah defisit perbelanjaan kerajaan.
"Selalunya belanjawan itu adalah bagaimana untuk menangani masalah ekonomi, menjana pertumbuhan serta menarik pelaburan.
"Masalah paling besar adalah masalah rasuah, penyelewengan dan pembaziran juga tidak disebut oleh Najib".
Apa yang disebut Najib kata beliau hanyalah projek mega yang berpuluh bilion ringgit yang memberikan manfaat hanya kepada kroni dan keluarga manakala rakyat pula diberikan cuma ratusan ringgit.
"Najib tidak memberikan penyelesaian yang jelas, melemparkan beberapa projek-projek yang besar dan sedikit kemudahan kepada rakyat yang dianggap cukup.
"Tetapi, isu pokok mengenai isu ekonomi negara tidak ditangani," kata Ahli Parlimen Permatang Pauh ketika dikerumuni media di lobi Parlimen selepas ucapan belanjawan Perdana Menteri.
Ketika ditanya sama ada beliau berpuas hati atau tidak dengan bajet tersebut, Anwar berkata beliau akan menjawab soalan itu di Dewan Rakyat Isnin depan.
Saturday, October 16, 2010
Bajet 2011: Belia kena rebut peluang kumpul aset

LANGKAH kerajaan memperkenalkan Skim Rumah Pertamaku melalui Cagamas Berhad yang menawarkan jaminan ke atas bayaran pendahuluan 10 peratus bagi rumah bernilai di bawah RM220,000 membolehkan golongan muda memiliki rumah sendiri.
Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee, berkata sebelum ini pembeli perlu membayar pendahuluan 10 peratus, sekali gus tidak membolehkan golongan muda membeli rumah.
“Dengan pengumuman ini, ia mewujudkan keadilan sosial kepada belia,” katanya. Setiausaha Agung Persatuan Pemuda Kristian (YMCA) Kuala Lumpur, Richard Yeoh, berkata skim itu juga meningkatkan kuasa membeli golongan muda yang selama ini terhalang ekoran dibebani bayaran pendahuluan yang dianggap tinggi.
“Selama ini, belia tidak mampu memiliki rumah. Mereka hanya mampu melihat harga rumah semakin meningkat ekoran peningkatan nilai hartanah, namun skim menjadi pemudah cara untuk mereka,” katanya.
Timbalan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Amidi Abd Manan, pula berkata cadangan pengecualian duti setem 50 peratus ke atas surat cara perjanjian pinjaman bagi membiayai pembelian rumah pertama dan pengecualian duti setem 50 peratus ke atas surat cara pindah milik rumah tidak lebih RM350,000 akan memberi nilai tambah kepada golongan muda.
“Kita berharap belia mengambil peluang yang diberikan untuk mengumpul aset, namun biarlah ia memenuhi kriteria selain mengambil kira bebanan hutang yang perlu ditanggung mereka,” katanya.
Bajet 2011: Kadar tol 4 lebuh raya PLUS tidak dinaikkan

Berkuat kuasa serta-merta bagi tempoh lima tahun akan datang
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kadar tol di empat lebuh raya milik PLUS Expressways Bhd (PLUS) tidak akan dinaikkan bagi tempoh lima tahun akan datang berkuat kuasa serta-merta. Beliau yang membentangkan Bajet 2011 di Parlimen semalam, berkata langkah itu bertujuan meringankan beban pengguna lebuh raya di negara ini. “Kerajaan amat prihatin terhadap rakyat yang terpaksa menanggung kos pengangkutan yang semakin meningkat,” katanya.
Sementara itu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan UEM Group Bhd, syarikat induk PLUS semalam membuat tawaran untuk membeli keseluruhan aset dan liabiliti pengendali tol itu menerusi sebuah syarikat tujuan (SPV) yang ditubuhkan.
Pembelian SPV itu akan dibuat secara tunai bernilai RM23 bilion atau RM4.60 untuk setiap unit saham PLUS.
Jika urus niaga itu menjadi kenyataan nanti, UEM Group akan menguasai 51 peratus pegangan ekuiti di dalam SPV berkenaan, manakala baki 49 peratus lagi dimiliki KWSP.
“Tawaran itu bergantung kepada kejayaan penstrukturan semula Perjanjian Konsesi dengan syarat yang boleh dipersetujui oleh semua pihak,” kata kenyataan itu. 
ROSMAN Hamzah bersama adik iparnya, Hanita Hashim (kanan) memberhentikan kenderaannya sambil menonton pembentangan Bajet 2011 selepas membeli- belah di Johor Bahru, semalam.
