Kengkawan baca sampai habis tau......tabah nyer org nie......betul gak
kata orang "pompuan yg dah kawin ni nasib dia bak untung sabut timbul,
untung batu tenggelam..."
Kisah Dari Mahkamah Syariah: Jantan terlampau
Bekas pesakit barah payu dara kongsi pengalaman pahit 'dihina' bekas
suami
MINGGU ini, ruangan ini memberi peluang kepada seorang pembaca yang
menulis mengenai kisah hidupnya. Sedih sekali membaca kisah Khadijah
(bukan nama sebenar) yang mendapat layanan buruk daripada suami yang
sepatutnya melindunginya. Ikuti tulisan beliau.
"Saya tertarik hati membaca tulisan Siti Nur Almizan bertarikh 8
Oktober lalu di halaman Ratu, Berita Harian bertajuk 'Sokongan Suami
Penawar Duka' kerana saya juga pesakit barah payu dara, tetapi nasib
saya kurang baik sebab 'suami menambah duka'.
Saya disahkan menghidap barah payu dara pada Oktober 1998 ketika
berumur 44 tahun. Saya mempunyai empat orang anak yang sedang
bersekolah ketika itu. Saya membuat pemeriksaan awal sendiri di
hospital sehinggalah pengesahan daripada doktor mengenai penyakit itu
tanpa suami.
Mungkin nasib saya agak baik kerana bertugas sebagai pendidik, jadi
tidaklah terlalu memikirkan masalah kewangan. (Suami saya juga seorang
pendidik). Saya akur dengan nasihat doktor untuk menjalani pembedahan
bagi membuang sebelah kanan payu dara dengan segera dan saya perlu
memberi tahu suami mengenainya.
Ketika itu saya memang tidak dapat membayangkan masa depan saya dalam
keadaan yang cacat 'mahkotanya'. Perasaan berbelah bagi sama ada
hendak bedah atau mencari pilihan lain atau merahsiakan saja daripada
suami dan keluarga. Namun apabila membayangkan wajah anak-anak yang
memerlukan, saya berjanji kepada diri sendiri 'Aku mesti sihat demi
masa depan anak-anak' dan saya menerima musibah ini sebagai ujian
Allah selepas diberi kaunseling oleh seorang jururawat.
Dalam keadaan yang sangat sedih saya memberitahu suami mengenai
perkara itu dengan harapan saya akan mendapat semangat atau sokongan
manja daripadanya, tetapi jawapan yang diterima ialah "Kalau doktor
kata bedah .... bedahlah.... kalau sampai masa untuk mati... matilah
nak buat macam mana?.."
Di manakah tempat untuk saya meletakkan kesedihan ketika itu? Saya
tidak mahu menunjukkan kesedihan di depan anak-anak kerana saya tidak
mahu pelajaran mereka terganggu jika saya tidak bersemangat. Begitu
pun, suami setuju untuk saya dibedah dan dia berjanji menerima keadaan
diri saya seadanya selepas pembedahan.
Pada awal November 1998 saya menjalani pembedahan mastektomi, tetapi
sebelum itu doktor menasihatkan suami untuk bercuti pada hari
pembedahan, tetapi suami tidak bersetuju dan apabila saya meminta
suami hadir awal ke hospital sebelum saya masuk ke bilik bedah, dia
hanya berkata "tengoklah kalau sempat datang" (saya akan di bedah jam
8.30 pagi).
Kesedihan saya bertakuk lagi apabila saya sudah pun dipakaikan dengan
baju bedah, suami masih lagi tidak muncul-muncul sehingga saya dibawa
ke Bilik Bedah tanpa iringan suami yang sepatutnya memberi sokongan
kepada saya, juga untuk saya mencium tangannya sebelum dibedah,
manalah tahu jika umur tidak panjang.
Saya berada di wad selama 10 hari, apabila pulang ke rumah, suami
tidak sabar-sabar untuk menuntut layanan intim daripada saya tanpa
bersimpati dengan apa yang saya tanggung selepas pembedahan, meleleh
air mata ketika menunaikan kehendaknya, dan begitulah seterusnya.
Memandangkan bekerja dengan kerajaan, saya diberi cuti bergaji
sepanjang menjalani rawatan kemoterapi dan radioterapi.
Suatu hari saya diperkenalkan dengan payu dara gentian (silikon) oleh
seorang jururawat hospital yang harganya lebih kurang RM300 dengan
bayaran dua atau tiga kali. Saya menyuarakan kepada suami untuk
membelinya, tetapi suami dengan selamba berkata: "Buat apa beli
harganya mahal... sumbat sajalah dengan kain buruk!" Apakah perasaan
saya ketika itu?