Timbalan Ketua Eksekutif Pelaburan KWSP, Shahril Ridza Ridzuan, menyifatkan cadangan pengambilalihan itu peluang untuk melabur di dalam aset matang.
“Ia akan menjana aliran tunai dengan profil pulangan risiko menarik, yang akan memberi pulangan stabil kepada pelaburan simpanan persaraan pencarum. Kami yakin pemilikan PLUS oleh KWSP dan UEM Group akan meningkatkan lagi prestasi kewangannya,” katanya.
Pengarah Urusan Kumpulan UEM Group, Datuk Izzaddin Idris, berkata PLUS, pengendali lebuh raya kelima terbesar dunia, adalah aset penting negara.
Katanya, pembangunan lebuh raya kekal antara fokus teras UEM Group dan rekod prestasi PLUS yang cemerlang berupaya memacu rancangan pertumbuhan antarabangsa syarikat.”
“Jika cadangan itu diluluskan, PLUS akan kekal ditadbir kumpulan profesional sama yang sebelum ini bertanggungjawab menjadikan PLUS sebagai pengendali lebuh raya bertol terkemuka di dunia,” katanya.
Di dalam negara, PLUS mengendalikan konsesi lima lebuh raya iaitu Projek Lebuhraya Utara-Selatan Bhd; Expressway Lingkaran Tengah Sdn Bhd; Linkedua (Malaysia) Bhd dan Konsortium Lebuh Raya Butterworth-Kulim Sdn Bhd (KLBK).
Di luar negara, PLUS mengendalikan PLUS Kalyan (Mauritius) Pte Ltd; PLUS BKSP Toll Ltd; PT Lintas Marga Sedaya; PT Cimanggis Citibung Tollways; Indu Navayuga Infra Project Pte Ltd; PLUS Plaza (Mauritius) Pte Ltd dan Jetpur-Somnath sebuah syarikat yang akan diperbadankan di Gujarat, India.
Bajet 2011: Bangunan 100 tingkat mercu baru

Warisan Merdeka siap 2015
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pembinaan satu lagi mercu tanda di ibu negara, dinamakan Warisan Merdeka setinggi 100 tingkat, lebih tinggi daripada bangunan tertinggi di Malaysia, iaitu Menara Berkembar Petronas setinggi 88 tingkat. Katanya, projek bersepadu bernilai RM5 bilion yang dibina bersebelahan Stadium Merdeka dan Stadium Negara akan dilaksanakan Permodalan Nasional Bhd (PNB). Menara yang bakal menjadi kebanggaan negara menjelang 2020, dijangka siap pada 2015. Projek berkenaan adalah sebahagian daripada tiga projek pembinaan mega yang diumumkannya ketika membentangkan Bajet 2011 di Parlimen, semalam.
Ia adalah antara projek strategik impak tinggi yang akan merangsang permintaan domestik serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi pada masa akan datang. 
MENARA Berkembar Petronas setinggi 88 tingkat menjadi mercu tanda ibu negara kini.
Turut diumumkan adalah projek transit aliran ringan (MRT) di Greater KL bernilai RM40 bilion yang akan mula dilaksanakan tahun depan dengan kos pelaburan swasta dan dijangka siap menjelang 2020.
Najib juga berkata, pembangunan tanah Lembaga Getah Malaysia, di Sungai Buloh seluas 1,072 hektar oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengandungi kediaman mampu milik, perdagangan, industri serta kemudahan prasarana bernilai RM10 bilion, dijangka siap sepenuhnya menjelang 2025.
Perdana Menteri berkata, satu lagi projek impak tinggi adalah pembangunan Daerah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFD), bermula tahun depan dengan nilai anggaran RM26 bilion.
Projek akan dilaksanakan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dengan kerjasama Mubadala Development Company (Mubadala), syarikat pelaburan Kerajaan Abu Dhabi.
KLIFD akan menempatkan secara bersepadu, bank utama antarabangsa dan firma perkhidmatan kewangan profesional, termasuk pakar syariah.
Bajet 2011: Kerajaan tak beri bonus bagi elak perbelanjaan melebihi pendapatan: PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan memberikan bantuan kewangan khas dan bukan bonus sebulan kepada kakitangan awam kerana tidak boleh berbelanja lebih daripada pendapatan.
Perdana Menteri berkata, sekiranya kerajaan memberikan bonus sebulan ia menyebabkan implikasi perbelanjaan kerajaan sehingga RM3.1 bilion. Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata demikian pada Perhimpunan Kebangsaan Guru 1Malaysia di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini, pagi ini. Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Bajet 2011: Kakitangan awam boleh pilih cuti bersalin 90 hari

Dana RM30j tingkat penyertaan wanita dalam keusahawanan
KUALA LUMPUR: Penjawat awam wanita kini boleh memilih untuk cuti bersalin sehingga 90 hari dan menerima gaji penuh berbanding 60 hari sebelum ini. Mengumumkan perkara itu menerusi pembentangan Bajet 2011, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan memberi fleksibiliti kepada penjawat awam wanita untuk menentukan sendiri tempoh cuti bersalin, tertakluk pada kelayakan keseluruhan bilangan cuti bersalin sebanyak 300 hari sepanjang tempoh perkhidmatan. “Kerajaan mengambil berat dengan kerjaya dan kebajikan penjawat awam wanita. Mereka juga perlu memberi tumpuan kepada penjagaan keluarga, terutama anak yang baru dilahirkan,” katanya.
Mengiktiraf sumbangan wanita dalam kemajuan negara, kerajaan juga memperuntukkan RM30 juta bagi meningkatkan penyertaan golongan itu dalam bidang keusahawanan.
Katanya, antara langkah diambil adalah memperkenalkan Program Inkubator Kemahiran Ibu Tunggal dan mengadakan Anugerah Perdana Usahawan serta Tokoh Aktivis Wanita bersempena Hari Wanita. 
PROGRAM PERMATA mendapat peruntukan sebanyak RM111 juta bagi memastikan pendidikan awal berkualiti untuk kanak-kanak.
Najib juga meminta sektor swasta mengambil pekerja separuh masa wanita, terutama mereka yang sudah berumah tangga sejajar langkah kerajaan menggalakkan penyertaan lebih ramai wanita sebagai pekerja separuh masa, termasuk menguatkuasakan Peraturan-Peraturan Kerja (Pekerja Separa Masa) 2010 mulai 1 Oktober lalu.
Beliau turut meminta pihak swasta memberi lebih banyak peluang untuk wanita memegang jawatan pada peringkat pembuat keputusan, khususnya sebagai Ahli Lembaga Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif.
Sementara itu, peruntukan RM111 juta diberi untuk program PERMATA bagi memastikan pendidikan awal berkualiti untuk kanak-kanak di negara ini. Ia merangkumi pembinaan Fasa II Kompleks Sekolah PERMATA Pintar, membina 32 Pusat Anak PERMATA Negara (PAPN) dan membiayai operasi 52 PAPN yang sudah siap serta meneruskan program PERMATA Pintar, Seni, Insan dan Remaja.
“Pendidikan anak adalah sesuatu yang dekat di hati saya. Justeru, kerajaan tidak berdikit dalam soal pendidikan mereka dan kita tidak akan berkompromi dengan kualiti sistemnya. Mereka mesti disediakan dengan segala kelebihan untuk bersaing menghadapi zaman penuh mencabar,” katanya.
Selain itu, bagi terus membantu meringankan kos membiayai perbelanjaan penjagaan ibu bapa, kerajaan mencadangkan pelepasan cukai sehingga RM5,000 yang sedia ada, diperluaskan bagi meliputi perbelanjaan lain seperti bayaran menghantar ibu bapa ke rumah jagaan harian, bayaran menggaji pembantu khusus menjaga ibu bapa dan perbelanjaan keperluan harian yang lain seperti lampin pakai buang.
Ketika ini, pelepasan cukai itu terhad pada perubatan di klinik dan hospital, termasuk rawatan di nursing home serta rawatan pergigian.
Bajet 2011: Duti import 300 barangan dimansuh

Jadikan Malaysia destinasi utama beli-belah di Asia
KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang memansuhkan duti import ke atas kira-kira 300 barangan kegemaran pelancong dan rakyat tempatan pada kadar lima peratus sehingga 30 peratus. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata ini bagi menjadikan Malaysia destinasi utama membeli-belah di rantau Asia dengan menawarkan barangan berjenama pada harga kompetitif. “Barangan ini merangkumi kegunaan harian seperti beg tangan, kasut, sut, baju kanak-kanak, dompet, pewarna rambut, bola golf, barang kemas tiruan, bedak talkum, syampu, langsir, alas meja, selimut, cadar, kemeja, baju tidur, pakaian dan pakaian malam, seluar dan seluar dalam serta wangi-wangian termasuklah kelambu,” katanya.