Memandangkan saya mempunyai wang gaji sendiri, saya beli silikon itu
dan gunakan hingga hari ini dengan selesa walaupun sudah sedikit rosak
(10 tahun guna) kini saya sedang mencari di mana boleh membeli yang
baru. Saya pernah mengajak suami untuk pergi mencari yang baru, tetapi
tidak dilayan.
Sepanjang mendapatkan rawatan, ada kalanya saya tidak boleh pergi ke
hospital sendirian, saya perlukan pertolongan suami untuk memandu
kereta contoh ketika membuat rawatan kemoterapi dan radioterapi.
Ketika itu saya terpaksa bersabar dengan rungutan, muka yang masam,
ada kala membisu dan pelbagai macam kerenah daripada suami.
Saya hampir hilang semangat untuk meneruskan rawatan susulan selepas
pembedahan, tetapi atas nasihat doktor pakar yang merawat saya dan
tidak jemu untuk memujuk supaya saya menghabiskan rawatan terutama
kemoterapi dan radioterapi. Kadangkala saya rasa tertekan oleh sikap
suami yang berasa jijik apabila tiap kali rawatan kemoterapi, saya
akan mengalami muntah-muntah dan dia akan menjauhkan diri daripada
saya.
Bila bertanyakan pendapat suami adakah saya perlu memberhentikan saja
rawatan kerana sikapnya itu, dia menjawab: "Suka hatilah. Kalau Tuhan
nak pendekkan umur, rawatan macam mana pun tetap mati juga."
Itulah kata-kata 'sokongan' yang saya terima daripada suami, yang
penting baginya saya tidak menyusahkan dia untuk meminta pertolongan.
Bagi memudahkan saya memandu, saya menukar kereta jenis automatik dan
kembali bekerja apabila cuti sakit tamat.
Demi anak-anak saya bertekad, reda dan berdoa kepada Allah supaya saya
diberi ketabahan dan kekuatan iman untuk menghadapi semua perkara yang
menyedihkan. Saya membina semangat sendiri dengan sokongan sahabat
baik yang bersimpati.
Saya menjaga kesihatan dengan membaca pelbagai artikel dan membeli
ubat-ubatan (vitamin) yang boleh menguatkan imunisasi dengan kewangan
sendiri. Suami tidak percaya jika saya sekali-sekala mengatakan penat
atau kurang sihat sebaliknya dia akan menuduh saya sengaja berkata
begitu sebagai alasan untuk tidak melayan kehendaknya. Bermakna saya
mesti sihat sentiasa demi kebahagiaan suami dan keluarga.
Saya mulakan keredaan kepada Allah dengan membaca al-Quran dan surah
Yassin sebagai 'Syifa' (penyembuh) dan bermohon supaya diberikan
kesihatan baik sehingga anak-anak boleh berdikari. Saya luangkan masa
untuk ke kelas mengaji dan berzanji, sedangkan suami pula terus
membuat pelbagai kerenah yang kadang-kadang memberi tekanan emosi
kepada saya walaupun saya tahu itu adalah tidak baik bagi pesakit
barah.
Tetapi apa boleh buat sudah sikap suami begitu, justeru saya mencari
ketenangan di sejadah dan daripada urusan kerja di sekolah. Memang
Allah itu maha pengasih ketika saya masih lagi belum sembuh
sepenuhnya, saya memohon untuk menunaikan Fardu Haji di Makkah.
Alhamdullilah pada awal 2001 saya diterima untuk menunaikan ibadat
haji dan saya pergi tanpa suami dengan hanya menumpang seorang bapa
saudara yang berumur 75 tahun ketika itu.
Saya bersyukur sepanjang menunaikan ibadat di Makkah, saya sihat
walaupun berjalan jauh ke masjid untuk tawaf, saie dan melontar
jamrah. Doktor ada membekalkan ubat-ubatan, tetapi saya rasa sihat
dengan air zam zam.
Itu cerita hampir 10 tahun lalu. Kesabaran yang Allah kurniakan kepada
saya, dapat mengatasi segala kesedihan yang ditanggung. Dua orang anak
saya sudah bekerja dan mempunyai keluarga sendiri, seorang anak saya
baru saja menamatkan pengajian dari sebuah institusi pengajian tinggi
(IPT) dan sudah pun bekerja, hanya seorang lagi anak masih lagi di
IPT.
Namun suami tidak bersyukur dengan keadaan saya yang sentiasa berusaha
untuk yang terbaik bagi menyihatkan diri tanpa menyusahkan dia baik
dari segi masa mahupun kewangan. Saya bekerja dengan lebih bersemangat
dan dikurniakan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan dianugerahkan Guru
Cemerlang pada 2008. Saya sentiasa positif dan ceria kepada semua
perkara yang saya lakukan sehingga sukar untuk sesiapa percaya bahawa
saya adalah pesakit barah payu dara.