Najib berkata, dalam usaha merancakkan dan menyokong industri pelancongan Malaysia, kerajaan akan melaksanakan beberapa inisiatif termasuk memperuntukkan RM100 juta. 
USAHA dipergiatkan untuk menarik pelancong berbelanja lebih ketika berada di Malaysia.
“Kerajaan akan memperuntukkan RM85 juta untuk menyediakan kemudahan infrastruktur bagi membolehkan pembinaan hotel dan resort peranginan di kawasan pedalaman yang berpotensi menarik pelancong.
“Membina beberapa laluan pejalan kaki berbumbung di kawasan lingkaran KLCC-Bukit Bintang dengan peruntukan sebanyak RM50 juta dan menyusun semula Jabatan Penerbangan Awam menjadi Lembaga Penerbangan Awam,” katanya.
Sebuah resort terkemuka di Sabah, Nexus Karambunai sudah komited untuk membangunkan resort bersepadu berasaskan alam semula jadi yang pertama seumpamanya di dunia berjumlah RM3 bilion bermula tahun depan, katanya.
“Merujuk kepada industri pelancongan yang menjana hasil RM53 bilion pada 2009, ia berpotensi untuk mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan serta meningkatkan lagi pendapatan negara.
“Berdasarkan laporan Pertubuhan Pelancongan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun lalu, Malaysia menduduki tangga kesembilan daripada bilangan ketibaan pelancong. Usaha akan dipergiatkan untuk menarik lebih ramai pelancong dengan menyediakan pakej dan produk pelancongan yang inovatif,” katanya. – Bernama
Bajet 2011: Pembangkang anggap bajet untuk pilihan raya

Pemimpin dakwa usaha terbaru kerajaan terus tonjolkan imej baik di mata rakyat
KUALA LUMPUR: Kalangan pemimpin pembangkang pakatan rakyat menyifatkan belanjawan yang dibentangkan semalam sebagai 'Bajet Pilihan Raya' dan usaha terbaru kerajaan untuk terus menonjolkan imej baik di mata rakyat. Walaupun ada yang menyifatkannya sebagai kelegaan jangka pendek, namun pada masa sama, mereka turut menghargai beberapa insentif yang diberikan kepada rakyat biasa. “Nampaknya dalam memikirkan rakyat hanya menjelang pilihan raya dan hanya menjurus ke arah (itu). Malah, ada beberapa kemudahan tambahan kepada rakyat menjelang pilihan raya,” kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa, pula menganggap bajet itu sebagai bayangan ‘dekatnya’ tempoh pilihan raya itu.
“Bajet ini membayangkan pilihan raya semakin dekat, kalau sebelum ini kita letak bulan enam ke atas, tapi kita merasakan ia semakin awal. Namun, kita menghargai beberapa insentif yang diberikan sebagai hadiah kepada rakyat biasa.
Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw, berkata insentif seperti kadar tol dan pelepasan bagi rakyat memiliki rumah pertama sebagai kesinambungan kerajaan memaparkan imej baik.
“Saya berpendapat beberapa langkah seperti tidak naikkan kadar tol dan peruntukan RM350 juta untuk cegah jenayah dan pelepasan cukai bagi rakyat miliki rumah pertama memang menonjolkan imej yang baik untuk rakyat,” katanya.
Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat, Saifuddin Nasution, pula menyifatkan bajet itu sekadar memberi kelegaan sementara kerana apa yang lebih penting adalah pelaksanaannya.
“Ia memberikan kelegaan jangka pendek kepada segmen masyarakat bawahan. Apa yang mahu dilihat sekarang adalah keupayaan untuk penyampaian. Saya melihat bantuan di Sabah dan Sarawak bagi melengkapkan jalan di luar bandar adalah prasyarat kepada enjin pembangunan di luar bandar yang ditumpukan oleh belanjawan,” katanya.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pasir Mas (Bebas), Datuk Ibrahim Ali, menganggap Bajet 2011 sebagai mengutamakan rakyat.
“Saya menganggapnya sebagai berita gembira kerana ia kena mengena dengan apa yang kita minta sebelum ini. Alhamdulillah belanjawan di jalan yang betul dan (dibuat) berhati-hati bagi memastikan semua rakyat mendapat faedah,” katanya.
Bajet 2011: Mesra wanita, institusi kekeluargaan

BAJET 2011 disifatkan sebagai mesra wanita dan institusi keluarga kerana memberi manfaat secara menyeluruh dengan mewujudkan keseimbangan fungsi kaum hawa di tempat kerja dan rumah.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata paling istimewa apabila sebahagian besar permintaan membabitkan kumpulan sasar kementerian berkenaan mendapat perhatian kerajaan. “Tiga aspek utama yang diberi perhatian kali ini adalah pengupayaan wanita dan menguatkan institusi keluarga diberikan dengan meluluskan tempoh cuti bersalin sehingga 90 hari dengan gaji penuh serta penjenamaan 40 TASKA 1Malaysia. “Selain itu, dasar kebajikan khusus untuk orang kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal menerusi program perintis Small Office Home Office (SOHO) selama tiga bulan bagi melatih wanita OKU dalam pelbagai bidang kemahiran, serta RM70 juta untuk membentuk kerjasama antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan pakar bagi menangani isu pembangunan sosial,” katanya.
Shahrizat berkata, pembabitan OKU menerusi SOHO adalah menerusi program kebajikan produktif kementerian berkenaan untuk memberi peluang golongan terbabit berdikari.
“Sasaran program ini adalah OKU yang memiliki kemahiran tertentu dan mampu menyumbang untuk pembangunan modal insan negara, walaupun kekurangan dari segi fizikal,” katanya.
Beliau berkata, selain OKU, program SOHO turut membabitkan profesional dan sehingga kini ia memberi impak positif dan mendapat sambutan yang baik.
Bajet 2011: Dana Pencen Swasta dilancar tahun depan

KERAJAAN akan melancarkan Dana Pencen Swasta tahun depan bagi memberi manfaat kepada pekerja sektor swasta dan rakyat yang bekerja sendiri membuat pilihan melabur untuk hari tua mereka.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, berkata pelepasan cukai pendapatan sehingga RM6,000 sedia ada bagi caruman pekerja kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diperluaskan meliputi caruman kepada dana baru itu, termasuk caruman oleh mereka yang bekerja sendiri. Majikan juga akan diberi potongan cukai caruman yang dibuat bagi pekerja. Selain itu, Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera akan melancarkan Skim Amanah Hartanah Bumiputera tahun ini dengan saiz dana bernilai RM1 bilion dan patuh syariah.
“Sebagai penyertaan yang lebih bermakna dan mapan oleh golongan Bumiputera, yayasan itu akan memberi peluang pemilikan Bumiputera dalam sektor hartanah komersial utama di bandar utama. Bumiputera akan dapat melanggan dalam tabung pemilikan hartanah komersil kelas utama di Lembah Klang melalui skim pemilikan berkelompok,” katanya.
Bajet 2011: Penjawat awam dapat pelbagai insentif menarik

Sumbangan dihargai terutama komitmen jaya inisiatif kerajaan
KUALA LUMPUR: Bajet 2011 yang dibentangkan Datuk Seri Najib Razak semalam memberi pelbagai insentif menarik kepada penjawat awam, pegawai kontrak dan pesara kerajaan di seluruh negara, antaranya pemansuhan sistem Penilaian Tahap Kecekapan (PTK), Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 dan kadar bantuan mengurus jenazah. Perdana Menteri berkata, ia sebagai menghargai sumbangan semua pihak termasuk penjawat awam yang memberi komitmen penuh dalam menjayakan inisiatif kerajaan dan dengan harapan supaya penjawat awam terus berusaha. Katanya, bantuan khas kewangan diberikan kepada penjawat awam Gred 54 dan ke bawah termasuk pegawai kontrak dan pesara kerajaan pada Disember ini bagi meringan beban mereka dalam menampung perbelanjaan persiapan sekolah anak-anak. 
PENJAWAT awam dan kakitangan swasta di Seremban bersorak mendengar pembentangan Bajet 2010 yang dibentangkan Najib di Parlimen, semalam.
“Kerajaan juga bersetuju memansuhkan PTK dan diganti dengan satu sistem penilaian yang lebih sesuai dan diterima baik penjawat awam menjelang Jun 2011.
“Ia adalah usaha berterusan dalam menyedia kerangka penilaian lebih bertanggungjawab, relevan dan menyeluruh serta mengambil kira maklum balas penjawat awam,” katanya.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan juga akan menaikkan kadar Bantuan Mengurus Jenazah kepada RM3,000 berbanding RM1,000 pada masa ini terhadap penjawat awam dan pesara kerajaan selaras dengan kenaikan kos pengurusan jenazah.