Begitupun, saya tidak boleh lari daripada ujian Allah. Dugaan dan
kesedihan datang lagi selepas 10 tahun saya membina semangat dan jati
diri sendiri. Saya rasa apa yang saya lakukan tidak mempunyai nilai
apa-apa dan semangat terbina akan luntur jua jika tiada sokongan yang
kuat kerana dua hari sebelum saya menyambut ulang tahun ke-55
kelahiran saya, suami bertindak keluar rumah dan mendaftarkan
perceraian di Mahkamah Syariah.
Saya dijatuhkan talak dengan alasan 'isteri enggan melayan suami'
selepas 30 tahun hidup bersama dan suami lupa pada janjinya. Saya rasa
terlalu aib dan hina sekali, saya tidak mahu membantah alasan yang
diberi kerana mahu menjaga maruah suami di mahkamah sebaliknya
menerima perceraian itu dengan reda dan ketentuan Ilahi dengan
persoalan 'layanan yang bagaimanakah dikehendaki oleh suami dan apakah
hina mempunyai sebelah payu dara?'
Perkara ini berlaku disebabkan pada awal sesi persekolahan 2009,
sebagai guru yang agak sibuk sedikit dengan tugasan awal tahun, ada
kalanya saya sangat letih (waktu balik jam 3.00 atau 4.00 petang,
tetapi 10 minit sudah sampai ke rumah). Ketika itu suami sudah bersara
wajib 56 tahun.
Selain itu, saya juga sibuk dengan persiapan majlis perkahwinan anak.
Saya tidak pernah ada pembantu rumah sejak mula berkahwin dan semua
urusan anak serta rumah tangga saya uruskan sendiri. Suami akan
membantu mengikut mood dan suatu malam saya menolak kehendak intim
suami kerana terlalu letih.
Itulah pertama kali saya menolak dan keesokan harinya suami terus
dingin berpanjangan, saya cuba membaiki keadaan, tetapi dia
menambahkan emosi saya. Suami keluar dari rumah ketika saya bekerja.
Suami balik ke kampungnya dan mungkin bercerita kepada saudara-mara di
sana mengenai kekurangan diri dan layanan yang saya tidak tunaikan
kepadanya.
Akhirnya dia menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada saya yang
berbunyi.
"Jumpa di pejabat kadi," dan saya membalas "Untuk bincang apa?" Dia
menjawab SMS "Aku bukan nak bincang, tapi nak ceraikan kau!"
Baru-baru ini, dengan bangga sekali bekas suami memberi tahu anak-anak
yang dia akan berkahwin lagi dan menghantar SMS kepada saya yang
berbunyi "Dia tak macam engkau", mungkinkah maksudnya wanita itu lebih
baik dari saya yang sudah cacat mahkotanya? Kenapa ya...
Haruskah saya meneruskan semangat diri pada hujung-hujung usia begini?
Perlukah saya menyambung kesedihan sebagai pesakit barah payu dara
sehingga ke akhir hayat kerana terlalu mahal untuk mendapatkan
sokongan daripada orang yang dipanggil suami?
Pada ketika ini, saya berserah kepada Ilahi dan saya tidak peduli lagi
apa akan berlaku pada diri saya selepas ini, andainya saya positif
semula pada penyakit itu, saya reda ianya menjadi titik terakhir dalam
kehidupan saya. Itulah semangat yang mula tertanam di hati saya."
Kepada Khadijah, langit tidak selalu mendung. Pada usia semakin senja,
usah biarkan penghinaan bekas suami menjadi kudis di hati. Anggaplah
tindakan dan kata-katanya bagai orang tua yang sudah nyanyuk. Pekakkan
telinga, kerana hakikatnya Khadijah jauh lebih baik daripada bekas
suami.
Sesungguhnya, tindakan Khadijah yang tetap sabar dengan segala
tindakan atau kata-kata melampau suami, amat terpuji. Kehilangan payu
dara bukan noktah kepada kehidupan. Ini ujian daripada Ilahi dan
ingatlah, Khadijah 'dipilih' kerana kesabaran tinggi yang dimiliki.
Hanya insan sabar seperti Khadijah yang mampu mengharungi 10 tahun
paling menyakitkan itu. Mungkin perceraian jalan terbaik supaya
Khadijah tidak lagi disakiti. Malah inilah masanya untuk Khadijah
melakukan apa saja untuk diri sendiri, sesuatu yang tidak dapat
dilakukan ketika hidup bersama bekas suami.
Perkhemahan Sunnah dan Konvokesyen sunnah?
3 days ago
0 comments:
Post a Comment