Beliau berkata, perkhidmatan Pegawai Khidmat Singkat (PKS) yang akan tamat perkhidmatan pada 31 Disember ini juga akan disambung untuk tempoh setahun lagi dengan kementerian dan agensi tidak dibenar untuk menambah bilangan PKS baru.
Bagi memudahkan penjawat awam memiliki rumah serta memperbaiki syarat membuat pinjaman perumahan, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan menaikkan had kelayakan maksimum pinjaman perumahan kepada RM450,000 berbanding RM360,000 pada masa ini, berkuatkuasa 1 Januari 2011.
“Kerajaan juga akan membenarkan pembelian hartanah daripada ibu, bapa, anak dan adik-beradik, selain menggandakan kadar pinjaman untuk kerja tambahan rumah kos rendah kepada RM20,000 berbanding RM10,000 bagi Kumpulan Sokongan Dua dan menaikkan had kelayakan maksimum pinjaman perumahan kepada RM450,000 berbanding RM360,000.
“Semua langkah penambahbaikan pinjaman perumahan ini akan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2011,” katanya.
Bajet 2011: Harga saham terus stabil

KUALA LUMPUR: Harga saham dijangka terus berada di tahap stabil dengan kecenderungan meningkat minggu depan manakala indeks petunjuk pasaran FMB KLCI dijangka menguji semula paras psikologi 1,500, kata peniaga.
Mereka berkata minat belian dijangka terus tertumpu pada saham pembinaan, minyak dan gas, hartanah serta kewangan di tengah-tengah langkah positif yang diumumkan di bawah Bajet 2011, semalam. "Pelabur juga dijangka terus menyambar saham berkaitan perladangan berikutan harga minyak sawit mentah (MSM) tinggi," kata seorang peniaga. Antara tumpuan utama di bawah Bajet 2011 ialah projek Transit Aliran Massa (MRT) dengan pelaburan swasta RM40 bilion, peruntukan RM146 juta untuk menyokong industri minyak, gas dan tenaga, satu lagi pembangunan bangunan pencakar langit yang menelan kos RM5 bilion serta langkah-langkah menggiatkan semula pasaran modal menerusi liberalisasi keperluan pegangan ekuiti dan had pelaburan.
Bagaimanapun, seorang peniaga berkata keseluruhan kenaikan itu mungkin terhad disebabkan berapa aktiviti pengambilan untung di tengah-tengah keadaan tidak menentu dalam pasaran global.
Sepanjang minggu yang baru berakhir ini, Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) melepasi paras psikologi 1,500 pada Khamis, disokong oleh belian berterusan dalam sektor perladangan berikutan harga minyak sawit mentah (MSM) tinggi.
Bagi asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI naik 8.45 mata kepada 1,489.86 daripada 1,481.41 pada Jumaat minggu lalu.
Indeks FMB Emas meningkat 95.37 mata kepada 10,043.32, FBM70 melonjak 216.20 mata kepada 10,139.55 dan Indeks FBM Ace menokok 302.59 mata kepada 4,322.77.
Indeks Kewangan turun 83.59 mata kepada 13,414.04 tetapi Indeks Perusahaan naik 45.77 mata kepada 2,876.94 dan Indeks Perladangan meningkat 445.57 mata kepada 7,366.28.
Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 5.76 bilion saham bernilai RM9.33 bilion berbanding 5.23 bilion saham bernilai RM8.05 bilion pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama naik kepada 4.64 bilion saham bernilai RM9.07 bilion daripada 4.22 bilion unit bernilai RM7.83 bilion sebelumnya.
Jumlah daganagn di Pasaran ACE juga meningkat kepada 491.90 juta saham bernilai RM126.62 juta daripada 384.84 juta saham bernilai RM87.97 juta pada Jumaat sebelumnya.
Jumlah dagangan waran menokok 593.66 juta unit bernilai RM112.24 juta berbanding 592.1 juta bernilai RM115.48 juta sebelumnya. - BERNAMA
CUEPACS puas hati banyak tuntutan dilayan

CUEPACS gembira dengan Bajet 2011 yang memenuhi sebahagian besar tuntutan 1.24 juta penjawat awam selama ini, tetapi masih berharap kerajaan dapat memberikan bonus dua bulan gaji kepada mereka pada tahun ini.
Presidennya, Omar Osman berkata, CUEPACS juga menyambut baik keputusan kerajaan memansuhkan sistem Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang dianggap bermasalah sejak diperkenalkan lapan tahun lalu, penambahan cuti bersalin dari 60 hari kepada 90 hari, peningkatan kadar bantuan mengurus jenazah, kemudahan memiliki rumah, penyambungan perkhidmatan Pegawai Khidmat Singkat (PKS), menaikkan elaun guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dan pengecualian duti setem sebanyak 50 peratus. “Kami melihat bajet ini menunjukkan ekonomi sudah pulih dan mantap. Bajet yang komprehensif membabitkan semua sektor dan terima kasih kerana banyak tuntutan kami dilayan. Cuma terkilan dan sedih kerana tidak dapat bonus selain tuntutan lain tidak diambil kira seperti elaun kos sara hidup (COLA), elaun wilayah dan imbuhan tetap perumahan. “Fokus ahli pada setiap kali bajet adalah bonus kerana ia satu langkah meningkatkan produktiviti dan semangat baru pekerja awam, namun bila diumumkan hanya dapat elaun, kami agak kecewa kerana hasrat mendapat bonus tidak kesampaian,” katanya.
“Bagaimana pun, kami berharap ahli bersabar dan terus meningkatkan produktiviti. CUEPACS akan terus memperjuangkan tuntutan yang tidak dipenuhi termasuk bonus dua bulan gaji dengan menghantar surat rayuan kepada Perdana Menteri untuk pertimbangan semula, Isnin ini,” katanya.
Friday, October 15, 2010
Bajet 2011: Berubah atau ketinggalan

KUALA LUMPUR: “Kita tidak boleh lagi terpenjara dengan kelaziman. Kita mesti menerjang keluar dari belenggu pemikiran dan cara kerja yang biasa. Kejayaan menuntut kepada perubahan dan perubahan bukan lagi satu opsyen. Ia satu imperatif. Berubah atau kita akan ketinggalan.”
BENTANG...Najib diringi Muhyiddin dan Menteri Kewangan ll, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah ketika hadir Pembentangan Bajet 2011 di Parlimen, semalam.
Demikian kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak penuh bersemangat ketika membentangkan Bajet 2011 di Dewan Rakyat, semalam yang menyaksikan rakyat daripada semua lapisan masyarakat mendapat manfaat daripadanya.
“Bajet ini digubal penuh keazaman mendokong perubahan besar kepada kemajuan negara dan kesejahteraan rakyat. Ia mendakap semangat dan realiti pentadbiran terkini yang mengangkat Konsep 1Malaysia,” katanya.
Bermula daripada syarikat konglomerat, kakitangan, kerajaan atau swasta sehinggalah golongan orang biasa termasuk imam dan pengawal keselamatan semuanya mendapat manfaat daripada Bajet 2011.
Berkuat kuasa semalam kerajaan memansuhkan duti import yang sebelumnya dikenakan pada kadar antara lima peratus hingga 30 peratus ke atas kira-kira 300 barangan kegemaran pelancong dan rakyat tempatan, dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai destinasi utama membeli-belah di rantau Asia.
Barangan itu merangkumi kegunaan harian seperti beg tangan, kasut, sut, baju kanak-kanak, dompet, pewarna rambut, bola golf, barang kemas tiruan, bedak talkum, syampu, langsir, alas meja, selimut, cadar, kemeja, baju tidur, pakaian dan pakaian malam, seluar dan seluar dalam serta wangi-wangian, termasuk kelambu.
Cukai jualan telefon bimbit dimansuhkan bertujuan penyelarasan selepas telefon bimbit biasa dikenakan cukai jualan 10 peratus sebelum ini manakala telefon bimbit mempunyai pelbagai aplikasi seperti Internet dan personal digital assistant (PDA) dikecualikan cukai jualan.
Untuk memenuhi impian rakyat memiliki rumah selesa, kerajaan menyediakan RM568 juta bagi membina 300 unit kediaman di bawah Projek Bantuan Perumahan Bandar, 79,000 unit di bawah Program Perumahan Rakyat dan 8,000 unit menerusi Projek Bantuan Sewa Rumah.
“Selain itu, golongan muda berpendapatan kurang RM3,000 sebulan akan dibantu menerusi Skim Rumah Pertamaku melalui Cagamas yang menawarkan jaminan kerajaan ke atas bayaran pendahuluan 10 peratus bagi harga rumah di bawah RM220,000,” katanya.
Skim itu bagi pembeli rumah pertama berpendapatan isi rumah kurang daripada RM3,000 sebulan dan pembeli rumah mendapat pinjaman 100 peratus tanpa perlu mengeluarkan 10 peratus wang pendahuluan seperti amalan lazim.
Bagi pengawal keselamatan, kerajaan akan menguat kuasa gaji pokok minimum kepada RM500 hingga RM700 sebulan mengikut kawasan, berbanding RM300 hingga RM400 ketika ini dan kenaikan bermula Januari depan itu bermakna pendapatan keseluruhan pengawal keselamatan termasuk elaun melebihi RM1,00 sebulan,” katanya.
Sumbangan penjawat awam tidak diketepikan dan bagi menambah baik kemudahan cuti bersalin kepada penjawat awam wanita, kerajaan akan memberi fleksibiliti untuk menentukan sendiri tempoh cuti bersalin bergaji penuh tidak melebihi 90 hari berbanding 60 hari kini.
Selain itu, Bantuan Khas Kewangan RM500 diberi kepada penjawat awam Gred 54 dan ke bawah, termasuk pegawai kontrak dan pesara kerajaan dengan pembayaran dibuat pada Disember ini.
“Kerajaan juga bersetuju memansuhkan sistem Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dan diganti dengan satu sistem penilaian yang lebih sesuai dan diterima baik penjawat awam menjelang Jun 2011,” katanya.
Perdana Menteri turut mengumumkan pembinaan satu lagi mercu tanda kebanggaan negara yang akan dibangunkan menjelang 2020 iaitu projek bersepadu Warisan Merdeka yang turut membabitkan pembinaan sebuah menara 100 tingkat yang tertinggi di Malaysia.
Keseluruhan projek bernilai RM5 bilion itu akan dilaksanakan Permodalan Nasional Berhad dengan menara dijangka siap pada 2015.
Bagi meringankan beban pengguna lebuh raya, kerajaan bersetuju kadar tol di empat lebuh raya milik Plus Expressway Berhad tidak akan dinaikkan bagi tempoh lima tahun akan datang, bermula serta-merta.
Sumbangan pemimpin masyarakat turut dihargai dan kerajaan menaikkan elaun bulanan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Persekutuan (JKKKP), Tok Batin, Pengerusi JKKK Orang Asli dan Pengerusi Kampung Baru kepada RM800 sebulan berbanding RM450 ketika ini.
Elaun turut diberikan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kampung Baru Rangkaian dan Pengerusi Jawatankuasa Kampung Bagan, selain menaikkan elaun kehadiran mesyuarat kepada semua Ahli Jawatankuasa daripada RM30 kepada RM50.
Elaun bulanan imam dinaikkan RM450 kepada RM750 sebulan. Imbuhan bulanan guru Kafa pula naik kepada RM800 sebulan berbanding RM500 kini, berkuat kuasa Januari depan.
THERE ARE MORE HERE
-
KUALA LUMPUR: Rakaman gambar bogel mangsa di depan kamera web turut menjadi alat lelaki Nigeria memeras ugut wanita tempatan bagi mendapatka...
-
SAYA ingin tahu mengenai kaitan kehamilan dan kedatangan haid. Adakah benar seseorang wanita itu boleh hamil meskipun dia baru didatangi hai...
-
10 FAKTA MENARIK TENTANG KELAHIRAN 1. Hanya 5% bayi yang lahir pada tarikh EDD (Estimated Due Date) mereka. Kebanyakannya lahir antara m...
-
AIDIL ZAFUAN dan Rita Rudaini bersama dua anak mereka Airit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna. SHAH ALAM - Isu surat tuntutan yang diterim...
-
From NetEase : Noodle restaurant uses “beef extract” additive to turn pork into beef in 90 minutes Summary: Recently, the Hefei department o...
-
SHAH ALAM — Universiti Industri Selangor (Unisel) bakal dikenali dengan nama baru iaitu Universiti Selangor bermula 14 Feb ini. Presiden dan...
-
JERTIH: Kisah gadis misteri yang semakin menarik perhatian orang ramai, Siti Balqis Mohd Nor, 22, bertambah unik apabila tujuh batu permata ...
-
ICHIKAWA - Pelakon lucah paling tua di Jepun, Shigeo Tokuda , 75, menjalani proses penggambaran filem lucah terbarunya bersama seorang gadis...
-
HONG KONG: The locations of the 35 stations of the first Mass Rapid Transit (MRT) line from Sg Buloh to Kajang are expected to be finalised...
-
MEMETIK laporan disiarkan dalam laman web rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Safee akan menerima gaji bulanan sebanyak AS$10,000 (RM...